Ibadah

Mengapa Perlu Puasa Sunat Hari Tasu’a Sebelum Puasa Asyura

Oleh Natirah Azira  •  9 Sep 2019  •  3 min baca

Di dalam sebuah hadis yang sahih, yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ

Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”. (Riwayat al-Bukhari, no. 4054)

Bulan-bulan ini dipanggil bulan haram kerana ia adalah bulan-bulan yang dilarang berperang dan dianggap suci. Allah mengharamkan sebarang kezaliman yang dilakukan dan dosanya pula adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain.

Terdapat anjuran ibadah yang khusus dalam bulan haram. Contohnya melakukan umrah pada bulan Zulkaedah, haji dalam bulan Zulhijjah serta puasa sunat dalam bulan Muharam.

Anjuran Puasa Asyura

Puasa Asyura bermaksud puasa pada tanggal 10 Muharam. Ia amalan yang sangat dianjurkan setelah puasa pada bulan Ramadan.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ

“Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadan adalah puasa pada bulan Allah – Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.” (HR. Muslim, no. 1163)

Selain itu, puasa Muharam juga mengandungi kelebihan yang sangat besar, iaitu dihapuskan dosa setahun yang lalu.

Dari Abu Qotadah Al Ansori, berkata,

وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ فَقَالَ « يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ ». قَالَ وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَقَالَ « يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ

“Nabi SAW ditanya mengenai keutamaan puasa Arafah? Beliau menjawab, “Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” Beliau juga ditanya mengenai keistimewaan puasa ‘Asyura? Beliau menjawab, “Puasa ‘Asyura akan menghapus dosa setahun yang lalu.” (HR Muslim, no. 1162).

Mengapa Perlu Puasa Tasu’a (Puasa 9 Muharram)

Dianjurkan juga orang Islam supaya berpuasa pada tanggal 9 Muharam sebenarnya bagi membezakan amalan orang Islam dengan kaum Yahudi dan Nasrani.

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Abdullah bin Abbas RA, beliau menceritakan: Ketika Nabi SAW melaksanakan puasa Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk puasa. Kemudian ada sahabat yang berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diagungkan orang Yahudi dan Nasrani. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Tahun depan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Namun, belum sampai tahun depan, Nabi SAW diwafatkan. (HR. Muslim, no. 1916 – Status Hadis Sahih)

Bagaimana Jika Tidak Dapat Berpuasa Pada 9 Muharam?

Jika terdapat kekangan untuk seseorang itu berpuasa pada 9 Muharam, contohnya sakit, bermusafir dan lain-lain, maka tidak mengapa untuk berpuasa pada tanggal 10 Muharam sahaja.

Ibnu Hajar Al-Haitami dalam Kitab Tuhfah Al-Muhtaj juga menyimpulkan tidak mengapa untuk berpuasa pada hari Asyura sahaja. Namun jika tiada halangan, berpuasalah pada 9 Muharam juga.

Ibnul Qayim dalam Kitab Zaadul Ma’ad pula menerangkan bahawa puasa yang berkait dengan Hari Asyura ada 3 kategori iaitu:

1. Kategori paling sempurna – Puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, Hari Asyura dan sehari selepas Asyura (9hb, 10hb dan 11 hb Muharam)

2. Kategori kedua – Puasa pada 9 dan 10 Muharam berdasarkan banyak hadis.

3. Kategori ketiga – berpuasa pada 10hb Muharam sahaja.

Maka bagi sesiapa yang tidak berpeluang berpuasa pada hari ini, jangan risau, anda masih berpeluang berpuasa pada esok hari, 10 Muharam yang juga jatuh pada 10 September 2019. Selain mengharapkan ganjaran yang besar daripada amalan puasa yang dilakukan, semoga amalan ini juga lebih mendekatkan diri kita kepada Tuhan. Selamat berpuasa!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami