Inspirasi

Mengapa Iblis Dipanggil Iblis

Oleh Natirah Azira  •  10 Apr 2020  •  3 min baca

Kita pasti sudah sentiasa mendengar kisah masyhur antara Iblis dan juga Nabi Adam. Kengganan Iblis untuk tunduk menghormati Nabi Adam telah membuatkan Iblis dimurkai Allah. Itulah tragedi yang menjadi titik tolak kepada perseteruan antara Iblis dan juga umat manusia keseluruhannya.

Dendamnya membuatkan iblis berjanji bahawa akan menyesatkan seluruh umat manusia sehingga hari kiamat kelak. Sekaligus dia menjadi makhluk pendendam yang hilang harapan kepada rahmat Allah.

Dikatakan itulah antara kesinambungan kepada namanya – atau panggilan yang diberikan iaitu ‘Iblis’ yang bermaksud putus asa.

Menurut Ibnu Manzur dalam Kamus Lisanul Arab, perkataan Iblis berasal daripada kalimah ‘ablasa’ yang bermaksud putus asa daripada rahmat Allah.

“Demi kekuasaanMu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan daripada sebarang kederhakaan dan penyelewengan.” (Surah Sad :82-83)

Ibnu ‘Abbas pula menyatakan bahawa nama iblis dalam bahasa Ibrani ialah Azazil. Walau bagaimanapun ia adalah pendapat yang tidak kuat (hanya Ibnu Abbas yang berpendapat demikian). Malah tidak ada sumber yang kuat daripada teks Al Quran, Taurat mahupun Injil tentang perkara ini. Malangnya masih banyak cerita-cerita tentang Azazil yang disebarkan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sangat meragukan.

Adakah Iblis Daripada Golongan Jin Atau Malaikat

Banyak juga perbahasan yang timbul sama ada iblis yang disebutkan dalam ayat di atas termasuk dalam kalangan malaikat atau tidak. Ada pula yang mengatakan bahawa iblis dahulunya adalah ketua malaikat di syurga namun kerana keingkarannya dihukum sebegitu rupa.

Walau bagaimanapun ia adalah pandangan yang agak menyimpang dari kejelasan firman Allah dalam Surah Al-Kahfi ayat 50.

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam” ; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin salain daripadaku?” (Surah Al-Kahfi 18:50)

Ayat ini jelas mengatakan bahawa iblis adalah daripada golongan jin dan bukan malaikat. Iblis juga mengaku bahawa ia diciptakan daripada api sedangkan malaikat diketahui diciptakan daripada cahaya. Sifat malaikat pula adalah mentaati Allah dan sesekali tidak mengingkari perintah.

Allah Melarang Keras Orang Yang Berputus Asa Daripada RahmatNya

Allah sangat tidak menyukai orang-orang yang berputus asa serta hilang harapan kepadaNya. Ia seolah-olah kita berasa bahawa Allah tidak mampu untuk memberi kebaikan dan keampunan lagi kepada kita.

Itulah juga ciri yang sangat jelas ada pada iblis, rasa putus asa dengan rahmat Allah ditambah pula dengan rasa sombong dan besar diri kerana dia diciptakan daripada api yang dikira lebih mulia daripada Adam yang dicipta daripada tanah.

Allah mengingatkan dalam Surah Az-Zumar ayat 39 yang bermaksud:

“Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Az Zumar 39:53)

Harapan adalah perkara yang akan membuatkan orang tetap terus bertahan sekalipun berada dalam kekacauan dan kegelapan. Harapan kepada Allah lah yang akan menumbuhkan harapan kepada diri sendiri dan berupaya menerangkan semula pandangan kelam kita terhadap kehidupan. Ambil lah hikmah daripada kisah Iblis ini dan berdoalah sentiasa kepada Allah agar tidak sesekali mematikan harapan yang ada di hati kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami