Inspirasi

Melepaskan Bukanlah Tanda Kelemahan

Oleh Natirah Azira  •  10 Nov 2018  •  3 min baca

Seorang pensyarah memegang satu botol yang berisi air di dalam kelas dan bertanya kepada pelajar-pelajarnya.

“Berapakah berat botol air ini?”

Mereka mengemukakan berbagai jawapan.

“Bagaimana jika saya memegang botol ini selama beberapa minit?”

“Tidak ada apa-apa akan berlaku”

“Bagaimana jika saya memegang botol ini selama satu jam?”

“Anda mungkin akan mula berasa tidak selesa” jawab para pelajarnya.

“Bagaimana pula jika saya memegang lebih lama, empat hingga lima jam?”

“Tangan anda akan sakit dan lenguh”

Botol tersebut umpama masalah yang kita hadapi dalam hidup- rasa risau, kecewa, marah, putus asa. Namakanlah apa sahaja yang membebankan kita. Jika kita ‘memegang’ masalah tersebut terlalu lama, ia akan mula mempengaruhi dan akan mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan kita.

Seperti botol itu, persoalannya bukanlah tentang berat kerana beratnya masih sama. Persoalan yang sebenar ialah tentang tempoh masa. Semakin lama kita memegang, semakin kita rasa sakit.

Belajar Melepaskan

Melepaskan hal-hal tertentu dalam hidup memang bukan mudah lebih-lebih lagi jika ianya sangat penting dan signifikan pada diri sendiri. Namun, belajarlah memaafkan sekalipun ucapan maaf tidak kita terima. Terima apa yang telah terjadi dengan lapang dada meskipun pengalaman yang dilalui sangat berat dan menyakitkan.

Kemaafan yang diberi bukanlah untuk orang lain, tetapi untuk kesembuhan diri sendiri. Percayalah tidak akan sia-sia pengorbanan dan kesabaran kerana Allah akan memberikan kemuliaan.

Dan tidaklah Allah menambah seorang hamba dengan kemudahan untuk memaafkan kecuali Allah akan memberinya izzah (kemuliaan). (HR Muslim no. 6535)

Tinggalkan Kepahitan Dan Kebencian Di Belakang

Nelson Mandela pernah berkata saat pembebasannya dari penjara,

“Apabila saya berjalan ke arah pintu yang akan membawa saya kepada kebebasan, saya tahu jika saya tidak meninggalkan kepahitan dan kebencian yang saya rasai di belakang, saya masih seperti di dalam penjara”

Banyak orang menjadi pesimis kepada kehidupan apabila suatu pengalaman yang menyakitkan menimpa mereka. Dikhianati oleh rakan yang dipercayai, ditinggalkan dan dikecewakan.

Inilah yang akan terjadi jika rasa sakit yang dikumpul dalam diri mula merosakkan hati dan minda kita perlahan-lahan. Kita memandang kehidupan dengan pandangan yang sangat negatif seperti sudah tidak ada harapan. Episod sedih terus diulang-ulang, kita ‘menghidupkannya’ kembali meskipun ia telah lama terjadi.

Jika Ada Kesukaran, Pasti Ada Juga Perkara Yang Menyenangkan

Hidup ini sebenarnya seimbang. Jika ada kejahatan, maka ada juga kebaikan. Jika ada kesukaran, maka pasti ada juga perkara yang menyenangkan. Jika kita yakin bahawa hidup ini sementara, maka mengapa perlu terlalu bersedih dan terkesan dengan apa yang berlaku. Mengapa terlalu mencintai dunia dan apa yang ada di dalamnya?

Melepaskan sebenarnya mengajar kita tentang erti kekuatan. Setelah segenap usaha telah dilakukan, dan jika perkara tersebut masih tidak berpihak pada kita, maka kita perlu fahami bahawa ia bukan lagi untuk kita.

Kita bukan seorang yang berputus asa atau pengecut apabila kita memilih untuk melepaskan masalah, meninggalkan perkara yang sudah tidak bermakna, atau pergi dari hidup seseorang. Kita sebenarnya telah memilih untuk meneruskan perjalanan dengan harapan baru, untuk mengarungi hidup dengan lebih baik dan terus bergantung harap pada Tuhan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami