Ibadah

Masa Berlalu Begitu Pantas Tanda Dekatnya Kiamat

Oleh Fizah Lee  •  22 Jan 2020  •  3 min baca

Dalam Al-Quran, kita banyak mendengar kisah dan kalam Allah berkenaan masa. Bahkan, ada sebuah surah yang Allah telah bersumpah dengan masa di dalamnya.

Ia membuktikan kepada kita bahawa masa itu merupakan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan setiap orang. Dengan masa yang diberikan setiap hari, manusia dan seluruh makhlukNya boleh melaksanakan pekerjaan mengikut pelan yang ditetapkan jika mempunyai disiplin terhadapnya.

Setiap manusia diberikan 24 jam yang sama. Ada yang tahu menghargainya dengan perkara-perkara yang bermanfaat, namun ada golongan lain yang akan mensia-siakannya dan ada juga mengadu masa yang diberikan tidak cukup sedangkan setiap orang diberikan jumlah masa yang sama.

Sedarkah anda, semakin lama masa seakan bergerak semakin pantas. Sewaktu masih kecil, kita merasakan sehari yang dilalui adalah sangat lama sehingga kita boleh melakukan apa sahaja dan menghabiskan permainan dengan kawan sebanyak mana yang kita inginkan.

Semakin kita membesar, kita sedar bahawa masa menjadi semakin singkat. Banyak perkara yang tidak sempat dilakukan dan kadang-kadang kita akan berdoa agar diberi ‘bonus masa’ dalam sehari. Mungkin anda berangan masa anda akan menjadi 25 jam atau mungkin juga 26 jam sehari sedangkan benda itu tidak akan terjadi.

Ia sebenarnya berlaku kerana tanggungjawab dan perkara yang perlu diselesaikan dalam sehari semakin bertambah. Dalam erti kata lain, semakin bertambahnya usia, maka semakin bertambahnya tanggungjawab dan manusia memerlukan masa yang lebih untuk menyelesaikan segala tugasnya.

Walau bagaimanapun, dalam Islam sebenarnya ada disebut mengenai keberkatan masa. Masa yang dirasakan berlalu dengan pantas seperti pendeknya siang atau tugasan yang ada tidak sempat dilaksanakan dan sebagainya merupakan tanda-tanda kiamat.

Ia ada dibahaskan oleh beberapa ulama seperti Imam Ibn Hajar Al-Asqalani melalui kitabnya Fath Al-Bari. Imam Al-Nawawi juga berpendapat bahawa masa itu berlalu dengan pantas apabila hilangnya keberkatan masa.

Walaupun dalam sains juga ada dikaji mengenai peredaran bumi yang mengelilingi matahari dan boleh mempengaruhi masa yang berjalan, namun Baginda SAW menyebut bahawa peredaran tersebut berlaku dengan pantas juga merupakan tanda-tanda kiamat ditambah dengan bencana dan ujian yang diturunkan di bumi, semuanya adalah peringatan yang diberikan olehNya.

Terdapat beberapa hadis dan juga periwayatan yang menyebut bahawa, masa berlalu begitu pantas sebenarnya merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat. Antara hadis yang pernah disebutkan ialah daripada Anas bin Malik RA, Baginda SAW pernah bersabda:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، فَتَكُونُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ، وَالشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونُ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ، وَيَكُونُ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ، وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَالضَّرَمَةِ بِالنَّارِ

Maksud: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” (Hadis Riwayat Al-Tirmidzi, no. 2332)

Hadis sahih ini bahkan banyak lagi hadis yang berbicara mengenai kepantasan masa yang berlalu sebagai salah satu tanda kiamat adalah untuk memberi kesedaran dan peringatan kepada manusia agar lebih menghargai masa dan tidak lalai terhadap urusan duniawi sehingga mengabaikan perihal akhirat.

Seimbangkanlah antara dunia dan akhirat agar kita tidak terlalu tenggelam dalam kelalaian dunia.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami