Inspirasi

Masjid-Masjid Utama Di Dunia (Bahagian 2)

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  5 Jun 2017  •  5 min baca

#11 – Masjid Raya Baiturrahman

Masjid Raya Baiturahman terletak di Aceh, Indonesia. Masjid berwarna putih dan berkubah hitam ini dibina pada tahun 1612, iaitu semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda.

Masjid ini terselamat dan kekal utuh dalam peristiwa Tsunami Aceh pada tahun 2004, bahkan menjadi tempat mangsa bencana berlindung dari kejadian itu. Sehingga kini Masjid Raya Baiturrahman menjadi ikon utama Banda Aceh.

#12 – Masjid Kobe

Masjid Kobe adalah masjid pertama yang didirikan di negara Jepun dan terletak di daerah Kobe. Masjid ini dibina pada tahun 1928 dan disediakan dengan ketahanan dari bencana gempa bumi besar yang sering melanda Jepun. Selain itu, masjid ini juga terselamat dari Perang Dunia Kedua walaupun ketika itu daerah Kobe hancur seluruhnya.

Menariknya, walaupun terletak di Jepun, Masjid Kobe dibina dengan gaya dan tema tradisional dari India oleh arkitek Josef Svagr.

#13 – Masjid Jamek Delhi

Masjid ini terletak di wilayah Delhi dan merupakan masjid yang terbesar di India. Masjid ini dibina oleh Raja Shah Jahan pada tahun 1644 sehingga siap dibina pada tahun 1656.

Masjid besar ini mampu memuatkan sehingga 25,000 jemaah dan mempunyai seni bina tradisional Mughal India yang sangat cantik. Masjid ini mempunyai tiga gerbang besar, empat pilar besar, dan dua menara setinggi 40 meter.

#14 – Masjid Menara Kudus

Masjid Menara Kudus terletak di Kudus, Jawa Tengah, Indonesia. Masjid ini dibina pada tahun 1549 oleh salah seorang daripada Wali Songo, iaitu Sunan Kudus. Dipercayai masjid ini dibangunkan dengan batu asasnya dari Baitul Maqdis, Palestin.

Masjid ini sangat unik kerana terdapat percampuran budaya dan mirip dengan candi terutamanya di bahagian manaranya yang berwarna merah. Ini menjadi simbol perpaduan dan keharmonian antara budaya Islam dan Hindu, yang menjadi keutamaan dakwah Islam ketika itu.

#15 – Masjid Tombul

Masjid Tombul atau nama lain bagi Masjid Sherif Halil Pasha terletak di kota Shumen, Bulgaria dan dibina pada tahun 1740 sehingga siap pada tahun 1744. Masjid ini menjadi kunjungan utama masyarakat Islam yang datang ke Bulgaria serta kebanggaan bagi penduduk Bulgaria sendiri.

Masjid Tombul merupakan masjid yang terbesar di Bulgaria dan kedua terbesar di seluruh Balkan. Masjid ini juga dibina dengan bercirikan seni bina Uthmaniyah, serta dihiasi dengan corak geometri tumbuhan serta kaligrafi al-Quran. Ini kerana pembinaan masjid ini adalah pada kegemilangan kerajaan Uthmaniyah yang berjaya meluaskan kekuasaannya sehingga ke Bulgaria.

#16 – Masjid Faisal

Masjid Faisal ini terletak di kota Islamabad, Pakistan dan merupakan masjid ke-9 terbesar di dunia. Masjid ini dibina pada tahun 1987 dengan keluasan 5,000 meter persegi dan mampu menampung sehingga 700,000 orang jemaah pada waktu yang sama.

Masjid ini dinamakan dengan ‘Masjid Faisal’, kerana memberi penghormatan kepada Raja Faisal bin Abdul Aziz yang merupakan penyumbang utama dalam projek pembangunan masjid ini, iaitu sebanyak 120 juta USA.

#17 – Masjid al-Saleh

Masjid al-Saleh terletak di Sana’a, Yaman. Masjid ini merupakan masjid terbesar dan paling moden pembinaanya di negara itu. Masjid al-Saleh dibina dan dirasmikan pada bulan Ramadan tahun 2008 oleh Presiden Yaman; Ali Abdullah Saleh, dan dari nama tokoh inilah masjid ini diberi nama.

Masjid ini juga berkeluasan penuh 27,300 meter dan mampu menampung sehingga 44,000 orang jemaah. Dengan bercirikan seni bina Yaman dan diperbuat dari bahan yang terbaik serta tahan dengan cuaca yang ekstrem menjadikan masjid ini kukuh dan sangat indah. Masjid al-Saleh ini terbuka dan menerima kunjungan dari pengunjung yang bukan beragama Islam juga.

#18 – Masjid Djenne

Masjid ini dibina di Mali pada abad ke-13 dan dibina semula pada tahun 1907. Masjid Djenne terkenal sebagai masjid paling unik di dunia, selain turut menjadi mercu tanda di Afrika.

Masjid ini dikatakan lain daripada yang lain kerana bahan binaaanya adalah daripada lumpur yang dikeringkan dengan matahari dan sangat kukuh sehingga kini. Setiap tempoh tertentu, masyarakat setempat akan memperbaharui dinding masjid tersebut dengan lumpur yang baharu.

#19 – Masjid Agung al-Fateh

Masjid Agung al-Fateh terletak di kota Manama, Bahrain. Masjid ini juga dikenali dengan nama al-Fateh Islamic Center. Masjid ini merupakan salah satu masjid termegah dan terindah di dunia. Masjid ini dibangunkan oleh Almarhum Sheikh Isa bin Salman al-Khalifa pada tahun 1987 dan diberi nama bersempena nama Ahmed al-Fateh, iaitu seorang penakluk Bahrain.

Masjid ini antara masjid yang terbesar di dunia, iaitu mampu menampung lebih kurang 7,000 jemaah dan berkeluasan 6,500 meter persegi, sekaligus memiliki kubah masjid terbesar di dunia.

#20 – Masjid Qolsharif

Masjid Qolsharif terletak di Kazan, Republik Tatarstan. Masjid ini merupakan masjid tercantik di Rusia, serta menjadi kebanggaan masyarakat Islam Kazan di sana. Masjid Qolsharif juga adalah masjid terbesar di Rusia dan Eropah. Dinamakan dengan ‘Qolsharif’ bersempena dengan nama Imam Qolsharif yang meninggal dunia dalam mempertahankan Kazan dari pendudukan Rusia pada tahun 1522.

Masjid ini dibina pada tahun 1552 dengan warna putih dan biru yang menjadikan masjid ini lebih indah, ditambah dengan kubah menara masjid di sekelilingnya yang berdiri tinggi menjulang. Terdapat unsur Renaissance awal dan juga seni bina Uthmaniyah dalam pembinaan masjid ini.

Sejak bermula perkembangan Islam lagi, Rasulullah SAW memulakan segala gerakan Islam di Masjid. Dari saat itu sehingga kini, masjid menjadi tempat berbincang, mengatur strategi, menjalankan perdagangan dan aktiviti sosial Islam sehinggalah kepada penyebaran dan aktiviti agama.

Jadi, masjid bukan sahaja penting sebagai tempat beribadah sahaja tetapi sebenarnya sebagai identiti umat Islam dengan melihat bagaimana sesebuah masjid tersebut diimarahkan. Masjid bukan sahaja perlu dihiaskan bagai sebuah istana tetapi dimeriahkan dengan amalan ibadah umat Islam keseluruhannya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami