Wanita

Menjadi Wanita Yang Cantik Atau Yang Mencantikkan Diri

Oleh Fizah Lee  •  5 Sep 2019  •  6 min baca

Menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri bukanlah suatu yang mudah dan boleh diambil ringan, malah amanahnya yang berat membuatkan kebanyakan wanita akan befikir banyak kali untuk memegang ‘jawatan’ tersebut.

Kini, kita melihat peratusan wanita yang berkahwin adalah berkurang. Wanita dalam kalangan 30 hingga 34 tahun yang masih bujang meningkat daripada 3.9 peratus kepada 32.8 peratus manakala wanita yang berusia 40 hingga 44 tahun juga meningkat daripada 3.8 peratus kepada 18.1 peratus antara tahun 2006 dan 2007.

Statistik ini kelihatan amat membimbangkan kerana ia membuktikan bahawa ramai wanita yang lebih selesa untuk membina kehidupan sendiri dengan tidak berumah tangga.

Malah, jika dilihat pelbagai kes dan isu rumah tangga yang rata-ratanya bermula dari kalangan kaum lelaki juga merupakan antara faktor wanita takut untuk berhadapan dengan situasi ini, bimbang jika akan bertemu dengan ‘Ustaz Hamadi’.

Walau bagaimanapun, jodoh dan ketentuan itu adalah rahsiaNya. Ada hikmah mengapa Allah menemukan anda dengan pasangan yang tidak mencapai tahap yang diinginkan. Ia merupakan ujian dari Allah kepada hambaNya.

Mungkin anda pernah mendengar kalimat ini – Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik dan begitu juga sebaliknya.

Kalimat ini adalah yang paling dekat dengan kita sebagai panduan untuk memilih pasangan hidup. Rata-rata akan terinspirasi dengan ayat ini untuk berusaha menjadi baik terlebih dahulu sebelum dipertemukanNya dengan pasangan masing-masing.

Malah, ramai yang percaya, jika diri sendiri sedang berusaha ke arah kebaikan, maka si dia juga sedang melakukan hal yang sama.

Walau bagaimanapun, tidak semua wanita bertuah untuk dikurniakan lelaki yang soleh sebaik Muhammad SAW. Ada yang diuji seperti kisah Asiah dan suaminya, Firaun.

Itu semua merupakan ujian kerana Allah tahu ‘kasut yang dipakaikan kepada kita adalah muat untuk saiz kaki kita sahaja.’

Bagaimana Mencantikkan Diri Dengan Peribadi Mulia

Menjadi cantik itu mudah. Setiap orang punya kecantikan yang tersendiri. Mungkin ada yang rendah diri dengan rupawan sendiri tatkala melihat ada yang lagi cantik darinya.

Namun, ketahuilah Allah itu indah dah Dia sukakan keindahan. Setiap ciptaan di muka bumi ini indah berdasarkan cara masing-masing.

Oleh itu, perkara utama yang boleh dilakukan untuk mencantikkan diri adalah percaya dan yakin dengan keindahan diri sendiri. Jangan menghina kelemahan diri sebaliknya, jadikan ia sebagai tangga untuk memperbaiki kelemahan.

Bagaimana ingin mencantikkan diri? Adakah dengan menutup cela di muka seperti menata rias muka dengan alat solek atau mendandan diri dengan pakaian-pakaian baru?

Itu merupakan cara tersendiri untuk mencantikkan diri melalui luaran. Islam tidak menghalang wanita untuk berhias namun jangan sehingga menimbulkan tabarruj, iaitu berlebih-lebihan kerana bimbang boleh menimbulkan fitnah.

Namun, sedarkah anda bahawa kecantikan yang sebenar datang dari dalaman. Walau cantik mana seseorang itu, namun kita tetap melihat peribadinya.

Jika elok dan indah peribadinya, maka eloklah luarannya. Ia adalah sesuatu yang mempunyai perkaitan dan tidak dapat disangkal lagi.

Jadi, bagaimana untuk menjadi wanita yang cantik dalaman?

عَسَىٰ رَبُّهُ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِّنكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُّؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا

Mafhum: “Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa – (meliputi) yang janda dan yang anak dara.” (Surah At-Tahrim, 66:5)

Berdasarkan kalam ini, terdapat beberapa ciri dan cara untuk wanita menjadi cantik bermula dari dalam.

#1 – Muslimah Dan Mukminah

Menjadi muslimah itu mudah, iaitu perempuan yang tidak meninggalkan adab dan tata tertib kesopanan walau di mana jua dia berada.

Namun, dengan menjadi mukminah ialah menjadi perempuan yang sentiasa beriman dengan ketetapan Allah serta tidak menyalahkan takdirNya.

Hatinya berpegang dan mempunyai ketetapan bahawa Allah itu Maha Kuasa di atas setiap sesuatu dan setiap yang berlaku adalah dengan kehendakNya dan bukan dilakukan secara sia-sia.

Oleh itu, hati perlu berpegang kuat kepadaNya supaya tidak mudah lemah dan terikut dengan emosi yang membuak-buak sehingga mampu memakan diri.

Menjadi muslimah itu dari luaran namun untuk menjadi mukminah itu adalah dari hati.

#2 – Qonitah

Qanitah di sini membawa maksud taat, iaitu patuh kepadaNya. Setiap amalan yang dilakukan adalah kepadaNya dan wanita yang baik itu tidak akan mencari alasan untuk lupa kepadaNya.

Walau dalam keadaan haid sekalipun, wanita sentiasa punya peluang dan ruang untuk taat dan melakukan ibadat kepadaNya.

Jika wanita itu seorang yang suka menata rias mukanya, maka ia akan memastikan wajahnya ditata rias tidak secara berlebihan kerana itu ajaranNya.

Jika seorang wanita itu suka untuk mengikut fesyen terkini, maka dia akan memastikan fesyen yang digayakannya masih mengikut syariah.

Untuk menjadi taat juga memerlukan seseorang itu bijak. Taat bukan dilakukan secara membabi buta.

Bayangkan, jika anda punya suami yang menyuruh anda untuk melakukan perkara mungkar, maka dalam hal ini seseorang wanita itu boleh ingkar akan suaminya kerana ia merupakan situasi yang menggangu gugat keimanan diri.

Taat kepada suami merupakan salah satu ajaran Islam, namun hanya dalam perkara-perkara yang diajar dalam Islam sahaja.

Pendek kata, setiap perkara yang dilakukannya akan berbalik kepada ajaran Islam. Adakah ia menunjukkan bukti ketaatan mahupun tidak.

#3 – Taaibah

Perempuan yang baik itu ialah yang mudah untuk mengakui kesilapan diri serta akan membaikinya ke arah yang lebih baik.

Ego itu merupakan satu sifat yang memang ada dalam diri seseorang kerana ia yang akan memandu dan mengawal kebaikan serta keburukan seseorang. Namun, jika anda mempunyai ego yang terlalu tinggi, ia merupakan satu penyakit yang perlu dielakkan.

Muslimah yang baik akan sentiasa bertaubat kepada Allah dalam setiap perbuatannya. Bertaubat itu tidak semestinya dengan melakukan solat sunat taubat setiap masa jika anda tidak mahu berubah secara drastik.

Anda boleh sentiasa istighfar dan berdoa di dalam hati supaya Allah mengampunkan dosa-dosa anda.

#4 – Abidah Dan Saaihah

Rajin beribadah dan merendah diri adalah bukti wanita itu mempunyai peribadi yang mulia. Ibadah itu bukan sahaja melakukan solat, namum apa jua perkara yang mendekatkan dirinya kepada tuhan.

Mendengar alunan al-Quran, berzikir, tidak bercakap benda-benda yang melalaikan dan sebagainya itu adalah salah satu cara untuk beribadah.

Ia juga bukan hanya beribadah kepada tuhan secara langsung, namun secara tidak langsung juga. Menjaga orang tua dengan sebaik-baiknya, memberi makan kepada kucing jalanan dan menjaga kebajikan adik-beradik merupakan salah satu ibadah kepada Allah secara tidak langsung.

Jaga hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia.

Namun, sebanyak mana pun ibadah yang dilakukan, yang paling penting ialah tetaplah merendah diri dan letakkan di hati bahawa amalan kita tidak pernah cukup untuk meraih cintaNya. Oleh itu, ia perlu ditingkatkan dan bukan dengan merasa selesa dengan amalan-amalan tersebut.

“Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya; nescaya akan dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam syurga dari pintu manapun yang kau mahu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kesimpulan

Belajar perbaiki diri dengan amalan-amalan asas yang dinyatakan oleh Al-Quran dan juga sunnahnya kerana menjadi perempuan yang cantik itu bukan sekadar dari luaran namun dari dalaman.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami