Sejarah

Menyingkap Sejarah Muslim Uyghur

Oleh Fieyzah Lee  •  20 Dec 2019  •  5 min baca

Terkini, tular di media sosial dan seluruh agensi berita apabila Mezut Ozil telah membuat kicauan di laman Twitter beliau yang mengkritik umat Islam berdiam diri tatkala etnik Muslim Uyghur ditindas di bawah kerajaan China.

Beliau telah memuat naik kenyataannya yang bertajuk ‘East Turkistan: Bleeding Wound of Islamic Ummah’ dalam bahasa Turki sekali gus menggambarkan etnik ini sebagai pejuang yang menentang penganiayaan ke atas diri mereka.

Kenyataannya telah dimuat naik dua hari sebelum pasukannya menentang Manchester City. Rentetan daripada itu, Arsenal dan beberapa pihak lain yang menyokong China dilihat cuba mempertahankan diri masing-masing dengan beranggapan bahawa kenyataan yang dikeluarkan Ozil tiada kena-mengena dengan mereka kerana ia hanya pandangan peribadi beliau.

Malah, disebabkan kicauan yang dinukilkan beliau, ramai di kalangan umat Islam mula memberikan komen-komen positif bagi menyokong tindakan tersebut dengan menggunakan tanda pagar #FreeUyghur di laman sosial.

Sebenarnya, isu penindasan Muslim Uyghur telah lama berlaku dan menjadi permasalahan sehingga kini. Ramai yang tidak berani untuk menyokong atau menunjukkan pembelaan terhadap etnik ini dek pengaruh dan kuasa besar China. Malah, dikatakan bahawa tiada bukti yang kukuh berikutan perkara ini.

Sebelum kita melihat sejarah terjadinya perkara ini, ayuh kita susuri terlebih dahulu sejarah saudara kita, iaitu etnik Uyghur.

Latar Belakang Etnik Uyghur

Etnik Uyghur merupakan salah sebuah etnik atau masyarakat asli yang menetap di Xinjiang yang bermaksud bersatu. Ia merupakan golongan majoriti yang tinggal di situ dan tergolong sebagai kaum Turki yang sering dijumpai di Asia Tenggara dan juga Asia Kecil.

Mereka merupakan komuniti Islam yang menetap di China dan menjadikan Mazhab Hanafi sebagai pegangan. Bahasa yang digunakan pula ialah Bahasa Turki, manakala Bahasa Mandarin pula dianggap sebagai bahasa asing.

Mereka juga dikenali sebagai kaum yang ramah dan mahir menyanyi serta menari. Dikatakan bahawa mereka mempunyai kemahiran dalam bidang pertanian seperti berkebun dan menanam kapas. Selain itu, mereka mahir menenun karpet dan dalam pembuatan pisau.

Bercerita mengenai Xinjiang pula, ia merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di China dan ibu kotanya ialah Urumqi. Dapat dilihat, pelbagai etnik yang berada di Xinjiang seperti Uyghur, Han, Hui Kazakh, Mongol, Uzbek dan Rusia. Antara kesemua etnik tersebut, Uyghur dan Han merupakan antara entik yang paling ramai dengan populasi masing-masing ialah 45 peratus dan 41 peratus.

Islam telah mula bertapak di China pada pertengahan abad ke-10 dan diperkenalkan oleh salah seorang dari Dinasti Karakitai yang memeluk Islam, iaitu Satuk Boghra.

Uyghur pada asalnya dikenali sebagai Yuanhe (semasa era Dinasti Wei), Weihe (semasa era Sui), Huihe (semasa era Tang) dan Weiwuer (semasa era Yuan). Kerajaan mereka telah didirikan antara tahun 744 dan 840 Masihi dan menjalin hubungan baik dengan Dinasti Tang.

Melalui beberapa catatan sejarawan lagi, etnik ini berjaya membantu Dinasti Tang daripada pemberontakan dari arah utara dan dengan itu dinasti ini telah melayan baik etnik Uyghur.

Walau bagaimanapun, pada tahun 840 Masihi, etnik Uyghur telah diserang dan berjaya dikalahkan oleh bangsa Kyrghyz. Rentetan daripada peperangan ini telah menyebabkan Uyghur berpecah.

Salah satu daripada pecahan ini telah mendirikan kerajaan yang diberi nama Karakhanid yang berlaku pada abad ke-9 sehingga ke-13. Ia dikatakan telah berpusat di Kashgar, Xinjiang. Kerajaan inilah yang telah membentuk kembali pengaruh Islam dalam kalangan mereka.

Kerajaan Karakhanid telah berada di bawah pengaruh kuasa Kerajaan Liao Barat pada pertengahan abad ke-12. Ia menjadikan seluruh kerajaan dan wilayahnya jatuh ke tangan kerajaan Mongol. Walau bagaimanapun, pengaruh Islamisasi masih lagi bertapak terhadap etnik ini apabila salah seorang penguasa keturunan Mongol yang memimpin Turkistan Timur ketika itu telah masuk Islam di bawah pengaruh seorang sufi.

Ia sekali gus telah menjadikan etnik Uyghur merupakan etnik Muslim sepenuhnya yang bertapak di China pada abad itu.

Kejatuhan Wilayah Xinjiang

Pada tahun 1750-an, wilayah Xinjiang telah jatuh ke tangan Dinasti Qing. Walau bagaimanapun, pada tahun 1949, dinasti ini telah runtuh dan jatuh ke tangan Republik China. Ia sekali gus menjadikan Xinjiang sebagai sebuah pemerintahan komunis China.

Konflik mula memuncak apabila kawasan yang berada di bawah pengaruh komunis telah ditindas dari segi agama, tradisi dan juga bahasa. Malah, penguasa komunis juga telah mengawal daerahnya daripada wujud unsur-unsur propaganda.

Pada abad 70-an sehingga 90-an, kerajaan China mula mengalami perubahan dengan menjadi lebih terbuka sehingga mengakibatkan munculnya beberapa gerakan yang menyuarakan pembebasan Xinjiang.

Pada tahun 1990, gerakan Nasionalis Uyghur mula muncul dan terbahagi kepada beberapa kategori bergantung kepada agenda dan cara mereka untuk mencapai tujuan.

Ia berterusan sehingga munculnya sebuah organisasi yang mempunyai kredibiliti dan membawa konsep untuk membebaskan Uyghur pada tahun 2004. Organisasi ini diberi nama World Uyghur Congress (WUC). Ia didirikan oleh beberapa kelompok pelarian yang bertapak di Jerman.

Objektif utama mereka adalah untuk menuntut kebebasan terhadap Muslim Uyghur dan memberikan hak yang sama rata terhadap mereka terutamanya dari segi kebebasan mengamalkan agama Islam dan memperoleh hak asasi mereka yang lain.

Kesimpulan

Walaupun telah banyak organisasi yang diwujudkan dan rakyat yang menyuarakan pandangan mereka terhadap penindasan yang berlaku ini, namun keadaan masih lagi sama terutamanya dari sudut hak beragama.

Walau bagaimanapun, sukar untuk kita mengetahui berita terkini bagaimana keadaan mereka yang sebenarnya di sana dek kekangan maklumat yang disalurkan.

Sebagai muslim yang bersaudara, doa adalah senjata terbaik yang boleh dikirimkan buat mereka pada masa ini.

Rujukan:
World Uyghur Congress
Muslim Uyghur


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami