Sejarah

Mimpi Kualiti 2 Zaman Sahabat Dan Cerita Tajdid

Oleh Abdullah Bukhari  •  24 Aug 2019  •  3 min baca

Zaman Rasulullah S.A.W adalah zaman emas kerana ia disirami limpahan cahaya wahyu dari langit. Serpihan kilauan emas dari zaman Rasulullah S.A.W masih bersinar terang pada zaman Abu Bakar dan Umar.

Menjelang zaman ‘Uthman kilauan itu semakin pudar berikutan ramainya manusia yang baru memeluk Islam dan jumlah murid Rasulullah SAW juga semakin berkurang.

Iman generasi perintis Islam pastinya berbeza dengan generasi baru memeluk Islam. Orang baru tidak mengecap pahit perjuangan para sahabat yang bermandi darah dan bersiram duka.

Lipatan sejarah menyaksikan bagaimana fitnah mulai membara bermula zaman ‘Uthman dan berlanjutan pada zaman ‘Ali. Rupanya fenomena ini sudah ditunjukkan Allah dalam mimpi seorang sahabat pada zaman Rasulullah S.A.W:

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ذَاتَ يَوْمٍ مَنْ رَأَى مِنْكُمْ رُؤْيَا فَقَالَ رَجُلٌ أَنَا رَأَيْتُ كَأَنَّ مِيزَانًا نَزَلَ مِنْ السَّمَاءِ فَوُزِنْتَ أَنْتَ وَأَبُو بَكْرٍ فَرَجَحْتَ أَنْتَ بِأَبِي بَكْرٍ وَوُزِنَ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ فَرَجَحَ أَبُو بَكْرٍ وَوُزِنَ عُمَرُ وَعُثْمَانُ فَرَجَحَ عُمَرُ ثُمَّ رُفِعَ الْمِيزَانُ فَرَأَيْنَا الْكَرَاهِيَةَ فِي وَجْهِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Abu Bakrah R.A menceritakan pada suatu hari nabi S.A.W bertanya: “Ada atau tidak sesiapa yang bermimpi semalam?” Seorang lelaki menjawab: “Aku ada bermimpi melihat sebuah timbangan turun dari langit, lalu ditimbang antara kamu (Rasulullah) dan Abu Bakar maka timbangan kamu melebihi Abu Bakar, kemudian ditimbang pula antara Abu Bakar dan ‘Umar lalu timbangan Abu Bakar melebihi ‘Umar. Kemudian ditimbang pula antara ‘Umar dan ‘Uthman maka timbangan ‘Umar (melebihi ‘Uthman). (Selepas itu) timbangan itu diangkat (ke langit).” Kami lalu dapati riak tidak suka pada wajah Rasulullah S.A.WSunan Abu Dawud & Sunan al-Tirmidhi

Ketika mengulas hadith ini, para ulama hadith menyatakan mimpi ini menceritakan kualiti zaman Rasulullah S.A.W berbanding zaman 3 khalifah selepas baginda. Zaman baginda lebih baik dari zaman Abu Bakar, manakala zaman Abu Bakar lebih baik dari zaman ‘Umar.

Zaman ‘Umar pula lebih baik dari zaman ‘Uthman. Terangkatnya timbangan kembali ke langit bermaksud zaman khalifah kenabian yang soleh dengan kualiti sebenar berakhir pada zaman ‘Umar.

Zaman ‘Uthman pula menjadi permulaan zaman fitnah yang melanda umat Islam. Riak tidak suka pada wajah Rasulullah S.A.W menunjukkan kerisauan baginda dengan ramalan keburukan yanag bakal melanda umat Islam selepas baginda (‘Awn al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Dawud & Tuhfat al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmidhi).

Walaupun zaman emas sudah berlalu, kita masih mampu mengembalikan kilauan emas zaman baginda dengan mengembalikan penghayatan mendalam kepada isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah seperti hari turunnya.

Buktinya, khalifah adil ‘Umar bin Abdul Aziz pernah mengembalikan kilauan zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat apabila beliau menghidupkan kembali agama peninggalan Rasulullah S.A.W.

Janji penggilapan kembali kilauan emas zaman Rasulullah S.A.W pasti akan sentiasa berlaku seiring dengan janji baginda:

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk umat ini (umat Islam) pada setiap permulaan seratus tahun seseorang yang akan memperbaharui (penghayatan) agamanyaSunan Abu Dawud

Tokoh yang memperbaharui agama bukan bermaksud membina agama baru. Agama ini bak rumah yang sudah lama teguh berdiri, tetapi kemalasan penghuninya mengakibatkan rupa rumah yang tidak jemu memayung penghuninya dari hujan dan panas kelihatan tidak cantik dan kusam.

Pada saat itu, si rumah memerlukan mujaddid yang akan mengecat kembali rumah yang luntur warnanya. Halaman bersemak samun juga dibersihkan. Perabut rumah yang disalah letak disusun kembali seiring dengan aturan zaman.

Atap yang lama bocor tidak berganti segera ditukar. Selepas lama berusaha, rumah itu menjadi lebih cantik dan mampu menarik lebih ramai pengunjung. Itulah analogi mudah berkenaan mujaddid agama.

Siapa mujaddid agama ini pada abad ini? Bagaimana mencapai gelaran itu? Usahlah kalut mencari “siapa pemenang piala mujaddid abad ini?” Tetapi tanya diri kita sendiri “apa usaha tajdid yang sudah aku sumbangkan untuk agama ini.”

Mana tahu selepas kita mati, umat Islam sedunia sepakat menobatkan kita sebagai mujaddid abad ini.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami