Wanita

Menunaikan Solat Tanpa Telekung, Ini Tips Yang Boleh Diberi Perhatian

Oleh Fizah Lee  •  7 Jan 2021  •  3 min baca

Kita masih lagi berada dalam wabak pandemik COVID-19 dan langkah berjaga-jaga masih perlu diteruskan bagi mengawal diri kita daripada dijangkiti COVID-19.

Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengawal diri daripada dijangkiti wabak ini adalah dengan membawa kelengkapan solat sendiri ketika anda menunaikan solat di tempat awam atau masjid.

Ia juga termasuk dalam garis panduan yang telah ditetapkan bagi menjadikan kawasan masjid dan surau adalah selamat.

Untuk wanita, pasti perkara ini agar sukar kerana ketiadaan telekung di surau-surau untuk solat. Bagi sesetengah orang yang membawa banyak barang, pasti sukar untuk membawa telekung dan sejadah ke mana-mana.

Namun, sebenarnya buat anda yang bergelar wanita, boleh sahaja menunaikan solat tanpa menggunakan telekung. Tetapi, perlu dipastikan bahawa pakaian anda melengkapi syariat.

Jadi, ini beberapa tips dan perkara yang perlu diberi perhatian terhadap pakaian anda;

#1 – Pastikan anda memakai pakaian yang longgar dan tidak jarang

Kita melihat konsep telekung sendiri ialah longgar dan tidak jarang. Begitu juga apabila kita ingin menunaikan solat tanpa telekung, pakaian kita mestilah tidak ketat.

Hal ini juga adalah kerana syariat berpakaian bagi wanita mestilah longgar dan tidak menampakkan warna serta bentuk badan.

Syeikh Islam Zakaria Al-Ansari menyebut – “Tidak memadai bagi menutup aurat pakaian yang menampakkan warna kulit, iaitu orang yang dapat melihat warna disebalik pakaian tersebut seperti pakaian koyak yang tidak menghalang daripada dilihat warna kulit kerana tujuan sebenar menutup aurat tidak akan berlaku tanpa menutup perkara tersebut. Tidak memudaratkan (tidak mengapa) setelah pakaian tersebut menutup warna kulit jika menampakkan bentuk badan sekali pun tetapi makruh hukumnya bagi wanita dan khilaf al-Aula bagi lelaki. Ia disebut oleh Imam Al-Mawardi dan selainnya.” (Asna al-Mathalib, jilid 1/176)

#2 – Menutup kaki

Ada sesetengah wanita yang memilih untuk membawa kain sahaja berbanding dengan satu set telekung bagi menjimatkan ruang.

Hal ini kerana, kaki merupakan aurat yang wajib ditutup bagi wanita terutamanya di dalam solat. Justeru, anda juga boleh membawa stoking atau sarung kaki yang khusus untuk solat sahaja.

Dalam sebuah riwayat daripada Ummu Salamah RA, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW;

Maksud: “Adakah boleh seorang perempuan itu solat dengan memakai baju dan tutup kepala tanpa memakai izar (kain yang dipakai di bahagian bawah badan).” Nabi SAW menjawab: “Boleh, sekiranya baju itu labuh menutupi zahir kedua kaki.” (HR Abu Daud, no. 640)

#3 – Menutup pergelangan tangan

Mazhab Syafi’e menyebut, aurat wanita di dalam solat adalah keseluruhan anggota badan wanita kecuali muka dan kedua tapak tangan yang zahir dan batin, iaitu dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan.

Jadi, sebelum menunaikan solat tanpa menggunakan telekung, perlu dipastikan bahagian tangan ditutup sehingga ke pergelangan tangan.

Untuk lebih yakin dan mengelak daripada aurat terselak sewaktu solat, anda boleh menyediakan sarung tangan (handsock) untuk menjaga aurat lengan anda.

#4 – Sediakan kerongsang lebih untuk elak tudung anda daripada terselak pada bahagian belakang

Tudung wanita mempunyai pelbagai jenis seperti daripada kain sifon, satin dan sebagainya. Ada sesetengah tudung yang mudah bergerak berdasarkan pergerakan pemakainya.

Dibimbangi apabila sujud atau rukuk, tudung boleh terselak sehingga menampakkan aurat wanita.

Jadi, sediakan kerongsang sedikit untuk pin bahagian tudung dengan baju agar ia tidak mudah terselak.

Kesimpulan

Ulama menyebut bahawa hukum wanita yang solat tanpa menggunakan telekung adalah sah sekiranya pakaiannya menepati syariat dan menutupi aurat.

Jadi, perlu dipastikan bahawa pakaian tersebut adalah longgar sehingga tidak menampakkan bentuh tubuh dan juga dilabuhkan tudung sehingga menutupi dada.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami