Inspirasi

Mitos Dalam Perhubungan, Ekspektasi Yang Tidak Diuruskan (Bahagian 2)

Oleh Saifuddin Hamizan  •  8 Nov 2019  •  5 min baca

Top Mitos Dalam Perhubungan

Pernah tak kita menatal aplikasi media sosial seperti Facebook atau Instagram, kita ternampak potongan ayat yang mendakwa sekian-sekian perkara tentang perhubungan, biasanya disebarkan oleh halaman-halaman popular untuk menaikkan rating pelawat lalu mendapat hebahan perkongsian yang meluas.

Kebanyakannya bersifat mitos semata, bukannya ada hujah yang kukuh pun dibelakang dakwaannya. Sekadar dicipta untuk meraih perkongsian yang banyak demi keuntungan pemilik halaman tersebut sahaja semata.

Dalam istilahnya budaya ini dinamakan sebagai “pseudo-profound” (kata-kata yang bersifat palsu dan tidak berdiri di atas hujah saintifik).

Seorang pengkaji yang bernama Gordon Pennycook dari Universiti Waterloo dari Kanada menyifatkan perkara ini sebagai tak masuk akal dan merumuskan bahawa orang yang suka menyandarkan ayat-ayat ini dalam hidupnya lebih percayakan pada benda tak ilmiah seperti perubatan alternatif yang mitos, mempercayai teori konspirasi yang sekadar gimik dan lemah dalam logik.

Kata seorang kaunselor dan pakar perhubungan Davida Rappaport bahawa seseorang yang mudah percayakan mitos akan mengakibatkan dia sering kemalangan dalam perhubungan sebab membina ekspetasi yang tidak berteraskan logik dan fakta serta akan mengakibatkan suatu perhubungan itu tidak mencapai kebahagiaan kerana asyik memikiran antara satu sama lain tidak memenuhi keperluan emosi sesama pasangan.

Pasangan Yang Bahagia Tidak Bergaduh?

Tidak ada sesiapa pun dalam dunia ini yang suka akan pergaduhan namun secara realitinya kita perlukan sedikit pergaduhan dalam hubungan seperti kata seorang pakar perhubungan Caitlyn Paltsios bahawa pergaduhan boleh membawa pasangan ke arah memahami keinginan masing-masing dan meluahkan emosi negatif secara sihat.

Kita dapat mengetahui batasan-batasan yang pasangan tidak mahu kita langgar atau sensitiviti pasangan yang sepatutnya kita ambil berat supaya tidak melampaui batas dalam pergaulan.

Bila kita tiada pergaduhan, dibimbangi hubungan itu tidak sihat iaitu kita asyik memenuhi keperluan dan keinginan si dia sedangkan kita keletihan kerana bersifat pura-pura. Pura-pura adalah memenatkan emosi seseorang yang mana akhirnya hubungan itu boleh berkecai disebabkan tidak mampu tertahan lagi.

Habiskan Masa Selalu Bersama

Mungkin di awal perhubungan kita rasakan bahawa hubungan yang sihat memerlukan kita dan dia selalu bersama-sama, sedangkan jika ia selalu diamalkan, lama-kelamaan keburukan masing-masing terserlah dan mungkin kita akan jadi kurang menghargai.

Kata pakar iaitu Paltsios, dalam perhubungan masing-masing perlu ada ‘me time’ tersendiri sebagai satu terapi untuk menghargai pasangan dari jarak tertentu.

Bila kita selalu memandang pasangan sahaja, bila masakah kita hendak mengembalikan tenaga emosi dan fizikal melayani dia secara romantik dan lebih baik? Manusia perlukan rehat dan waktunya sendiri untuk membaik pulih semangat, motivasi dan tenaga emosi serta fizikal.

Kena Terima Si Dia Seadanya, Walaupun Kelemahannya. Kata Sayang kan?

Apabila kita masuk ke dalam sesuatu perhubungan secara automatiknya kita sedia maklum bahawa tiada seorang pun yang sempurna dalam dunia ini. Namun itu bukanlah alasan munasabah untuk membenarkan setiap kelemahan kita untuk ditonjolkan pada pasangan, sebagai contoh kalau kelemahan kita malas bangun pagi, janganlah setiap pagi kita malas.

Ini tentu akan merimaskan si dia dan lama kelamaan mencetuskan pergaduhan yang besar. Dalam kelemahan kita, perlu diletakkan kayu ukur atau jangkaan untuk berubah ke arah yang lebih positif.

Pasangan tak mahu kita jadi seperti Nabi Muhammad SAW pun, cukuplah sekadar kita menunjukkan usaha-usaha walaupun kecil untuk berubah setiap hari dengan lebih baik lagi.

Kata pakar perhubungan Stephen Hussey dalam laman mayanya Get The Guy:

“The truth is, relationships at often broken by our worst behaviours. And we have to work, not to eliminate our flaws, but to at least mitigate the worst manifestations of them.”

Perhubungan Yang Sihat Sepatutnya ‘Mudah’

Kita selalu dimomokkan dengan mitos bahawa kalau sudah bertemu dengan orang yang tepat maka kesemuanya mudah dari awal perkenalan sampailah ke jinjang pelamin. Takkan wujud lagi konflik, perdebatan atau apa sahaja yang menyusahkan.

Saya teringat satu video oleh seorang pakar perhubungan terkenal yang bernama Matthew Hussey dalam program ceramahnya, bila ada seorang perempuan bertanya pada beliau apakah situasinya dengan lelaki yang susahkan pertemuan.

Kata beliau, setiap perhubungan yang berkualiti pada awalnya sepatutnya mudah. Contohnya kalau sudah jatuh hati, prosesnya mudah untuk buat deklarasi namun yang sukarnya ialah untuk menempuh suka duka bersama. Disitulah yang sepatutnya sukar, bukan ketika awal-awal perkenalan sudah bermain teka-teki dan flip-flop (kejap begitu dan begini).

Saya Nak Baiki Hidup Dia!

Ada perbezaan antara kita hendak bantu seseorang tunjukkan jalan cara bagaimana untuk berkembang, maju dan lebih bersemangat dalam hidup dengan mengubah keseluruhan personaliti si dia.

Mengubah seseorang bukan seperti kita ubah suai enjin kenderaan. Kalau kenderaan kita bolehlah overhaul (ubah suai) dalaman sebab operasinya kita faham, namun manusia tidak semudah itu. Sebab manusia diciptakan sebagai makhluk yang sangat kompleks.

Maka sebab itulah dalam psikologi pun masih ada keterbatasan dalam memahami tindak-tanduk manusia kerana adanya persilangan adat budaya dan norma yang berbeza-beza di setiap tempat dan zaman.

Pakar perhubungan Stef Safran berkata jika kita tidak boleh cintakan pasangan kita sebagaimana personalitinya yanga asal, berpisahlah dengan segera. Jangan fikir kita boleh ubah suainya sebagaimana kenderaan atau perkakas elektrik.

Kesimpulannya dalam alam perhubungan sama ada yang sudah berkahwin atau masih bertunang atau fasa perkenalan cinta hendaklah kita semua memperbetulkan dahulu ekspektasi atau jangkaan dalam memahami pasangan. Berpijaklah pada ekspektasi yang logik dan tidak berlebih-lebih agar hubungan kita itu mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan yang berpanjangan.

Bahagia sementara boleh dicapai jika kita percaya apa sahaja yang kita contohi dari media massa, namun untuk bahagia selamanya tentulah bahan ilmiah sepatutnya dijadikan sandaran.

Rujukan :

8 Common Relationship Goals To Ignore If You Want A Healthy Partnership
The Most Dangerous Myths About Relationships
When He Says “I Need Time,” You Say This… (Matthew Hussey, Get The Guy)
People who like “pseudo-profound” quotes are not so smart, says science


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saifuddin Hamizan

Saifuddin Hamizan

Lepasan Sijil Bahasa Arab di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis dan meneruskan sijil Diploma Syariah Islamiah di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah). Penulis buku Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Mustread) & Cinta (PTS SDN BHD)

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami