Inspirasi, Keluarga

Meski Dikejar Kesibukan, ‘Air Yang Dicincang Tidak Akan Putus’

Oleh Fieyzah Lee  •  3 Aug 2019  •  3 min baca

Jika anda seorang yang mempunyai adik-beradik yang ramai atau datangnya dari ahli keluarga yang besar, pasti hidup anda meriah dengan kenakalan dan celoteh mereka. Saban hari, ada sahaja usikan atau peristiwa yang mencuit hati anda dan pastinya ia bakal menggamit memori.

Tidak kiralah jika anda mempunyai dua, tiga atau berapa banyak adik-beradik sekali pun, mereka merupakan anugerah dari tuhan buat anda dan ia merupakan hadiah yang tidak bernilai buat ibu bapa anda.

Pernah atau tidak, anda membayangkan kehidupan tanpa mereka? Mungkin suatu hari nanti, masing-masing sudah membesar dan punya kehidupan sendiri, tanggungjawab yang mereka galas sudah tidak sama seperti dahulu dan berbeza dengan anda sekarang.

Mungkin dahulu, seorang kakak hanya bertanggungjawab sebagai kakak kita di samping berusaha menjadi anak yang solehah kepada ibu bapa. Walau bagaimanapun, semakin meningkatnya usia, maka tanggungjawabnya semakin bertambah.

Kini, dia mungkin seorang ibu kepada dua orang anak, mempunyai tanggungjawab sebagai seorang isteri dan seorang wanita berkerjaya yang perlu memastikan tugasnya dilakukan dengan penuh amanah.

Pasti masa anda bersama dengan adik-beradik semakin berkurang. Kadang-kadang, ada yang langsung tidak sempat menjenguk dan bertanya khabar kerana sibuk dengan urusan masing-masing. Ada yang sempat berjumpa setahun sekali, itu pun pada musim perayaan.

Pasti sedih dan sukar untuk membayangkan jika perkara itu berlaku kepada anda. Apabila mengenangkan hubungan yang dahulunya rapat, namun semakin lama semakin merenggang dek kekangan yang berlaku.

Penulis teringat akan salah satu elemen yang ditonjolkan dalam sebuah filem terbaru, iaitu siri Fast & Furious Presents: Hobbs & Shaw yang mula ditayangkan 31 Julai lepas. Elemen yang menyentuh hati ialah nilai dan kasih sayang di antara adik-beradik.

Bagi penulis, selain kerjasama, hubungan kekeluargaan dan persaudaraan merupakan antara mesej utama yang boleh dilihat dan diambil sebagai pengajaran. Walau apa pun yang terjadi, hubungan kekeluargaan tidak akan boleh diputuskan dengan mudah. Malah, wujud juga peribahasa yang berbunyi:

Air yang dicincang tidak akan putus.

Itulah yang dimaksudkan dengan utuh dan hebatnya nilai kekeluargaan. Kita cuba untuk menjadi kuat dengan tinggal berasingan dari keluarga dan menyembunyikan masalah daripada adik-beradik kita, namun pada akhirnya kita akan kembali kepada mereka sama ada pulang untuk mendapatkan semangat baru atau pulang untuk membina kehidupan yang baru di sisi mereka.

Apabila dilanda kesusahan, pasti kita akan membayangkan wajah-wajah yang dirasakan mampu untuk membantu kita dan kebiasaannya mereka ialah kawan-kawan.

Jarang setiap dari kita akan meminta bantuan atau berkongsi masalah dengan adik beradik, malah tidak pernah terlintas pun nama adik-beradik kita dalam senarai yang akan diminta bantuan dari mereka namun, merekalah yang akan menjadi penyelamat anda buat saat-saat akhir.

Oleh itu, selagi masih ada peluang untuk menjaga hubungan persaudaraan, maka jagalah. Jika wujudnya ruang untuk membaiki tali persaudaraan yang mungkin hampir putus, maka baikilah.

Ia adalah lebih baik daripada membiarkannya terus putus dan hilang dari radar. Mereka yang datangnya dari rahim yang sama dengan anda, berkongsi darah dan DNA serta pernah punya kenangan bersama itu merupakan hadiah di dunia ini untuk anda. Jagalah ia sehingga akhirnya anda boleh berpimpin tangan bersama menuju syurgaNya.

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِن تَوَلَّيْتُمْ أَن تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ

Mafhum: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa – kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat?” (Surah Muhammad, 47:22)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami