Keluarga

Mencari Formula Kejayaan

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  16 Jul 2019  •  5 min baca

Ucapan “Terima Kasih” yang diucapkan oleh suara yang tutur katanya masih pelat itu menarik perhatian saya untuk memerhatikan meja di hadapan saya.
Perbualan saya bersama suami sekali sekala terganggu seketika.

Saya bertentangan mata dengan pemilik suara itu. Seorang anak kecil bermata bundar, berambut kerinting dan bergigi jarang berusia 2 tahun mungkin. Saya senyum padanya dan menggerakkan kepala saya ke kiri dan ke kanan mengagahnya.

Lama juga dia merenung saya kehairanan. Kemudian dia membalas senyuman saya mempamirkan gigi jarangnya dan meniru apa yang saya lakukan, menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan sebagai tanda memberi respon kepada perhatian yang saya berikan.

Suami saya sudah biasa melihat gerak geri saya begitu. Dia tahu tentu ada anak kecil di hadapan saya. Anak kecil ini datang bersama ayah dan ibunya. Ayahnya membelakangkan saya manakala ibunya mengadap saya tetapi ibunya sedikit terlindung oleh suami saya yang duduk di hadapan saya.

Saya boleh melihat anak kecil yang duduk di atas kerusi tinggi bayi dengan jelas kerana dia duduk di hujung meja. Kenapa anak ini mengucapkan terima kasih? Kerana dia meniru ibunya yang mengucapkan terima kasih kepada pekerja restoran yang bawakan menu untuk mereka. 

Children see children do.

Penerapan nilai yang terbaik pada usia ini adalah teladan dari ibu bapa sendiri. Jika ibunya tidak mengucapkan terima kasih kepada pekerja restoran itu, mana mungkin anak sekecil itu tahu adab untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu, walau siapa sekalipun.

Sementara menunggu makanan yang dipesan, ibu muda itu menyuapkan anak kecil ini dengan donat yang mereka bawa sebagai bekal. Ada pendapat yang mengatakan bahawa jangan diberikan anak sebarang snek sebelum ‘main meal’ kerana jika anak sudah kenyang dia tidak mahu makan nasi atau ‘main meal’ lain yang disediakan.

Walau bagaimanapun dalam situasi anak ini, saya merasakan bahawa tindakan ibu ini adalah sesuatu yang sangat bijak dan proaktif.

Lumrah makan di restoran, makanannya tidak sampai serta merta walau restoran makanan segera sekalipun. Proses menunggu itu amat menyiksakan dan membosankan bagi anak kecil yang belum punya skil untuk menunggu dan bersabar.

Jika mereka lapar mereka mahu diberikan makan serta-merta, jika mereka bosan mereka mahu dihiburkan serta-merta. Itu sifat semulajadi anak kecil yang perlu difahami dan tidak seharusnya dipersalahkan.

Di sinilah di mana ada segelintir ibu bapa yang tidak cakna dengan perkembangan bayi atau kanak-kanak akan menyogokkan mereka dengan gajet sebagai kaedah ‘quick-fix’ untuk mendiamkan anak.

Saya melihat pelbagai interaksi dan ‘eye contact’ berlaku antara ayah, ibu dan anak kecil ini sepanjang dia disuapkan dengan donat. Sekali sekali anak itu memerhatikan saya dan menggerak-gerakkan kepalanya mengagah saya sepertimana saya lakukan pada awalnya. Comel.

Dia begitu aktif memerhatikan persekitarannya, termasuklah kerap mengagah saya dan tersengih kepada saya. Sekali-sekala dia bertanya sesuatu kepada ayah dan ibunya dengan bahasa yang saya tidak faham tetapi sudah semestinya difahami oleh ayah ibu yang sering berinteraksi dengannya.

Di tangannya anak kecil ini bermain-main dengan segugus ‘key-chain’ yang saya kira dibawa ke mana-mana sebagai ‘distraction’ sekiranya dia bosan. Anak kecil sifatnya responsif jika kita memberikan perhatian kepada mereka.

Apabila manusia yang melayan dan memberikan respon kepada mereka, mereka akan membalas layanan daripada manusia. Jika youtube, apps dan game yang memberikan respon dan perhatian kepada mereka, mereka akan menjadi responsif kepada youtube, apps dan game yang menjadi tontonan dan permainan mereka. Itu contoh yang mudah.

Saya pernah berkongsi pengakuan seorang bekas pengurus kreatif Google, Tristan Harris yang mengatakan bahawa gergasi-gergasi teknologi mempunyai pelbagai teknik dan kaedah untuk berperang dalam “War For Attention”. 

Ini merupakan satu peperangan untuk merebut perhatian kanak-kanak daripada ibu bapa mereka supaya anak-anak ini memberi tumpuan kepada aplikasi digital dan bukannya kepada ibu bapa mereka.

Jika anak lebih responsif dan lebih mendapat perhatian daripada youtube, apps dan game, maka ibu bapa akan sanggup membayar untuk mendapatkan apps tersebut, muat turun apps atau video tersebut dan seterusnya mempopularkan apps tersebut kerana anak-anak akan diam kerananya. Ini adalah teknik pemasaran.

Kesimpulannya jika anak anda lebih tertarik dengan perhatian dan respon yang diberikan oleh mesin (gajet), maka kita sebagai manusia kalah kepada teknologi dalam “War for attention” ini. Pernah tonton filem Terminator di mana manusia kalah kepada mesin? 

It’s a disaster.

Berbalik kepada kisah anak kecil tadi. Apabila makanan yang mereka pesan sampai, sekali lagi anak ini mengucapkan terima kasih kepada pekerja restoran kerana meniru ibunya yang mengucapkan terima kasih kepada pekerja itu.

Satu perkara lagi yang menarik saya perhatikan, walaupun anak ini masih kecil, makannya tidak disuap. Dia diberikan bahagian makanan untuk disuap sendiri.

Cara dia memegang sudu untuk menyuapkan makanan ke dalam mulutnya menunjukkan skil motor halus yang sudah biasa dilatih dan berlatih untuk makan sendiri dengan tertib.

Menyuap makanan sendiri adalah satu skil yang perlu dipupuk pada anak kecil. Ia bukanlah petanda ibu atau ayah yang tidak sayangkan anak. Anak sekecil ini tidak mungkin boleh makan dengan sempurna tanpa bersepah.

Inilah alasan yang diberikan oleh kebanyakan ibu bapa yang menyuapkan anak. Namun jika tidak dilatih, sampai bila-bila pun dia tidak akan terlatih. Kenapa saya begitu ‘mak cik bawang’ sekali memerhatikan anak orang?

Kerana saya suka memerhatikan dan belajar tentang ‘Success Stories’ atau Formula kejayaan untuk membesarkan, mendidik dan membentuk kanak-kanak kecil.

Di kala ada segolongan ibu bapa yang mengecam individu yang menegur tentang pemberian gajet kepada anak kecil ketika makan, ada segolongan ibu bapa lain yang sudah pun mengamalkan ‘success formula’ supaya anak kecil mereka tidak langsung bergantung kepada gajet sebagai penghibur.

Mereka sebaliknya berinteraksi dan memberi respon kepada anak kecil dengan positif. Mereka ini dikenali sebagai ibubapa yang proaktif kerana membuat persediaan terlebih dahulu sebelum menempuh sesuatu situasi bersama anak.

Ibu dan ayah anak kecil ini adalah salah seorang daripada ibu bapa proaktif dan saya sangat kagum dengan prinsip, ketekunan dan konsistensi yang mereka amalkan sehingga berjaya membentuk rutin dan tertib anak kecil mereka ketika makan.

Semoga menjadi pedoman untuk ibubapa lain yang masih mencari formula kejayaan itu. Jom teruskan belajar!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami