Gaya Hidup, Ibadah

Menggerakkan Badan Ketika Zikir – Bid’ah Atau Sunnah

Oleh Fieyzah Lee  •  22 Jul 2019  •  6 min baca

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّـهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka.” (Surah Ali-Imran, 3:191)

Berzikir merupakan salah satu perbuatan dan sunnah yang sering diamalkan oleh Nabi Muhammad dengan pelbagai sebutan seperti Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar untuk mengingati Allah. Zikir sendiri membawa maksud ingat, yang diambil daripada perkataan Arab, iaitu ذکر.

Dari segi istilah pula, zikir merupakan salah satu cara dan perbuatan untuk mengingati Allah, sama ada dalam apa jua keadaan seperti selepas solat, melakukan kerja rumah, berdiri atau duduk.

Menurut Imam Zainuddin al-Malibari dalam kitabnya Kifayatul Atqiya’ Ila Thariqil auliya’, zikir ini tidak semestinya dilakukan dalam atau selepas solat, namun ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja kecuali di dalam tandas.

لاَ يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْبًا مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ

Maksud: “Hendaknya lisanmu sentiasa basah dengan zikir kepada Allah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Para ibu yang sedang memasak boleh mengalunkan zikir di bibirnya, guru yang sedang mengajar boleh meniti kalimah zikir pada bibirnya, pemandu bas yang sedang memandu juga boleh berzikir malah jika anda sedang bermain permainan video juga, boleh mengingatiNya dengan zikrullah.

Hari yang sedang anda lalui akan menjadi lebih tenang dan hati anda akan lebih dekat dengan Allah. Bukan sahaja akan diganjari pahala yang melimpah ruah, malah kecintaan anda kepada Allah akan bertambah. Dengan berzikir juga akan menjadikan kita seorang yang tenang dan tidak mudah dikawal oleh emosi serta nafsu.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّـهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Ahzab, 33:40-41)

Malah, Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan puterinya, iaitu Saidatina Fatimah RA supaya sentiasa mengucapkan Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahailallah, Allahuakbar ketika melakukan kerja rumah agar tidak mudah terasa penat dan sebelum tidur agar Allah sentiasa melimpahkan rezeki yang melimpah-ruah dalam kehidupannya.

“Dengan mengingati Allah, tandanya kita bersyukur, dan apabila bersyukur tandanya kita reda. Dengan reda hati kita akan tenang. Kita yang akan mengawal emosi, bukan emosi yang mengawal kita.”

Zikir Yang Berat Di Timbangan

Zikir ini mudah sahaja. Seperti yang disebutkan di atas, kita boleh melakukannya pada bila-bila masa, tidak perlu menunggu suatu waktu yang ditetapkan seperti solat atau puasa yang dilakukan pada waktunya.

Walau ia nampak ringan di lisan, namun Rasulullah SAW telah bersabda bahawa ia merupakan antara amalan yang paling berat di timbangan. Suatu perkara yang ringan ini selalunya dipandang enteng oleh mata kasar manusia, namun sebenarnya besar pahalanya dalam buku catatan Malaikat Raqib.

كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ ، خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Maksud: “Dua kalimat yang dicintai oleh Ar-Rahman, ringan diucapkan di lisan, namun berat dalam timbangan (amalan), iaitu Subhanallahi wa bihamdih, Subhanallahil ‘azhim (Maha Suci Allah, segala pujian untukNya. Maha Suci Allah Yang Maha Mulia).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Antara Bid’ah Dan Sunnah Dalam Zikir

Belakangan ini, kita mendengar banyak cerita berkenaan salah laku dalam berzikir. Ada yang diceritakan menari sambil berzikir, berjoget dan sebagainya.

Malah, perbuatan-perbuatan ini telah mengundang kepada komen-komen negatif. Salah satunya ialah bid’ah.

Sebenarnya, apakah yang dimaksudkan dengan bid’ah? Betulkah bid’ah itu ada yang elok dan ada juga yang tidak boleh diamalkan, bimbang akidah akan terpesong jauh.

Melalui penerangan yang telah dilakukan di dalam kitab Al-Mu’jam Al-Wasith (1/91), bid’ah ialah membuat sesuatu tanpa ada contoh atau perbuatan sebelumnya yang disandarkan.

Ia telah disandarkan berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Baqara, iaitu mencipta (membuat) tanpa ada contoh sebelumnya.

Al Imam Asy Syatibi dalam kitabnya al-I’tishom mengatakan bid’ah dari segi istilah ialah; “Suatu istilah untuk suatu jalan dalam agama yang dibuat-buat (tanpa ada dalil) yang menyerupai syariat (ajaran Islam), yang dimaksudkan ketika menempuhnya adalah untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah Ta’ala.”

Secara umumnya, dapat dilihat bahawa definisi bid’ah adalah hanya dalam beribadah dan bukan dalam adat dan ia merupakan suatu hal yang baru dalam masalah agama setelah sesebuah agama tersebut sempurna sebelum wafatnya Rasulullah SAW.

Menurut pandangan Imam Syafi’e, bid’ah itu terbahagi kepada dua, iaitu bid’ah mahmudah (hasanah) dan bid’ah mazmumah (dalalah).

Bid’ah (perkara baru) yang tidak menyalahi sunnah, masih mengikut syariat dan tidak menyebabkan akidah kepadaNya terpesong adalah tidak salah dan dikira bid’ah hasanah.

Manakala, bid’ah yang menyalahi sunnah dan mengakibatkan akidah terpesong adalah dikeji dan dilarang untuk diamalkan.

Sebagai contoh, imam yang membacakan talkin selepas jenazah dimakamkan adalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada yang masih hidup, maka itu tidak mengapa. Namun, jika dibacakan kerana percaya bahawa ia akan memberi bantuan kepada si mati agar boleh menjawab segala soalan malaikat Munkar dan Nankir, maka itu adalah bid’ah yang salah. Hal ini kerana, hanya amal si mati sahaja yang dapat membantunya di alam kubur, bukan dengan talkin tersebut.

Jadi, berkaitan dengan persoalan menari atau menggerakkan badan ketika berzikir itu bid’ah atau tidak, kita perlu melihat adakah pada zaman Rasulullah ada diamalkan perkara tersebut.

كاَنَ أَصْحَابُ رسولِ اللهِ صلى الله عليه و سلم إذا ذكَرَوُا اللهَ تَمَايَلُوْا يَمِيْناً وَ شِمَالاً كَمَا تَتَمَايَلُ الشَجَرَةُ بِالرِّيْحِ الْعَاصِفِ إِلىَ أَمَام ثم إلى وَرَاء.

Maksud: “Bahawasanya, para sahabat Nabi ketika berzikir kepada Allah, mereka bergoyang ke kanan dan ke kiri seperti goyangan pohon yang tertiup angin kencang ke depan lalu ke belakang.”

Ibnu ‘Asakir dalam Hayat al-Shahabah (1/49) dan Ibnu Katsir dalam Bidayah wa Nihayah (8/6) memberitahu bahawa Saidina Ali RA pernah menceritakan bahawa para sahabat akan menggerakkan badannya secara perlahan dan tenang seperti angin yang bertiup dan air mata mereka akan mengalir dalam zikir.

Menurut pendapat Al-Khalili dalam Fatawa al-Khalili (36) yang telah menjelaskan hukum bergerak-gerak dalam zikir ialah:

أن الحركة في الذكر والقراءة ليست محرمة ولا مكروهة بل هي مطلوبة في جملة أحوال الذاكرين من قيام وقعود وجنوب وحركة وسكون وسفر وحضر وغنى وفقر

Maksud: “Sesungguhnya bergerak semasa zikir dan membaca (al-Quran) bukanlah sesuatu yang diharamkan atau dimakruhkan bahkan, ia dianjurkan dalam beberapa keadaan orang yang berzikir sama ada secara berdiri, duduk, tidur, bergerak, diam, dalam perjalanan, di rumah atau kaya dan miskin.” (Kitab Al-Bariqah Al-Mahmudiyah, 6/61)

Berdasarkan dalil-dalil yang telah dinyatakan di atas, jelaslah bahawa berzikir secara menggerak-gerakkan kepala adalah bukan perkara yang bid’ah, namun ia telah diamalkan oleh para sahabat sejak zaman Rasulullah lagi.

Malah, perbuatan ini adalah harus untuk menambah kekhusyukan terhadap Allah SWT. Namun, jika perbuatannya dilihat keterlaluan sehingga menyerupai hiburan kaum lain, seperti tarian yang diharamkan, maka ia adalah tidak dibolehkan.

Cukuplah sekadar menggerakkan badan untuk mengelakkan diri daripada terlena atau untuk menambah kekhusyukan terhadap Allah.

Kesimpulan

Untuk membezakan sama ada sesuatu perbuatan itu adalah bid’ah atau tidak, kita perlu melihat kepada dalil-dalil yang dikemukakan oleh ulama’ dan para tafsir yang sahih agar kita tidak mudah menghukum setiap suatu perkara yang dianggap baru.

Malah, bid’ah dalam ibadah adalah boleh diamalkan, namun perlu didahului dengan niat yang betul agar hati kita tidak mudah terpesong.

Rujukan: Muslim.Or.Id & Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami