Inspirasi

Mengapa 4 Nasihat Ini Perlu Diikuti Oleh Mereka Yang Mencari Ilmu

Oleh Fazli Abdullah  •  22 Jul 2020  •  4 min baca

Dalam menuntut ilmu, kita seharusnya menjaga adab-adab serta menjaga hati agar tidak tersasar ke arah yang tidak sepatutnya. Oleh sebab itu, ada beberapa nasihat serta adab-adab yang telah digariskan dan diajar oleh para ulama dan orang bijak pandai terdahulu.

Insha Allah, dengan panduan dan nasihat yang akan diberikan nanti dapatlah kita memandu hati kita menuju ke jalan syurga seperti telah disebut dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke Syurga.”(Hadis riwayat Muslim)

Jadi, mari kita telusuri 4 peringatan buat orang yang menuntut ilmu:

#1- Jangan Cepat Berputus Asa

Imam as-Syafie pernah berpesan:

“Bila kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.”

Dalam menuntut ilmu pasti kita tidak akan terlepas daripada ujian dan cabaran. Rasa penat, rasa letih dan kadangkala stres menghantui diri serta pelbagai lagi kesusahan lain. Sehinggakan ada yang rasa berputus asa untuk meneruskan langkah perjuangan untuk mendapatkan ilmu.

Percayalah bahawa tidak ada yang mudah dalam hidup ini. Jika mudah melakukan sesuatu pasti kehidupan ini tidak akan bermakna lagi. Kenapa tidak bermakna jika mudah dilakukan? Kerana pasti manusia akan bermalas-malasan dan tidak mahu berusaha keras kerana dia sudah tahu yang dia akan berjaya. Dan jika begitu apa nilainya lagi kejayaan jika jalannya mudah dan dapat digapai dalam sekelip mata sahaja. Kejayaan akan terasa biasa dan tidak manis lagi.

Ada satu ungkapan menyatakan:

“Ilmu tidak didapati dengan kerehatan tubuh badan.”

Tuntasnya, janganlah cepat berputus asa dan hadapilah dengan semangat juang yang tinggi. Ya, bersusah-susah dahulu. InshaAllah, bersenang-senang kemudian. Setiap kesusahan kita ada ganjarannya. Yakinlah kepada Allah.

#2- Jangan Merasa Diri Lebih Mulia Daripada Orang Lain

Orang yang berilmu seharusnya akan merasa lebih merendah diri. Dia tidak akan merasa bongkak dengan ilmu yang ada. Dia sedar dengan ilmu yang dimilikinya hanyalah sedikit sahaja. Ilmu yang dikurniakan kepadanya tidak akan terbanding dengan ilmu Allah SWT yang maha luas.

Dengan sebab itu, agak pelik dan aneh jika merasa diri lebih mulia daripada orang lain. Memang menuntut ilmu adalah satu kemuliaan tetapi janganlah merasa diri lebih mulia lalu memandang hina orang lain. Nauzubillah minzalik. Ilmu ini pemberian Allah maka janganlah dirosakkan dengan sifat mazmumah.

Kita tidak boleh memandang hina orang lain kerana kita lebih berilmu. Kita tidak tahu yang mungkin kita pandang hina orang itu rupanya dia lebih mulia disisi Allah SWT daripada kita. Di pengakhirannya mungkin lebih baik. Oleh itu, jagalah hati agar tidak menjadi seperti sejarah besar yang telah berlaku kepada Si Iblis yang merasa lebih mulia daripada Nabi Adam as lalu Iblis dikeluarkan dari syurga dan akhirnya dicampakkan ke neraka.

#3- Menuntut Ilmu Untuk Memberi Manfaat

Ilmu itu adalah cahaya. Oleh itu, sebarkan cahaya yang kita miliki kepada mereka yang berada dalam kegelapan. Tidak perlu sembunyikan dan rahsiakan jika ia baik untuk disebarkan.

Menuntut ilmu bukan hanya untuk membawa kebaikan kepada diri sendiri sahaja tetapi biarlah ia turut memberi kebaikan kepada masyarakat kita. Bila tahu, beritahulah. Bila tidak tahu, cakaplah tidak tahu.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah adakah sama antara golongan yang mengetahui dengan golongan yang tidak mengetahui…?” (Surah al-Zumar 39:09)

Orang yang berilmu dan orang tidak berilmu pasti ada perbezaannya. Oleh itu, manfaatkanlah ilmu yang dipelajari dan bukannya dikunci sepi di dalam minda lalu lama-kelamaan ditelan waktu. Akhirnya, terlupa. Ayuh, berilmu, beramal dan sebarkan.

#4- Tidak Fanatik Kepada Seseorang Guru

Kita sebagai murid dan pelajar pasti ada seseorang guru yang kita minati. Kita akan kagum dengan personaliti dan cara guru itu mengajar kita. Kadangkala boleh membawa taksub dengan segala percakapan dan pendapat guru tersebut.

Sebagai murid dan sebagai penuntut ilmu seharusnya tidak terlalu taksub hanya kepada seorang guru sahaja. Kita seharusnya banyak berguru dengan guru yang lain. Setiap guru mempunyai kelebihan tersendiri. Contohi ulama terdahulu yang banyak gurunya.

Semakin banyak guru yang kita ikuti, semakin banyaklah ilmu baru yang kita dapat. Ini akan menjadi kelebihan dan membawa kebaikan untuk kita. Dan tidak salah kita meminati seseorang guru kerana setiap manusia pasti ada insan yang dia kagumi. Tetapi janganlah sampai taksub sehingga menganggap jika berlainan (pendapat) apa yang diajar oleh gurunya semuanya salah. Yang benar hanya pendapat gurunya sahaja. Itu baru tidak betul.

Kesimpulan

Sebenarnya masih ada banyak lagi nasihat dan adab-adab dalam menuntut ilmu. Penulis hanya menekankan 4 nasihat sahaja di dalam ruangan ini. Hal ini, tidak bermakna adab-adab yang lain tidak penting. Semuanya saling berkait dan bersatu dalam menghasilkan keberkatan sesuatu ilmu.

Apa yang paling utama, tuntutlah ilmu kerana Allah SWT. Jangan sesekali tersasar seperti yang disebut di atas sehingga merasa lebih mulia daripada orang lain. Kita semuanya sama. Bezanya cumalah taqwa.

Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. Memburu Keberkatan Ilmu-Penulis Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
2. Islam.gov.my


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami