Inspirasi

Menjadi Bijaksana Dalam Hidup Bukan Kerja Sehari Dua

Oleh Natirah Azira  •  23 Nov 2018  •  3 min baca

Pada suatu hari, seorang wartawan bertanya kepada seorang CEO.

“Apakah rahsia kejayaan anda?”

Beliau menjawab,“Dengan melakukan pilihan yang betul”

“Bagaimana anda melakukan pilihan yang betul?”

“Dengan pengalaman”

“Bagaimana untuk mendapatkan pengalaman?”

“Dengan melakukan pilihan yang salah”

Jika kita bertanya kepada orang yang berjaya dalam apa-apa bidang sekalipun, mereka pasti akan menjawab menggunakan skrip yang lebih kurang sama.

Kita hanya akan lebih terkesan dengan suatu pengalaman yang dilalui apabila ia datang dalam bentuk yang sukar. Bayangkan jika kita dimarahi pensyarah atau majikan, dengan alasan yang benar untuk memberi tunjuk ajar, pengalaman tersebut pasti akan lebih ‘melekat’ di benak kita dan akan digunakan sebagai panduan di masa hadapan.

Contoh lain, sewaktu kecil, apabila kita dilarang oleh ibu bapa untuk memanjat kerana takut jatuh, biasanya kita akan melakukannya lagi dan lagi. Tetapi jika kita memang betul-betul jatuh dan cedera, barulah kita tahu rasa ‘sakit’ itu sebenarnya bagaimana.

Masalahnya ramai antara kita yang terlalu takut untuk melakukan kesalahan. Kita tidak akan belajar banyak perkara apabila terlalu berhati-hati. Apabila kita melakukan kesilapan, tidak dapat tidak, emosi akan tercedera, ada hati yang akan terluka dan ada ego yang akan tercalar.

Namun hakikatnya, itulah proses biasa dalam kehidupan. Kita makhluk yang ada perasaan dan berurusan pula dengan manusia lain yang juga ada perasaan. Di akhirnya, jika kita memandang apa yang dilalui sebagai proses untuk mematangkan fikiran, kita akan memperoleh hasil yang namanya kebijaksanaan.

Seseorang itu tidak akan menjadi bijaksana hanya dengan belajar sehari dua. Kadang-kadang ia memakan masa bertahun lamanya. Besi juga perlu ditempa berkali-kali sebelum terhasilnya pedang yang tajam.

Masih ingat cerita antara Nabi Musa dan Nabi Khidir? Kisah tersebut bermula apabila ketika berkhutbah, Nabi Musa telah diajukan soalan tentang siapa yang paling pandai. Lalu baginda menjawab bahawa bagindalah yang paling pandai. Lalu Allah mewahyukan kepada Nabi Musa;

“Ada seorang hamba di antara hambaKu
yang tinggal di pertemuan antara dua lautan lebih pandai darimu.”

Kisah ini ada diriwayatkan secara lengkap dalam hadis Riwayat Bukhari, nombor 119 dan perjalanannya dengan Nabi Khidir diceritakan dalam Surah Al-Kahfi.

Lalu bermulalah perjalanan Nabi Musa untuk mempelajari hikmah daripada Nabi Khidir. Hikmah yang diajarkan oleh Nabi Khidir ini tidak dapat difahami hanya dengan pengalaman yang sekejap, buktinya berkali-kali Nabi Musa melakukan kesilapan dengan bertanya perkara yang dilihatnya salah pada mata tetapi sebenarnya punya sebab tersendiri yang hanya diketahui oleh Nabi Khidir ketika itu.

Kesimpulannya, kebijaksanaan diperoleh apabila kita telah melalui proses percubaan, pembelajaran dan pengamatan yang panjang. Kita hanya akan mengetahui sesuatu keputusan itu tepat atau tidak apabila kita telah melaluinya. Dan Islam mengingatkan bahawa setiap perkara yang berlaku dalam hidup seorang Muslim itu, sama ada baik atau buruk pasti punya hikmah yang menanti.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami