Inspirasi

Membenarkan Kehidupan Menjadi Guru Terbaik

Oleh Natirah Azira  •  11 Sep 2018  •  3 min baca

Kehidupan Guru Terbaik Jika Kita Membenarkan

Pernah dengar satu kata-kata bahawa “Kehidupan adalah guru terbaik”?
Barangkali ia benar apabila kita ‘sedar’ dan ‘membenarkan’ kehidupan menjadi guru kita sebenarnya.

Saya seorang yang suka merancang serta membayangkan apa yang dirancang. Dan apabila perancangan tidak berjalan seperti yang saya bayangkan, saya akan cepat kecewa. Takdir juga begitu, takdir bukan kawan yang semestinya akan selalu berpihak kepada kita.

Seperti semester ini, saya kembali ke kolej kediaman dengan harapan bahawa kehidupan yang meriah pada tahun pertama pengajian master akan berterusan, ada teman sebilik dari Afrika yang suka memasak makanan tradisinya, kami selalu bertukar juadah. Ada kawan-kawan yang selalu singgah dan menginap di bilik dan saya juga siap bawa makanan dari Terengganu untuk mereka.

Entah macam mana, saya betul-betul terlupa bahawa setiap kali masuk semester baru, para pelajar dikehendaki bertukar bilik. Dan semua orang perlu mengosongkan bilik pada hari terakhir semester lepas.

Kesudahannya, saya tidak dapat bilik lama yang telah saya huni selama setahun, rakan sebilik juga sudah berpindah ke bilik lain dan saya hampir didenda kerana meninggalkan barang. Saya masuk ke bilik baru yang berhabuk dengan perasaan kosong dan kecewa, seperti orang yang kehilangan rumah berharga.

Belajar Melepaskan

Ada saat dalam hidup, kita perlu lepaskan suatu perkara secara tiba-tiba. Kita kerap terlupa bahawa setiap apa yang ada di sekeliling kita bahkan dalam genggaman kita hanyalah pinjaman. Orang, hubungan, harta bahkan suasana yang kita lalui setiap hari. Segalanya bersifat sementara, jadi mengapa terlalu ‘berpegang’ kepadanya.

Bilik atau tempat tinggal pada hemat saya seperti dunia. Kita datang dan isinya dengan barang-barang, perabot, katil dan lama- kelamaan kita rasakan ianya seolah-olah ‘rumah kita’, milik kita.

Namun kita terlupa bahawa suatu hari kita perlu melepaskan kehidupan ini. Yang perlu kita cinta bukan dunia ini tetapi tujuan abadi iaitu akhirat sana. Segalanya bukan milik kita, ianya hanya pinjaman.

Saya pasti ramai orang di luar sana telah atau sedang belajar perkara yang lebih besar dan mencabar dari guru yang bernama kehidupan. Mungkin pelajaran yang lebih menyakitkan. Apa pun keadaan yang sedang dialami saya berharap anda akan terus berusaha untuk kuat hari demi hari. Hidup ini hanya sekejap. Kata Allah dalam al-Quran, hidup di dunia ini seolah-olah sesingkat waktu pagi atau petang sahaja.

“Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja”Surah An-Nazi’at 79:46

“Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?”
Mereka menjawab: “Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung.
Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia)” Surah Al-Mu’minun 23: 112-114

Kehidupan abadi hanya di sana. Kelak Allah akan memberi ganjaran atas setiap ujian yang kita harungi dengan kesabaran. Itu janjiNya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami