Inspirasi

Merdeka: Keamanan Ini Milik Kita

Oleh Asyiqin Rosmahadir  •  31 Aug 2018  •  5 min baca

Baba berpeluh mencari wang saku,
Kebaya ranggi dipinta Nyonya,
Ayuh sayangi Malaysiaku,
Keamanan ini kita punya.

Jaga Keamanan ‘Rumah’ Kita Bersama-Sama

Tanah air; Malaysia merupakan rumah kita semua bagi rakyat Malaysia. ‘Rumah’ yang kita impikan tentulah penuh keamanan demi meraih kebahagiaan.

Pastinya semua orang menyayangi rumah sendiri. Maka, sayangilah Malaysia. Biar tidak terkenal di seluruh dunia tetapi biar kita kekal aman dan sejahtera.

Berdasarkan Global Peace Index 2018, Malaysia berada di tangga ke-25 sebagai negara yang paling aman. Selain daripada itu, negara Malaysia menduduki tangga ke-5 sebagai negara aman di antara negara Asia-Pasifik.

Tahniah diucapkan kepada rakyat Malaysia! Dengan ini diharapkan penghuni Malaysia kekal menjaga keamanan dan nama negara kita sendiri.

Demi mengekalkan keamanan negara tercinta, kita semua mestilah menghargai keamanan yang diperoleh. Walaupun tidak seperti para tokoh dan pahlawan zaman dahulu, kita haruslah meneruskan perjuangan mereka. Sesungguhnya, Malaysia tetap negara kita yang harus dicintai.

Melalui wawancara bertajuk ‘Kenangan Seorang Negarawan yang dirakam pada Ogos 1982, persefahaman yang mulai wujud dalam kalangan rakyat Malaysia adalah pencapaian terbaik. Pesan Tunku Abdul Rahman Putra (Bapa Kemerdekaan);

“Saya berharap rakyat berbilang kaum dapat hidup dan berbaik-baik antara satu sama lain. Letakkan taat setia kita kepada negara. Baik buruk pun, Malaysia tetap negara kita.”

‘Rumah’ Tercinta Juga Perlu Dihias Indah

Setiap orang pasti mahu rumah masing-masing kelihatan indah dan seronok untuk didiami. Begitu juga sepatutnya yang perlu kita rasai dengan negara kita. Orang-orang yang berada dalam rumah dan persekitaran memainkan peranan yang penting sekali.

Berikut adalah tips penting untuk memelihara keamanan: Bersatu-padu dan berbaik-baik antara satu sama lain.

Terdapat pelbagai usaha khusus yang boleh dilaksanakan demi mengekalkan keamanan. Antaranya adalah mengadakan aktiviti sukan bersama-sama, menyambut hari kemerdekaan, meraikan sambutan perayaan bersama-sama dan banyak lagi.

Dengan usaha yang dilaksanakan, kita mampu mengekalkan keamanan serta kebahagiaan untuk selama-lamanya. Namun, sedarkah kita bahawa keamanan juga adalah nikmat daripada Tuhan? Dengan nikmat ini, kita dapat beribadah kepada Allah S.W.T dengan baik.

Nikmat keamanan yang kita peroleh merupakan anugerah terindah. Anugerah yang dikurniakan ini adalah untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T. Mari kita mengambil contoh kisah kota Mekah yang disebutkan dalam surah al-Baqarah.

“Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa: Ya Tuhanku, jadikanlah (negeri Mekah) ini negeri yang aman dan berilah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya, iaitu di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari kemudian…”Surah al-Baqarah 2:126

Apa yang dimaksudkan daripada ayat di atas ialah Nabi Ibrahim A.S memohon daripada Allah S.W.T agar Mekah menjadi negara yang aman dan menjadi kaya dengan sumber alam.

Kecintaan Nabi Ibrahim terhadap bumi Mekah amat besar dan ikhlas. Maka, contohilah Nabi Ibrahim yang membuktikan tanda cinta dengan mendoakan negaranya.

Serentak itu, Baginda juga meminta nikmat tersebut diberikan kepada yang beriman sahaja. Lalu, jawab Allah bagi permintaan Nabi Ibrahim (maksudnya):

“Dia (Allah) berfirman: Dan kepada orang yang kafir akan Aku beri kesenangan sementara, kemudian akan Aku paksa dia ke dalam azab neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”Surah al-Baqarah 2:126

Sesungguhnya, doa Nabi Ibrahim amat mujarab dan dapat dilihat sehingga hari ini. Contohnya, tidak pernah berlakunya peperangan di Mekah.

Selain itu, sumber ekonomi Mekah tetap berkembang dengan kebanjiran jemaah haji dan umrah yang datang beribadah di situ.

Namun ketika tentera bergajah datang, keamanan Mekah tergugat. Masihkah kalian mengingati peristiwa tentera bergajah yang dikalahkan oleh burung Ababil? Peristiwa ini turut diselitkan dalam al-Quran iaitu Surah al-Fil.

Abrahah Dan Tentera Bergajah VS Burung Ababil

Abrahah iaitu seorang pemerintah Yaman telah membina al-Qullays (gereja) yang cantik di Yaman. Niatnya adalah untuk menarik perhatian orang-orang Arab daripada Baitul Haram di Mekah beralih kepada gereja tersebut.

Namun, kaum Arab tidak beredar. Mereka menganggap bahawa mereka adalah daripada zuriat Ibrahim dan Ismail yang membangunkan rumah suci itu.

Oleh sebab itu, Abrahah mengambil keputusan untuk meruntuhkan Kaabah supaya orang Arab tidak lagi menumpu kepadanya. Maka, dia memimpin angkatan tentera yang ramai dan disertai gajah-gajah.

Semasa tentera bergajah menuju ke Mekah untuk merobohkan Kaabah, macam-macam insiden yang tidak dijangkakan telah berlaku. Gajah-gajah terduduk dan tidak mahu meneruskan perjalanan sewaktu ke Mekah.

Pada ketika itu juga, Allah S.W.T telah melepaskan pasukan burung yang melontarkan batu-batu Sijjil (batu yang terpalit dengan tanah). Dengan lontaran batu-batu itu, kesemua tentera dan gajah hancur dan parah.

“Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong (banyak). Yang melempari mereka dengan batu daripada tanah liat yang dibakar. Sehingga Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”Surah al-Fil 105:3-5

Selepas peristiwa itu, semua masyarakat Arab mula menghormati orang-orang Quraisy (kaum yang mendapat keistimewaan daripada Allah). Dalam al-Quran juga nama kaum itu diabadikan dalam sebuah surah; Surah Quraisy.

Jelaslah peristiwa tentera bergajah menimbulkan kesedaran akan nikmat yang terindah telah Allah kurniakan kepada mereka. Allah S.W.T memilih mereka menjadi penduduk yang dipelihara.

Begitu juga dengan negara kita sendiri yang terpelihara. Jangan sesekali leka dengan kehidupan kita yang mudah. Marilah sama-sama menjadi generasi yang memperoleh keamanan dan kemewahan serta tidak melupakan nikmat keamanan.

Pendek kata, apabila kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai insan yang disuruh Allah S.W.T, in shaa Allah kita semua akan sentiasa di bawah perlindungan-Nya. Keamanan tentu menjadi milik kita.

Ayuh ‘Sayangi Malaysia’ kita. Sambutlah Hari Kemerdekaan yang Ke-61 ini dengan penuh kesyukuran.

Mari sama-sama kita sedekahkan sepucuk doa buat Malaysia. Semoga keamanan ini dijamin kita punya untuk selamanya!

Rujukan;

1. http://visionofhumanity.org/app/uploads/2018/06/Global-Peace-Index-2018-2.pdf
2. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
3. Majalah Jom Isu No 20


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Asyiqin Rosmahadir

Asyiqin Rosmahadir

Seorang pelakon di pentas dunia. Acap kali menyandang watak gadis yang berusaha untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Kadangkala, lakonannya begitu indah di alam fantasi. Beliau gemar bersuara melalui tulisan dan sedang gigih berperang dalam dunia seni bina.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami