Keluarga

Mimpi Ngeri Buat Anda Ibu Bapa

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  8 Jul 2019  •  4 min baca

Pernahkah anda terfikir apakah yang akan dilakukan oleh anak kecil anda jika dia dibiarkan atau ditinggalkan keseorangan? 

Apakah faktor yang mendorong anak kecil anda untuk melakukan apa yang dia lakukan ketika itu?

Filem PIHU ini diinspirasikan dari kisah benar yang berlaku di New York pada tahun 2017 di mana seorang kanak-kanak berusia 3 tahun ‘keseorangan’ di dalam sebuah apartment selama beberapa hari setelah ibunya meninggal dunia.

Ketika dijumpai, dia mengalami dehidrasi yang sangat teruk. Dia bertahan dengan makan bijiran sarapan yang bertaburan di atas lantai rumah.

Dengan hanya dua orang pelakon di set, iaitu seorang kanak-kanak dan seorang wanita yang terbaring di atas katil yang juga ibu sebenar pelakon kanak-kanak tersebut.

Pengarahan filem PIHU ini sangat mengkagumkan saya terutamanya apabila mengetahui bahawa pelakon kanak-kanak itu sebenarnya tidak ‘berlakon’, dia sebaliknya hanya menjadi dirinya sendiri. 3 buah kamera dipasang di sekeliling set untuk merakam gerak gerinya.

#1- Persekitaran

Saya pernah menulis tentang peri pentingnya kita menyediakan persekitaran yang selamat untuk anak supaya mereka bebas meneroka. Jika persekitaran anak selamat, kita tidak perlu berulang-ulang kali berkata ‘jangan’ apabila anak melakukan sesuatu yang membahayakan.

Berulang kali menegah, menjerit, melarang dan mungkin akhirnya sampai ke tahap mencubit dan memukul akan hanya menyebabkan kita letih, lelah dan rasa gagal dan kecewa. Anak belum tentu berubah dengan kekasaran.

Kenapa perlu menyusahkan diri sendiri sedangkan kita ada pilihan untuk menyesuaikan dan menyediakan persekitaran supaya sesuai dengan sifat semulajadi anak kecil yang sememangnya suka bergerak dan meneroka.

Melalui filem ini mungkin kita dapat merenung kembali aspek keselamatan di dalam rumah. Kadang-kadang kita tidak sedar apa yang diperlukan atau apa yang kekurangan sehinggalah kemalangan berlaku. 

Adakah dapur kita membahayakan anak?
Adakah tandas dan bilik air selamat untuk anak?
Adakah ruang balkoni rumah kita sesuai untuk anak?
Adakah tempat letak kenderaan boleh menjadi tempat permainan anak?
Adakah tangga dilengkapi pagar keselamatan untuk anak kecil?
Adakah bahan bakar dan bahan pencuci diletakkan di tempat yang sukar dicapai anak?
Adakah perkakasan elektrik diletakkan di tempat selamat?

Sila periksa perkara-perkara ini setelah menonton filem ini ya. Banyak kemalangan yang melibatkan kanak-kanak berlaku di negara kita akibat kecuaian ibu bapa dan penjaga.

#2- Pemikiran Kanak-Kanak

Fasa pertama dalam proses pembelajaran kanak-kanak adalah meniru. 
Menurut Teori perkembangan kognitif Piaget, pada usia ini pemikiran kanak-kanak berada dalam fasa pra-operasi (pre operational).

Ini bermakna mereka belum boleh menggunakan logik atau mengubah, menggabung atau mengasingkan idea. Otak manusia belum capai tahap kematangan untuk berfikir, menilai dan membuat keputusan yang rasional sehinggalah kita berusia dalam lingkungan 24 tahun.

Segala tindakan dan perbuatan PIHU dalam filem ini adalah tercetus dari rutin yang sudah dibiasakan oleh ibu bapanya selama ini. Tindakannya juga dipengaruhi oleh perbuatan dan tindakan yang ditiru dari ibu bapanya. 

Ini dapat dilihat apabila PIHU menyapukan krim pada luka ibunya yang tidak sedarkan diri. Tindakan ini sudah semestinya ditiru dari kebiasaan ayah dan ibunya menyapukan krim apabila luka. 

Begitu juga apabila PIHU meminta izin terlebih dahulu untuk memakan pil tidur yang berada dalam genggaman ibunya (walaupun dia tidak sepatutnya makan). Itu menunjukkan bahawa amalan meminta izin itu adalah sesuatu yang diterapkan dalam diri PIHU.

Sebagai ibu bapa, kita haruslah sedaya upaya menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka juga akan meniru tindakan kita apabila masa dan keadaan memerlukan.

Ketika menonton filem ini cuba ‘put the pieces together’ dan teka bagaimanakah agaknya rutin seharian PIHU pada hari-hari biasa. Cuba juga renung apakah nilai dan peraturan yang diterapkan dalam diri Pihu oleh kedua ibu bapanya. 

Kadang-kadang apabila kita melihat tindakan seorang kanak-kanak, kita dapat meneka dengan didikan yang bagaimanakah dia dibesarkan.

Apabila anak kita keseorangan, apa yang akan dilakukannya adalah rutin yang biasa dilakukannya sehari-hari atas suruhan dan panduan kita selama ini dan apa yang ditiru dari tindakan dan perbuatan kita.

#3- Keganasan

Pada pendapat saya isu utama dan realiti pahit yang cuba dipaparkan oleh filem Bollywood ini adalah tentang kesan keganasan rumah tangga dan ketidaksefahaman antara suami isteri ke atas kesejahteraan dan keselamatan anak.

Keganasan rumah tangga adalah isu yang sangat serius di India. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh National Family Health Survey di India, didapati 35% wanita India yang berusia di antara 15-49 tahun pernah menjadi mangsa keganasan fizikal dan seksual di rumah sendiri. Jumlah ini terus meningkat dari hari ke sehari.

Di Malaysia sendiri sebanyak 4,963 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Januari hingga November tahun 2018.

Sebagaimana babak mencemaskan dan penuh ketidakpastian yang mendebarkan dalam filem ini, begitulah juga realiti keluarga yang dicengkam oleh keganasan rumah tangga.

Nyawa anak beranak sering berada di hujung tanduk, sentiasa ketakutkan dan tidak tahu bila dan di manakah penghujungnya.

Filem PIHU ini boleh ditonton di Netflix untuk yang berusia 13+. Jika anda seorang ibu atau ayah yang cepat menggelabah, saya nasihatkan agar jangan ditonton filem ini.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami