Inspirasi

Mitos Dalam Perhubungan, Ekspektasi Yang Tidak Diuruskan (Bahagian 1)

Oleh Saifuddin Hamizan  •  8 Nov 2019  •  4 min baca

Kita semua begitu didedahkan dengan banyak pendapat berkenaan dengan alam perhubungan dari tradisi turun temurun seperti ahli keluarga dan kenalan yang terdekat. Kemudian dari mesej yang disebarkan oleh media massa seperti televisyen, radio, lagu, drama dan seumpamanya.

Dari dua sumber inilah yang menjadikan gambaran seseorang tentang cinta atau perkahwinan boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Mitos tentang perhubungan bukanlah benda baru. Ianya sudah lama berakar mekar dalam budaya setiap bangsa tidak kiralah bangsa itu maju atau mundur.

Namun mitos seringkali dikaitkan dengan masyarakat yang taksub berpegang kepada agama dan tradisi yang sempit. Sedangkan agama yang bersifatkan wasatiyah (sederhana dan pertengahan) menyeimbangkan umatnya untuk menilai dan menimbang tara kesemua dakwaan dengan bukti-bukti yang sahih dan tepat.

Sama ada bukti dari al-Quran dan Sunnah berserta pengikat ilmu sains dan psikologi. Sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat 49:6)

Kata Syaikh Abdurrahman Ibn Nashir al-Sa’di dalam tafsirnya:

“Ayat ini juga menerangkan adab yang harus diperhatikan oleh orang-orang yang berakal, iaitu apabila ada orang fasik yang memberitahukan kepada mereka sesuatu berita, maka hendaknya mereka menelitinya dan tidak terus menerima berita secara buta tuli, kerana jika berlaku sedemikian akan terjadinya suatu dosa.

Hal ini disebabkan jika berita orang fasik menggantikan berita orang yang benar lagi adil sehingga dibenarkan dan dilanjutkan, kesannya tentu akan menimbulkan bahaya, seperti binasanya jiwa dan harta tanpa alasan yang benar sehingga membuat seseorang menyesal.

Oleh sebab itu, hal yang wajib ketika menerima berita orang fasik adalah tatsabbut (meneliti), jika ada dalil dan qarinah (tanda) yang menunjukkan kebenarannya, maka disahkan dan dibenarkan. Tetapi jika dalil dan qarinah menunjukkan kedustaannya, maka didustakan dan tidak dibenarkan.

Dalam ayat ini terdapat dalil bahawa berita orang yang jujur adalah diterima dan bahawa berita orang yang berdusta adalah ditolak, sedangkan berita orang fasik, maka tergantung dalil dan qarinah. Oleh sebab itulah, kaum salaf (generasi awal islam) pernah sehingga menerima banyak riwayat dari orang-orang Khawarij yang terkenal kejujurannya meskipun fasik.”(Tafsir al-Sa’di)

Jika kita tinjau dari perspektif Islam dari segi sejarah tradisi periwayatan sanad hadis sendiri pun Islam amat menitik beratkan soal ketepatan, kewajaran, dan kesahihan sesuatu hadis itu sendiri.

Ini bermakna dalam apa jua aspek kehidupan pun sebagai seorang muslim kita patut mengambil iktibar dari hal ini sebagai asas disiplin dalam kita menilai sesuatu gambaran, khabar atau dalam erti kata yang sebenar bijak menapis mitos-mitos dalam perhubungan.

Mitos & Ekspektasi

Mitos terjadi bila masyarakat tidak mempedulikan dalil atau bukti yang boleh dipegang secara yakin dan jelas. Budaya hedonism (hiburan melampau) turut menyumbang ke arah suatu pemikiran mempercayai benda karut marut kerana sifatnya ekspres dan pantas.

Hiburan kadangkala diperlukan serba sedikit namun jika berlebihan ia boleh mengundang pemikiran yang malas hendak menaakul dan memproses sesuatu dakwaan sehingga benar-benar masak.

Hiburan telah membina persepsi yang salah tentang alam perkahwinan, percintaan dan hubungan sesama manusia. Sebab hiburan selalunya berdiri di atas rekaan semata, bukan berpijak pada fakta yang dirumuskan oleh ilmuwan berwibawa.

Sebab hiburan ini salah satu cara manusia untuk lari dari masalah dan tekanan rutin seharian hidup. Tentulah orang lebih cenderung untuk menerima apa sahaja yang disampaikan dalam bentuk hiburan.

Saya teringat podcast yang disampaikan oleh Jay Shetty, seorang pencipta konten hikmah dan motivasi terkenal dalam aplikasi Spotify yang bertajuk ‘3 Reason Why Compatibility Is More Important Than Chemistry’.

Kata beliau kita percayakan sesuatu dakwaan dalam perhubungan seperti mitos-mitos yang ada adalah kerana kita terlalu menjadikan hiburan sebagai sumber kepercayaan kita terhadap sesuatu perkara.

Manusia secara umumnya akan merumuskan sesuatu atau bertindak sesuatu menggunakan pengetahuannya sekalipun sekadar memandang kedua ibu bapanya di rumah.

Bagi seorang bayi, pengetahuannya bukan pembacaan namun penglihatan yang dicerap melalui moto skil visual sebab itu ada pepatah mengatakan anak-anak tidak mendengar apa yang ibu bapa arahkan namun anak-anak mengikut tindakan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya.

Maka sumber pengetahuan seseorang berkenaan dengan alam perhubungan tentulah berdasarkan kepada apa yang dia cerap dari mata, telinga dan persekitaran yang dia lalui setiap hari.

Kalau hidup kita didominasi dengan filem, drama dan novel maka sedikit sebanyak tindakan dan sikap kita terpengaruh atau condong ke arah apa yang kita cerapkan dari itu semua. Sebaliknya kalau kita sering membaca artikel ilmiah, jurnal, buku akademik, esei separa ilmiah, podcast ilmiah dan seumpamanya tentulah ekspektasi yang kita bina dalam hidup ini hampir kebanyakannya berasaskan fakta yang jitu.

Bersambung.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saifuddin Hamizan

Saifuddin Hamizan

Lepasan Sijil Bahasa Arab di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis dan meneruskan sijil Diploma Syariah Islamiah di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah). Penulis buku Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Mustread) & Cinta (PTS SDN BHD)

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami