Ibadah

Memandang Wajah Allah Di Akhirat Adalah Kenikmatan Tertinggi

Oleh Natirah Azira  •  10 Apr 2019  •  3 min baca

Sesungguhnya orang Islam percaya bahawa di akhirat kelak (syurga), penghuni-penghuni syurga mampu melihat wajah Allah. Hal ini berdasarkan firman Allah dan juga beberapa riwayat sahih yang jelas. Diceritakan bahawa penghuni syurga sangat senang hati dan gembira melihat nikmat serta keindahan syurga. Wajah mereka pula dijadikan berseri-seri.

(وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ ، إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ)

Wajah-wajah (orang-orang mu’min) pada hari itu berseri-seri (indah). Kepada Rabbnyalah mereka melihat” (Surah Al-Qiyamah 75:22-23)

Bukan itu sahaja, mereka diberikan nikmat untuk melihat wajah Allah. Itulah nikmat yang paling besar, dan tidak ada lagi nikmat serta keindahan syurga yang mampu menandingi keindahan tersebut.

{لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ وَلا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلا ذِلَّةٌ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ}

“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya (melihat wajah Allah Ta’ala). Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni surga, mereka kekal di dalamnya” (Surah Yunus 10:26).

Dalam hadis yang sahih, Rasulullah memberikan penafsiran tentang erti “tambahan” dalam ayat ini iaitu kenikmatan melihat wajah Allah Ta’ala, dan baginda SAW ialah orang yang paling memahami makna firman Allah Ta’ala.

Dalam hadis yang sahih dari seorang sahabat yang mulia, Shuhaib bin Sinan R.anhu, Rasulullah SAW bersabda, “Jika penghuni syurga telah masuk syurga, Allah Taala Berfirman:

“Apakah kalian (wahai penghuni surga) menginginkan sesuatu sebagai tambahan (dari kenikmatan syurga)? Maka mereka menjawab: Bukankah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari (azab) neraka? Maka (pada waktu itu) Allah Membuka hijab (yang menutupi wajahNya Yang Maha Mulia), dan penghuni syurga tidak pernah mendapatkan suatu (kenikmatan) yang lebih mereka sukai daripada melihat (wajah) Allah Taala”. Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat tersebut di atas (HR Muslim, no 181 – Status Hadis Sahih)

Jika kita renung sejenak hal ini, pasti hati berasa takjub dengan keagungan Allah. Bayangkanlah nama Allah yang sering kita sebut-sebut ketika di dunia, ayat-ayat Allah yang sering kita baca, dan agama Islam yang kita anuti – adalah suatu yang nyata dan bukan ilusi, dan bukti terakhir adalah dengan melihat wajah Allah sendiri di akhirat kelak.

Namun, hanya penghuni syurga sahaja yang diberi anugerah ini sedangkan orang yang tidak beriman dihalang daripada melihat wajah Allah, bahkan dijadikan wajah penghuni neraka hitam legam.

“Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka (orang-orang kafir) pada hari kiamat benar-benar terhalang dari (melihat) Rabb mereka” (Surah al-Muthaffifin 83:15).

Ingat Akhirat Melumpuhkan Keinginan Pada Dunia

Kita bukan dilarang untuk menikmati apa yang ada di dunia, namun kita ditegah untuk terlalu lalai dengan apa yang diberikan di dunia ini. Berkali-kali Allah mengingatkan supaya jangan terpengaruh dengan apa yang ada di dunia – harta, kemewahan, nama, pangkat, bahkan orang sekalipun.

Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya (Surah Al-Qiyamah 75:20)

Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong (Surah Al-Qiyamah 75:26)

Semoga kita menjadi orang yang peduli dengan nasib sendiri. Sebagaimana di dunia ini, kita risau jika tidak ada wang,tidak ada kerja, tidak dapat mengurus hidup sendiri kerana takut dilihat hina di mata orang, begitulah juga kita perlu peduli dengan nasib diri di akhirat kelak, takut-takut kita terlihat hina pula di mata Allah.

Maka, usaha bermula dari saat ini. Bekalan akhirat perlu dicari supaya di akhirat kelak, paling tidak pun kita mampu berkata; “Ya Allah, engkau tahu aku telah melakukan usaha untuk mendekatiMu”. Wallahualam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami