Gaya Hidup

Mengapa Saya Belum Dapat Kerja?

Oleh Saripah Fadhilah Al-Yahya  •  1 Aug 2019  •  3 min baca

“Ustaz! Kenapa saya masih belum dapat kerja walaupun sudah banyak kali hadir temuduga?”

Saya terkejut apabila pesara tentera yang juga ahli jemaah surau bertanyakan soalan itu. Beliau adalah kaki surau yang sangat konsisten dengan solat berjemaah dan selalu hadir kuliah saya.

Kisahnya, beliau baru dibuang kerja ekoran dianiaya orang. Selepas dibuang kerja, dia banyak menghadiri temuduga untuk kerja baru tetapi selalu gagal. Lalu fikirannya berkecamuk apa sebab kegagalannya yang berlaku secara berterusan.

Persediaan temuduga memang dirancang rapi, namun kegagalan seakan sentiasa melekat pada dirinya. Saya mulakan bicara:

“Abang! Rezeki adalah rahsia Allah! Jika menurut Rasulullah S.A.W, rezeki yang pasti sudah menjadi milik kita hanya 3 jenis”

يَقُولُ ابْنُ آدَمَ مَالِي مَالِي قَالَ وَهَلْ لَكَ يَا ابْنَ آدَمَ مِنْ مَالِكَ إِلَّا مَا أَكَلْتَ فَأَفْنَيْتَ أَوْ لَبِسْتَ فَأَبْلَيْتَ أَوْ تَصَدَّقْتَ فَأَمْضَيْتَ
Anak Adam selalu berkata “Aduhai hartaku! Hartaku! Maka adakah bagimu sebarang harta (yang memberi manafaat bagimu) wahai anak Adam melainkan apa yang kamu makan lalu kamu hadam (lalu keluar sebagai najis), atau apa yang sudah kamu pakai lalu kamu jadikannya lusuh (buruk), atau apa yang kamu sedekahkan lalu ia menjamin pahalamu (di akhirat kelak)Sahih Muslim

“Sebenarnya abang bukan tak dapat kerja, tapi rezekinya belum sampai. Rezeki adalah ketetapan Allah yang perlu diusahakan. Usah putus asa! Usaha perlu ditingkatkan seiring doa. Nanti saya kongsikan doa nabi Musa A.S mudah-mudahan Allah buka jalan rezeki.”

Benar! Rezeki adalah milik dan rahsia Allah. Ia disahkan oleh nabi Ibrahim:

إِنَّمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْثَانًا وَتَخْلُقُونَ إِفْكًا إِنَّ الَّذِينَ تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَا يَمْلِكُونَ لَكُمْ رِزْقًا فَابْتَغُوا عِنْدَ اللَّهِ الرِّزْقَ وَاعْبُدُوهُ وَاشْكُرُوا لَهُ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
(Nabi Ibrahim A.S berkata) “Kamu hanyalah menyembah berhala yang diperbuat oleh orang, tidak menyembah Allah yang mencipta segala-galanya, dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang dusta. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia, serta bersyukurlah kepadanya; (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikanSurah al-‘Ankabut 29:17

Cari rezeki dari sisi Allah bukan bermaksud duduk berzikir atau berdoa sepanjang hari di masjid tanpa sebarang usaha. Ia bermaksud berusaha sedaya mampu menerokai rezeki yang disediakan Allah di alam ini untuk kita.

Allah sebagai Tuhan yang maha bijaksana tahu apa yang terbaik untuk kita. Rezeki yang ditahan alirannya mempunyai sebab yang belum kita tahu rahsianya. FirmanNya:

وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَكِنْ يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ
Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambanya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekinya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakinya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyataSurah al-Syura 42:27

Bagi menenangkan jiwa pesara tentera ini, saya kongsikan doa nabi Musa yang mempunyai makna yang sangat bagus.

Saya minta beliau hayati kisah nabi Musa bermula dari ayat 15 sehingga ayat 28 surah al-Qasas supaya doa ini lebih mendasar maknanya ke dalam jiwa.

Penghayatan mendalam terhadap latar dan kisah sesuatu doa akan membantu penerimaan sebarang doa. Nabi Musa AS pernah berdoa dengan doa ini:

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan” Surah al-Qasas 28:24

Sebelum berpisah, sejurus selesai solat Isyak saya bersalam dengannya sambil membisikkan kata semangat:

“Jangan difikirkan sangat tentang rezeki kerja yang belum tiba. Insya Allah ia akan sampai apabila kena dengan ketetapan Allah. Syukurilah rezeki rohani yang sudah lama Allah kurniakan pada abang! Abang boleh konsisten datang berjemaah dan duduk dengar kuliah agama. Ia adalah rezeki yang dicemburui ramai orang lain yang sibuk mencari rezeki fizikal tapi kesuntukan masa untuk solat berjemaah dan mengisi jiwa dengan pengisian ilmu.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saripah Fadhilah Al-Yahya

Saripah Fadhilah Al-Yahya

Beliau merupakan graduan Universiti Sultan Zainal Abidin dalam Bidang Pengajian Islam Dakwah. Merupakan Felo Muda Dakwah di bawah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia. Minat dalam penulisan dakwah, kerja-kerja kebajikan dan menyampaikan motivasi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami