Gaya Hidup

Menjual Dan Membeli, Apa Aturan Dan Syaratnya

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  14 Jan 2017  •  3 min baca

Islam tidak melarang jual beli kerana ada manfaat dan tujuan sosial yang terdapat padanya. Umat manusia sangat memerlukan proses jual beli dalam memenuhi keperluan ekonomi dan kehidupan. Jika hal ini dilarang, sudah tentu kehidupan manusia menjadi lebih sulit dan rumit.

Pun begitu, terdapat syarat tertentu dalam aktiviti jual beli ini menurut Islam, dan syarat ini perlu diperhatikan oleh umat Islam, antaranya;

#1- Jual Beli Yang Sukarela Dan Tiada Paksaan

Pembeli atau penjual bukanlah membeli atau menjual kerana dipaksa tetapi kerana keperluan dan sukarela dari kedua-dua pihak. Mereka juga mestilah faham dan tahu dalam aktiviti menjual beli, seperti tahu mengira wang dan harga sesuatu barangan.

Ini bermaksud, anak kecil yang masih belum pandai mengira tidak digalakkan dalam menjual beli, termasuklah juga orang gila.

Rasulullah SAW bersabda ;

“Janganlah kalian saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang timbul dari kerelaan di antara kalian…”

An-Nisaa: 29

#2- Barang Jualan Bukan Milik Orang Lain

“Janganlah engkau menjual barang yang bukan milikmu.”

Hadis Riwayat Abu Dawud

Pastikan barangan jualan adalah hak diri sendiri dan bukannya hak milik orang lain. Menjual barangan pemberian adalah dibolehkan asalkan dari sumber yang halal dan pasti akan status pemilikannya.

#3- Proses Jual Beli Yang Jelas Dan Tidak Mengelirukan

“Aku mahu menjual semua ikan dalam kolam ini…”. Ini adalah contoh jual beli yang mengelirukan. Berapa jumlah ikan dalam kolam itu?

Larangan menjual atau membeli juga adalah dengan menggunakan sesuatu (kerikil) yang dilempar untuk menentukan barang dan harganya. Bukankah setiap pembeli berhak untuk memilik barangan yang disukainya yang sesuai dengan kualiti yang dikendakinya?

Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim ;

‘‘Rasulullah SAW melarang jual beli hashaath (jual beli dengan menggunakan kerikil yang dilemparkan untuk menentukan barang yang akan dijual) dan jual beli gharar’‘ (tak pasti).

#4- Menjelaskan Kecacatan Atau Kerosakan Barang

Jika terdapat kecacatan pada sesuatu barangan yang dijual, penjual wajib menyatakannya, tidak boleh disorok atau ditutupi. Jika tidak, ianya dianggap menipu pembeli.

“Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain. Tidak halal bagi seorang muslim menjual barang dagangan yang memiliki cacat kepada saudaranya sesama muslim, melainkan ia harus menjelaskan cacat itu kepadanya”

Hadis Riwayat Ibnu Majah

#5- Menjauhi Riba

Allah sangat memurkai jual beli yang berdasarkan riba. Keuntungan yang didapatinya haruslah berasal dari usahanya yang sesuai dengan keuntungan yang patut diperoleh, bukan keuntungan yang tidak adil dan menzalimi pihak pembeli. Biarlah untung yang kecil tetapi berkat!

Tegas Allah dalam firmanNya;

“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Al-Baqarah: 275

#6- Terdapat Ijab Dan Kabul

Ijab kabul merupakan kesepakatan antara penjual dan pembeli atas dasar sukarela. Ijab adalah pernyataan penjual barang, dan Kabul adalah perkataan yang diucapkan oleh pembeli barang kepada penjual.

Selain itu, Ijab dan kabul dikatakan sah terdapat kesepakatan antara ijab dengan kabul pada barang yang ditentukan mengenai ukuran dan harganya.

#7- Jenis Barangan Yang Bermanfaat

Barang yang terlibat dalam proses jual beli mestilah ada faedahnya seperti makanan, bahan bacaan dan pakaian, bukan barangan yang sia-sia. Selain itu, barang tersebut dapat diketahui dengan jelas akan ukuran, bentuk, dan sifat oleh penjual dan pembeli bagi keuntungan kedua-dua pihak.

Menjual beli barangan haram seperti arak dan dadah sangat dilarang dan haram juga hukumnya.

Oleh itu, dalam menjalani aktiviti jual beli seharian, ada beberapa perkara yang perlu disemak daripada perlakuan yang dilarang Allah SWT. Ini kerana terdapat banyak hal yang terlepas pandang terutamanya hal yang kecil, tetapi kesan murka Allah sangat besar.

Semoga bermanfaat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami