Eksklusif

Movenpick Hotel Dan Convention Centre KLIA: Tujuh Dalam Satu

Oleh Azian Mohamed Isa  •  15 Jan 2020  •  3 min baca

Tujuh dalam satu!

Ini yang dapat saya simpulkan kali pertama menjejakkan kaki ke mercu tanda terbaharu Kompleks Tabung Haji di Sepang, iaitu Movenpick Hotel & Convention Centre.

Memulakan operasinya pada Julai 2018, hotel milik penuh Tabung Haji ini diuruskan sepenuhnya oleh Movenpick Resorts and Hotel. Kompleks ini juga merupakan jenama Movenpick pertama yang seumpamanya di Malaysia.

Berkeluasan 7.173 hektar dan hanya 4 km dari KLIA, hotel ini menjadi hab utama terutama sekali untuk krew penerbangan dalam dan luar negara berehat dan bersedia untuk penerbangan seterusnya.

Sebaik sahaja melangkah masuk, pengunjung akan merasai pengalaman berada di Timur Tengah dengan deretan pohon kurma yang mendominasi landskap luarannya.

#1- Seni Bina Yang Unik

Keseluruhan kompleks ini berwarna putih, merujuk kepada warna ihram yang melambangkan kesucian dan kesediaan Tabung Haji kepada ummah. Bangunan hotel terdiri daripada tiga buah bangunan sembilan tingkat yang menempatkan 333 bilik penginapan.

Bangunan yang moden dan elegan ini dibina sedemikian rupa untuk mengoptimumkan cahaya dan aliran angin secara semulajadi.

Dengan binaan ‘arch’, ruang central atrium diwujudkan, mencipta suasana yang ideal untuk pengunjung menikmati cahaya tropika yang dikelilingi oleh pohon-pohon menghijau.

#2- Islamik

Dinding putih hotel dihiasi dengan seni geometri, salah satu elemen popular dalam seni bina Islam.

Pada setiap papan tanda bilik mesyuarat terpampang ukiran seni kufi yang berwarna hijau tertera perkataan Pusat Konvensyen Tabung Haji dalam tulisan jawi. Reka bentuk pintu gerbang hotel ini banyak dipengaruhi oleh seni bina Turki dan Iran.

#3- Patuh Syariah

Salah satu keistimewaan hotel ini ialah ia mesra pengunjung beragama Islam. Tiada penjualan minuman beralkohol. Kemudahan gimnasium diasingkan khusus untuk lelaki dan untuk wanita. Begitu juga dengan kolam renang.

Namun, pengunjung wanita masih perlu memakai pakaian renang yang sopan dan muslimah. Ini adalah kerana kolam renang ini terletak di aras yang sama. Lagipun tiada dinding konkrit yang memisahkan kedua-dua kolam lelaki dan wanita ini.

#4- Jam Matahari

Satu lagi mercu tanda menarik di sini ialah Jam Matahari Ta Ha atau Mizwalah TaHa. Binaan artifak sains Islam ini sangat unik kerana menggunakan gabungan huruf jawi Ta dan Ha, yang mengekalkan identiti Tabung Haji.

Arca ini, bukan sahaja mempunyai nilai estetika dan seni, malah akan dapat menunjukkan pelbagai pengukuran dan pengiraan masa.

Jam matahari ini adalah peralatan yang paling mesra alam; ia dikuasai Suria, tidak mengeluarkan apa apa bahan pencemaran atau buangan dan hampir tidak memerlukan penyelengaraan. Jam matahari boleh berfungsi setiap masa selagi matahari bersinar.

#5- Pusat Konvensyen Yang Serba Moden

Terdapat juga pusat konvensyen seluas 178,381 kaki persegi yang turut memuatkan dewan bankuet (dengan keluasan 25,000 kaki persegi). Binaanya bebas tiang dan berkapasiti memuatkan sehingga 2,500 orang.

Ruang ini dijadikan pusat operasi dan pelepasan jemaah haji. Ini menjadikan lokasi berlepas semakin dekat, memudahkan urusan operasi haji yang sebelum ini terletak di Kelana Jaya.

#6- Anjung Tinjau Yang Sangat Luas

Bangunan Anjung Tinjau letaknya bersebelahan dengan pusat konvensyen. Waris dan keluarga jemaah haji berkumpul di sini setiap kali tibanya musim haji.

Kawasannya yang luas, berukuran 180 meter panjang dan 9 meter lebar, menjadikan ruang ini ideal sebagai ruang pameran, ruang pelbagai majlis dan jualan. Dindingnya yang berupa panel berwarna putih diukir dengan seni kufi tertulis perkataan Pusat Konvensyen Tabung Haji.

Tiang-tiang besar di sini mengambil inspirasi seni bina Al-A’mida, yang sering dilihat dalam binaan Masjid Cordoba, Sepanyol.

#7- Lestari, Bangunan Yang Mengikut Piawaian Bangunan Hijau (GBI)

Dekorasi dalamannya berkonsepkan moden dan seni Asia. Oleh kerana bangunan ini mengikuti Piawaian Bangunan Hijau (GBI), suhu semua bilik penginapan dikekalkan pada 20 darjah Celsius.

Jika mahukan pengalaman bermalam di sini atau ada acara besar yang ingin dirancang seperti perkahwinan, seminar, mesyuarat, pameran atau apa-apa sahaja, bolehlah berkunjung di sini untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA.

Rujukan:
Laman web Tabung Haji dan Malaysia Dateline


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami