Gaya Hidup

Media Sosial, Medan Mengumpul Dosa?

Oleh Abdullah Bukhari  •  11 Oct 2019  •  3 min baca

Memang bosan dengan trend yang berlaku dalam media sosial. Gempar satu isu, maka berderet-deret pengguna media sosial akan buat ulasan baik atau buruk.

Ada yang bermati-matian menghentam orang yang dihukum bersalah atas sesuatu berita tanpa semak.

Selepas mangsa menafikan apa yang disebutnya, si penghentam tetap bermati-matian mempertahankan hentaman mereka yang barangkali dianggap “sangat besar pahalanya.”

Bayangkan apa tindakan kita jika kita yang menjadi mangsa hentaman? Tanpa sedar media sosial sering menjadi medan mengumpul dosa murahan dengan skim “dosa piramid” yang tak terjangkau angka dan sebarannya. Apa ubatnya? Ayuh kita tengok apa kata al-Quran:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. Surah al-Hujurat 49:12

Pangkal ayat ini dimulai dengan panggilan kepada orang beriman. Itu tanda mudah, kemampuan menahan diri daripada bersangka buruk dan mengumpat orang menjadi kayu ukur kesempurnaan iman kita.

Bukan sekali Allah mengarahkan orang beriman agar bersangka baik. Generasi sahabat pernah dipesan perkara sama dalam peristiwa Aishah R.A difitnah:

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُبِينٌ
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman – lelaki dan perempuan, berbaik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata” Surah al-Nur 24:12

Kenapa Allah menggunakan perkataan “diri mereka sendiri? Dalam ayat di atas” Antara hikmahnya adalah supaya orang beriman berhati-hati dalam berurusan dengan saudara seiman mereka kerana mereka bersaudara. Sanggupkah menyakiti saudara sendiri?

Sebagai akhirnya, saya ingin kongsikan sebuah hadis. Walaupun hadis ini dihukum lemah oleh para ulama’ hadis, maknanya cocok untuk menyokong ayat di atas. Sabda Rasulullah S.A.W:

ثَلاثٌ لازِمَاتٌ لأُمَّتِي : الطِّيَرَةُ، وَالْحَسَدُ، وَسُوءُ الظَّنِّ، فَقَالَ رَجُلٌ : فَمَا يُذْهِبُهُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ مِمَّنْ كُنَّ فِيهِ ؟ قَالَ : إِذَا حَسَدْتَ فَاسْتَغْفِرْ، وَإِذَا ظَنَنْتَ فَلاَ تَحَقِّقْ، وَإِذَا تَطَيَّرْتَ فَأَمْضِهِ
“Ada 3 perkara (perasaan yang muncul dalam hati tanpa paksa) yang sukar dilepasi oleh umatku iaitu; (1) kepercayaan kepada sial majal, (2) perasaan hasad dan (3) buruk sangka.” Seorang lelaki bertanya: “Apa cara untuk menghilangkan perasaan itu, Wahai Rasulullah?” Nabi menyambung: “Apabila kamu rasa (timbul) hasad, maka segeralah mohon ampunan pada Allah, apabila kamu ada buruk sangka, maka jangan percaya (sangkaan itu) dan apabila rasa terhalang (untuk meneruskan sesuatu urusan) kerana kepercayaan sial malang, maka teruskan kerjamu itu (Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Tabrani) (Hadis ini dinilai lemah kerana ada keputusan rantaian periwayat hadis dan ada perawi yang dipertikai kredibilitinya).

Selepas ini, apabila dengar sahaja berita semaklah dahulu. Jika ia tak betul maka tanam-lah tanpa nisan. Jika ianya benar, carilah si fulan yang mengeluarkan kenyataan dan mintalah penjelasannya. Insya-Allah ini cara paling selamat!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami