Ibadah

Mengapa Doa Aku Tidak Dimakbulkan?

Oleh Wan Zuriati Wan Jusoh  •  24 Sep 2018  •  5 min baca

“Aku dah penat berdoa, tapi apa yang aku doa tetap tidak kunjung tiba pun”

“Bila doa aku nak dimakbulkan?”

“Allah dengar tak doa aku?”

“Allah tak sayang aku ke? Apa yang aku doa mesti tak dapat”

Pernahkan? Kita dengar ataupun kita sendiri mengatakan ayat sedemikian. Kita merasakan Allah tak sayang kita, kita anggap Allah tidak peduli dengan keadaan kita.

Kita memberi tanggapan bahawa Allah itu tidak mendengar apa yang kita pinta. Namun adakah pernah terlintas di fikiran kita di mana silapnya kita sehingga Allah tidak mengurniakan apa yang kita minta?

Ataupun adakah benar Allah tidak memakbulkan apa yang kita minta? Mungkin saja Allah ingin memberi yang lebih baik dari yang kita minta?

Mari kita sama-sama meneliti dan cuba menyelidiki mengapa doa-doa kita ini tidak dimakbulkan dan diterima oleh Allah.

#1- Allah Ingin Memberi Sesuatu Yang Lebih Baik

Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Dan boleh jadi kamu membenci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui semuanya itu sedang kamu tidak mengetahuinya”Surah Al-baqarah : 216

Kadang kita fikir Allah tidak memakbulkan apa yang kita minta. Padahal Allah tahu apa yang kita minta itu mungkin sahaja tidak baik untuk kita. Apa yang kita minta tidak sesuai dengan diri kita.

Apa yang kita rasakan dapat memberi kebahagiaan kepada kita, mungkin sahaja tidak. Allah lah yang lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita.

Bukankah Allah yang menciptakan kita? Pastilah Allah yang mengetahui apa yang terbaik dan lebih baik untuk kita?

Di setiap saat yang kita jalani di dalam kehidupan kita sekarang, bukankah Allah mengaturnya secara baik dan sempurna?

#2- Kita Leka Dan Meremehkan Hak-Hak Allah

“Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu, Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu, Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah.” Rwayat Al- Tirmizi, Hadis Hasan Sohih

Dalam riwayat selain imam Al- Tirmizi disebutkan;

“Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapatiNya di hadapan engkau. Kenalilah Allah ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu ketika susah. Ketahuilah behawa apa-apa yang ditakdirkan tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas dari kesempitan itu ada bersamna kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kemenangan”

Kita tidak peduli langsung tentang hak Allah, solat tidak dijaga, kehidupan harian kita dipenuhi dengan kelalaian dan kemaksiatan.

Lalu bagaimana mungkin kita sentiasa mengharapkan Allah sentiasa memberi tanpa kita sedikitpun membalasnya?

#3- Terlupa Mensyukuri Apa Yang Telah Allah Berikan

“Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu : “ Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras”Surah Ibrahim :7

Cuba lihat diri kita dan sekeliling kehidupan kita? Bukankah sudah terlalu banyak yang Allah berikan? Bukankah sudah terlalu banyak sehingga kita tidak sempat pun untuk mensyukurinya? Allah memberi tanpa meminta sedikitpun bayaran.

Setiap hela nafas, rezeki, keluarga dan kehidupan yang selesa ini. Allah memberinya dengan sepenuh kasih sayang dan cintaNya kepada kita.

Mari kita bersyukur dengan apa yang telah Allah berikan dan dengan berkat kesyukuran kita ini, Allah akan menambahkan nikmatNya kepada kita dengan memakbulkan semua doa-doa kita.

Kita sudah mengetahui sebab-sebab doa kita tidak dimakbulkan, apa perkara yang menyebabkan doa-doa kita telah tertolak.

Apa kata sekarang kita ambil sedikit masa lagi untuk mengetahui bagaimana caranya untuk berdoa dengan betul dan menepati adab-adab berdoa sebagaimana yang dianjurkan di dalam Islam.

#4- Berdoa Dengan Bersungguh-Sungguh

Apabila kita berdoa, Kita mestilah berada di dalam keadaan bersungguh-sungguh. Ibarat orang ingin meminta sesuatu daripada kita, tetapi bersikap acuh tak acuh, jadi bagaimana reaksi dan respon kita sendiri?

Begitulah juga dengan Allah, Kita ingin meminta sesuatu daripadaNya tetapi tidak pun memberi kesungguhan di dalam meminta.

Jadi ubahlah cara kita berdoa, berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah. Jangan sesekali berputus asa di dalam berdoa. Berdoalah sehingga doa kita itu dimakbulkan.

#5- Berdoa Dengan Yakin Bahawa Doa Kita Akan Diterima

Kadang kita berdoa, tetapi kita berada di dalam keadaan ragu-ragu.

“Allah nak makbulkan ke doa aku ni”

Hilangkanlah segala keraguan di hati kita dengan menyerahkan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kita kepada Allah.

Yakinlah bahawa Allah mendengar dan akan memberi sesuai dengan apa yang kita pinta. Sesekali usah merasa ragu dan sangsi dengan Allah.

Ketahuilah Allah sentiasa akan mengurniakan aoa yang terbaik buat hambaNya yang tercinta. Bukankah Allah itu sifatnya Maha Pengasih dan Penyayang?

#6- Banyakkan Memohon Ampun Kepada Allah

Diriwayatkan bahawa ketika terjadi musim kekeringan di masa zaman Umar al Khattab, beliau meminta Abbas berdoa. Ketika berdoa, Abbas mengatakan;

“Ya Allah, sesungguhnya tidaklah turun musibah dari langit kecuali kerana perbuatan dosa. Dan musibah ini tidak akan hilang kecuali dengan taubat”

Sesungguhnya Allah amat menyukai hambaNya yang sentiasa bertaubat kepadaNya. Bertaubat dan memohon ampun kepada Allah atas segala dosa yang dilakukan akan menyebabkan kita dicintai oleh Allah.

Apabila Allah mencintai hambaNya maka semakin mudahlah Allah akan memakbulkan segala permintaan dan doa-doanya.

Marilah sama-sama kita renungkan kesilapan kita dan cuba untuk menjalankan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah.

Jagalah hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia. Semoga dengan segala kebaikan yang dilakukan Allah akan mempermudahkan segala perjalanan kehidupan kita dan menunaikan permintaan dan hasrat kita dengan memakbulkan doa-doa kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Wan Zuriati Wan Jusoh

Merupakan anak kelahiran Kelantan Darul Naim. Telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dan Dakwah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Berminat di dalam pembacaan buku pelbagai genre dan turut aktif di dalam bidang penulisan dan kini sedang bergelar sebagai seorang pendidik di Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kuala Krai Kelantan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami