Inspirasi

Mari Zahirkan Wajah Indah Masjid Di Kawasan Anda

Oleh Tim Tazkirah  •  31 Jan 2018  •  7 min baca

Saya masih ingat ketika saya mengikuti rombongan Jejak Tarbiyah ke Acheh dua tahun yang lalu.

Pelbagai pengisian ilmu diselitkan sepanjang perjalanan, Jejak Tarbiyah adalah sebuah komuniti kemasyarakatan membawa misi yang sangat murni, iaitu untuk membina perpustakaan mini di sana, di sebuah masjid di Kampung Lambada, Acheh.

Berkotak-kotak buku di bawa, dan sebaik saja kami mengemas dan menyusun buku-buku di rak, kanak-kanak yang tahu keberadaan dan tujuan kami ke situ mula datang mengerumuni.

Mereka mencapai buku dan mula membaca. Keriangan jelas terpancar di wajah mereka.

Di situ, binaan masjidnya bersifat ‘open space’, tidak ditutup dengan dinding batu, hanya bertiang, maka lebih mudah untuk sesiapa sahaja berkunjung ke masjid.

Tambahan pula, seni bina begitu memudahkan untuk air lalu jika terjadi lagi air pasang kerana Tsunami atau banjir besar.

Ini merupakan salah satu contoh bagaimana masjid dapat diimarahkan iaitu dengan ilmu dan juga aktiviti kemasyarakatan.

Di Malaysia pula, khususnya di beberapa masjid yang pernah saya kunjungi di sekitar Selangor, masjidnya juga meriah dengan majlis ilmu dan aktiviti kemasyarakatan.

Terdapat kelas-kelas dan dewan serbaguna dibina di kawasan masjid untuk memudahkan kanak-kanak belajar, malah ada juga kawasan khas untuk makan seperti kantin masjid. Ia disediakan bagi memudahkan jika terdapat keraian atau jamuan penduduk setempat.

Namun keadaan masjid mungkin sedikit berbeza di kawasan kampung dan pedalaman. Masjidnya lebih kecil dan ruang juga agak terhad.

Namun, masih terdapat beberapa usaha yang boleh dilakukan untuk mengimarahkan masjid. Jadi mari kita hayati fungsi masjid pada zaman dahulu dan kini.

Masjid Pada Zaman Rasulullah

Pasti kita mengetahui sedikit sebanyak kisah penghijrahan Rasulullah S.A.W ke Madinah.

Perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi S.A.W sebaik sahaja tiba di Madinah, bukanlah membina pasar, tempat makan, ataupun rumah untuk Baginda tinggal tetapi masjid, tempat yang menjadi tumpuan umat Islam berkumpul.

Masjid pada waktu itu bukan hanya menjadi tempat umat Islam melakukan ibadah khusus, malah menjadi tempat berbincang, tempat belajar, tempat para musafir berehat melepaskan penat dan sebagainya.

Jika masjid hanyalah tempat biasa masakan terdapat hadis yang menegaskan tentang golongan yang mendapat naungan di padang Mahsyar kelak adalah golongan yang hatinya dekat dengan masjid.

Masjid umpama magnet yang menarik kebaikan. Orang yang datang ke masjid pasti hatinya berniat untuk mencari sesuatu kebaikan.

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa:

Nabi s.a.w telah menghantar pasukan (skuad) tentera berkuda dan menawan Thumamah bin Uthal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi s.a.w. Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?”

Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”.

Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya. Keesokannya Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”.

Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”.

Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”.

Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”.

Lalu Nabi s.a.w memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.

Lalu Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”.

Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi. Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..”

Betapa hadis ini menceritakan tentang hikmah yang sangat besar bagi orang yang mendekati masjid, sama ada Islam ataupun bukan Islam.

Hati yang resah akan menjadi tenang, bahkan hati yang keras juga akan lembut apabila mendekati kebaikan!

Fungsi Masjid Pada Zaman Ini

Kejadian banjir yang berlaku pada tahun lalu di Pulau Pinang menjejaskan masyarakat setempat.

Lantas sebuah masjid dibuka kepada orang ramai sebagai tempat perlindungan termasuklah kepada orang bukan Islam. Ini adalah salah satu contoh fungsi masjid yang seharusnya bersifat universal, dan terbuka kepada keperluan semasa.

Struktur kerja masjid juga boleh disusun supaya faedah lebih tersebar kepada masyarakat. Masjid seharusnya bukan hanya menjadi tempat ibadat yang khusus, malah juga boleh menjadi tempat bagi kegiatan berikut :

#1 – Pusat Kegiatan Kemasyarakatan

Masjid sering dilihat sebagai tempat yang mengumpul golongan berusia. Jika meriah sedikit pun adalah ketika musim Ramadan, bulan puasa yang kerap menjadi tempat untuk aktiviti berbuka puasa dan moreh selepas habis solat sunat Tarawih.

Pada waktu lain, masjid kembali menjadi tempat yang suram, terutamanya masjid-masjid di kawasan kampung dan pedalaman.

Suatu yang kita sedia maklum adalah, kebanyakan anak-anak muda pada usia 20an biasanya akan meninggalkan kawasan tempat tinggal serta berhijrah ke tempat lain untuk menyambung pengajian ataupun membina kehidupan baru.

Namun saya pasti masih ada anak muda dari tempat lain pula yang berhijrah ke daerah tersebut terutama jika ada pusat pengajian di sekitar. Ini adalah proses migrasi yang berputar.

Hakikatnya masih ada anak muda walaupun bukan berasal dari tempat tersebut. Golongan anak muda inilah yang perlu lebih proaktif dan sensitif dengan keperluan masjid dan masyarakat setempat.

Tidak perlu prosedur yang panjang untuk melakukan aktiviti di masjid, boleh terus berhubung dengan pihak jawatakuasa masjid untuk meminta kebenaran.

Contoh aktiviti yang boleh dilakukan adalah mengumpulkan beberapa orang rakan untuk membersihkan masjid, gotong-royong, menawarkan diri untuk membuat kelas Fardu Ain, mengumpulkan dana untuk membeli alat siaraya tambahan atau boleh juga mewujudkan sudut perpustakaan mini.

#2 – Mengadakan Kolaborasi Antara Masjid Dan Persatuan Mahasiswa Di Universiti

Aktiviti kerjasama yang dijalinkan biasanya kerap dicetuskan oleh mahasiswa-mahasiswa universiti berbanding hal ini dimulakan sendiri oleh pihak masjid.

Hal ini mungkin atas faktor kurang informasi atau kurangnya jaringan kenalan dengan anak muda di universiti. Sebenarnya, aktiviti sebegini juga boleh dimulakan oleh pihak masjid.

Pihak masjid boleh meminta bantuan mahasiswa universiti untuk melakukan aktiviti untuk penduduk setempat, kelas tambahan untuk anak-anak kampung, atau sukarelawan untuk sebarang aktiviti.

Hal ini sekaligus menyuburkan budaya ilmu serta menggalakkan mahasiswa untuk turun ke lapangan membantu masyarakat.

Anak muda yang belajar jauh dari tempat tinggal pula boleh mengambil peluang untuk menyumbang kepada masjid apabila tiba musim cuti, dalam masa yang sama boleh mengetahui perkembangan kampung atau kawasan tempat tinggal termasuklah keperluan masyarakat.

#3 – Idea Rumah Musafir

Idea rumah musafir yang diwujudkan di Masjid Sultanah Bahiyah dan Masjid Osmaniah Perlis boleh dijadikan panduan kepada masjid-masjid yang lain.

Langkah ini adalah langkah yang baik bagi menonjolkan lagi fungsi masjid yang mesra masyarakat dan tetamu.

Selain dari khidmat boleh diberikan kepada yang memerlukan, masjid dalam masa yang sama boleh menjana sedikit kewangan bagi disalurkan kepada pembaikan masjid kembali, dan tidak mengharap kepada sumbangan tabung masjid sahaja.

Prof Spahic Omer menulis dalam jurnalnya yang bertajuk “ Prophet’s Mosque In Madinah” bahawa;

“Excellence is to be a culture; it is not to be reduced to a mere slogan. Excellence is to be seen, not just heard.”

Kecemerlangan perlulah menjadi satu budaya, bukan hanya slogan semata-mata. Kecemerlangan perlu dilihat dan diperlihatkan, bukan hanya didengari

Realitinya, kepelbagaian fungsi sesebuah masjid bergantung kepada banyak faktor seperti faktor pengurusan masjid, kawasan dan ruang, dana, dan juga masyarakat di sekitar.

Namun saya secara peribadinya melihat faktor yang paling utama adalah faktor pengurusan sesebuah masjid itu sendiri iaitu kecekapan barisan pengurusan dalam menentukan hala tuju masjid.

Masjid sudah pasti berbeza dari sudut seni pembinaannya, tetapi secara umumnya sama pada objektif dan tujuan. Tinggal kita untuk menzahirkan wajah indah sebenar masjid dalam Islam. Wallahua’lam.

Rujukan :

Click to access CRPID59-PEMERKASAANPERANANMASJID.pdf


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami