Remaja

Mereka Juga Punya Hati Dan Perasaan

Oleh Ebit Liew  •  19 May 2018  •  3 min baca

Hari ini saya bersama dengan anak remaja yang baik-baik ini.

“Jom abang nak belanja beli baju dan makan nak tak?”

“Mestilah nak abang? Di mana kita mahu beli.”

Saya sampai sahaja berhampiran mereka, terus mereka menaiki kereta saya. Saya berkata;

“Jom ustaz bawa pusing-pusing KL. Jom beli baju baru. “

Sampai kedai pertama di Times Square yang penuh dengan baju rock-rock. Ada di antara mereka ambil gambar dengan phone. Terus kami tidak dibenarkan masuk. Terus peniaga tu suruh kami balik

Lawak juga kali pertama rasa kena halau dari kedai baju. Perniaga tu berkata;

“Kalau nak buat hal pergi tempat lain.”

Mereka pun bercerita kepada saya, orang kata itu ini, orang halau disebabkan mereka budak nakal dan selalu gelak-gelak.

Saya terasa sedih juga. Tetapi tidak mengapa saya berpesan kepada mereka;

“Tak penting pun apa orang nak kata pada diri kita. Biar apa orang nak. Biar apa orang nak pandang. Yang penting Allah sayang kita.

Sebak saya dengar. Saya dulu selalu juga kena halau juga. Sebab buat dakwah, kena halau dari masjid. Kena halau dari sekolah. Kena halau masa cakap agama.

Kami terus ke Pertama Kompleks. Sepanjang dalam kereta. Saya bercerita mengenai iman. Banyak soalan mereka bertanya.

Mereka anak yang baik. Seronok sangat dengar kisah mereka. Saya bertanya;

“Malam ni tidur di mana?”

“Tidur bawah jambatan je ustaz. “

Ada juga yang ada ibu bapa, tetapi mereka ini ingin mencari kebebasan di luar sana. Sanggup ke sana sini tanpa hala tuju.

Sampai di Pertama Kompleks. Kami solat Maghrib berjemaah. Ramai orang tengok kami dari atas ke bawah.

Yalah anak-anak muda ini ada yang dahi berpin besar, di hidung dan telinga ada pin besar. Yang perempuan ada pakai seluar pendek. Tapi Alhamdulillah mereka senang sahaja bila diajak solat.

Solat berjemaah dengan sempurna. Subhanallah. Menitis air mata solat dengan mereka hari ini.

Selepas solat saya bawa pergi ke kedai beli baju. Saya pun bayarkan baju mereka. Minat mereka baju berfesyen begitu tak mengapalah. Seorang tu cium baju baru dan berkata;

“Alhamdulillah ada baju baru ustaz. Ada juga baju nak salin. “

Saya jadi sebak, tidak berhenti mereka ucap terima kasih. Rasanya sepanjang jalan cakap terima kasih. Saya balas terima kasih juga, Allah bagi rezeki kepada ustaz untuk berkongsi dengan mereka.

Kami terus pergi makan di kedai Kampung Bharu. Ramai orang, mereka nak pergi kedai yang tiada orang. Malas nak orang tengok mereka sangat. Tetapi ramai juga kedai tu. Ada yang berkata;

“Ustaz, saya nak siakap 3 rasa boleh?”

Saya jadi sebak pula. Ialah dulu pernah saya masuk kedai begini. Saya keluar semula bila tengok harga atau menu.

Mereka buat saya ingat kembali ketika mak saya bawa balik nasi goreng pattaya. Kami adik beradik kongsi makanan tu. Ya Allah sedihnya.

Mereka tanya ustaz nak solat Isyak di mana pula. Saya makin sedih sebab mereka ini baik-baik. Semoga Allah beri kekuatan.

Ramai dan sangat ramai anak yang hidup begini di KL ini. Ibu dan bapa mereka diuji, mereka diuji dan kita juga diuji. Mereka semua dahaga kasih sayang dan bimbingan yang baik.

Anak remaja kita dahagakan kasih sayang. Mereka suka buat amal kebajikan, tetapi mahu lakukan sama-sama dengan ibu dan ayah mereka.

Mereka dahaga kasih sayang dan belaian. Setiap kali mereka pakai tali kasut. Mesti kawan mereka tolong pasangkan.

Saya pun belajar tolong pakaikan tali kasut. Masa makan pun, mesti sendukkan lauk buat kawan-kawan. Mereka ada kasih sayang yang dalam.

Ya Allah, bantulah dan kuatkanlah kami semua. Berilah setiap kami orang Islam mula beri masa untuk dakwah ini. Sayangilah dan hargailah anak-anak kita semua.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Ebit Liew

Ebit Liew

Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew merupakan seorang perunding latihan dan penceramah motivasi melalui syarikat beliau Transform Training & Consultancy. Beliau telah mengendalikan lebih dari 1000 kursus korporat, pelajar, keluarga dan usahawan. Beliau juga merupakan panel jemputan media seperti Ikim.fm, TV Al-Hijrah dan sebagainya.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami