Ibadah

Mengapa Gelaran Al-Masih Juga Digunakan Kepada Dajjal

Oleh Fizah Lee  •  6 Dec 2019  •  3 min baca

Sebelum dunia berada di ambang kemusnahan, iaitu berlakunya hari Kiamat dan munculnya hari pembalasan, manusia akan diuji dengan ujian yang paling dasyat, iaitu kemunculan Dajjal.

Dajjal yang muncul akan membawa fitnah yang paling besar kerana sifatnya sebagai pendusta dengan menyembunyikan kebenaran dan membuat tipu daya terhadap manusia.

Disebabkan dasyatnya fitnah Dajjal ini, banyak hadis dan penceritaan yang menyebut agar golongan muslim dapat menjaga diri sendiri daripada terkena fitnah ini. Antaranya ialah dengan mengamalkan 10 ayat awal dan akhir surah Al-Kahfi serta membaca doa yang diajarkan Baginda SAW.

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksud: “Ya Allah, sesungguhnya Aku berlindung kepadaMu daripada azab kubur, daripada azab neraka jahanam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-dajjal.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 588)

Walau bagaimanapun, wujud persoalan mengenai Al-Masih Al-Dajjal, iaitu mengapa panggilannya adalah sama dengan al-masih Isa.

Bagi umat Islam, Isa merupakan nabi yang ke-24 dan membawa ajaran Islam kepada kaumnya ketika itu manakala Dajjal pula merupakan seorang pembawa fitnah pada akhir zaman.

Makna Al-Masih

Al-Masih sebenarnya membawa maksud mengusap. Ia berasal daripada perkataan Arab, iaitu مَسَحَ. Terdapat dua orang yang diberi gelaran Al-Masih, iaitu Dajjal dan Nabi Isa.

Untuk permaknaan ini, para ulama membahaskan kerana sifat kedua mereka yang akan membawa ajaran dan jalan masing-masing agar pengikut mereka yakin dengannya dan mereka berdua juga akan bertemu di akhir zaman untuk mengakhiri peperangan yang berlaku pada masa itu.

Malah, bagi pendapat jumhur ulama yang lain termasuk apa yang diperkatakan oleh Mufti Wilayah, iaitu Al-Masih pada Nabi Isa membawa maksud orang yang membawa kebaikan dan kebenaran manakala pada Dajjal ialah orang yang membawa kebatilan dan kejahatan.

#1 – Al-Masih Isa

Nabi Isa digelar al-Masih kerana beliau banyak mengembara. Dalam erti kata lain, beliau telah banyak ‘mengusap’ permukaan bumi dan tidak menetap di suatu tempat sahaja.

Beliau juga diceritakan boleh menyembuhkan orang sakit dengan usapan tangannya.

سُمِّيَ بِذَلِكَ لأَنه كَانَ يَمْسَحُ بِيَدِهِ عَلَى الْعَلِيلِ والأَكمه والأَبرص فَيُبْرِئُهُ بإِذن اللَّهِ؛

Maksud: “Nabi Isa AS disebut Al-Masih kerana Baginda mengusap dengan tangannya pada orang yang sakit, orang yang buta sejak lahir, orang yang menderita sakit kusta, kemudian mereka sembuh dengan izin Allah SWT.” (Lisan Al-‘Arab, 2:593)

#2 – Al-Masih Dajjal

Menurut beberapa perbahasan ulama yang diceritakan melalui kitab-kitab bahawa, Dajjal dikatakan akan datang dari seluruh pelusuk bumi dan berpindah-randah dengan sangat cepat.

Dia juga boleh mengembara dengan mengunjungi mana-mana sahaja daerah yang diingini kecuali Mekah dan Madinah.

Al-Masih ini akan muncul pada akhir zaman dengan tugas masing-masing dan bagi umat Islam, wajib ke atasnya percaya dan beriman bahawa hari tersebut akan muncul untuk mengalahkan kebatilan.

إِنَّ المَسِيحَ يَقْتُلُ المَسِيحَ

Maksud: “Sesungguhnya Al-Masih Isa akan membunuh Al-Masih Dajjal” (Al-Misbah Al-Munir, 2:572)

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami