Inspirasi

Mari Kita Kibarkan Bendera Jalur Gemilang!

Oleh Azian Mohamed Isa  •  3 Sep 2018  •  3 min baca

Saya melihat foto yang tersiar di dada akhbar media arus perdana dengan penuh takjub. Encik Mohd Hassan Che Ngah, 72 tahun dari Melaka, menghiasi rumahnya dengan jalur gemilang dengan pelbagai gaya.

Ada yang dipasang melintang merentasi tingkap, ada yang digantung menegak, ada puluhan bendera kecil dipacak secara tertib mengelilingi tembok pagar dan yang paling menarik, di atas siling.

Beberapa jalinan jalur gemilang yang panjang digubah menjadi ‘scallop bendera’ yang cantik dipandang. Kesemuanya ada 400 jalur gemilang yang digunakan!

Lain pula kisah Encik Abdul Rashid Abdul Aziz, 77 tahun, yang berasal dari Kampung Pokok Asam, Jelutong, Pulau Pinang.

Dia masih ingat, pada tanggal 31 Ogos 1957, seawal 5 pagi, dia sudah siap mandi dan bersedia untuk menyambut Hari Kemerdekaan bersama-sama rakannya di Padang Kota Lama, Georgetown.

Katanya, suasana awal pagi yang sunyi itu amat berbeza, begitu syahdu, dan apabila matahari mula memunculkan diri, dia dan rakan-rakannya berjalan dengan megah menuju ke dataran padang untuk menyaksikan detik-detik bersejarah, pembebasan Tanah Melayu dari Koloni British.

“Perasaan saya pada ketika itu sukar digambarkan. Rasa bertuah, bangga dan penuh dengan pengharapan. Ketika itu umur saya baru mencecah 14 tahun, namun kenangan itu masih segar sampai saat ini.”

Bagi Encik Mohd Hassan dan Encik Abdul Rashid, erti kemerdekaan itu wajar dizahirkan. Semangat mengibarkan jalur gemilang merupakan manifestasi kecintaan terhadap tanah air.

Perasaan bangga dengan kemerdekaan negara mencerminkan penghargaan kepada generasi terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan.

Semangat inilah yang menjadi pencetus untuk sama-sama memikul tanggungjawab sebagai warga Malaysia untuk mengisi dan mengekalkan kemerdekaan dan membawa Malaysia ke arah kecemerlangan.

Dalam video pendek #sayangiMalaysiaku yang disiarkan di YouTube, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tentang pentingnya semangat kibarkan jalur gemilang dan cintakan tanah air.

“Sekarang ramai tidak lagi berbangga dengan kemerdekaan negara, menganggap kemerdekaan itu perkara biasa sahaja dan tidak mahu mengibarkan jalur gemilang. Ini kerana mereka sudah dalam keadaan yang senang-lenang.”

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu berasa bangga kerana negara mencapai kemerdekaan dan bebas dari pemerintahan British.

Semangat cintakan tanah air harus dipupuk dan dipertingkatkan untuk membentuk satu masyarakat yang patriotik dan bertanggungjawab kepada negara.

Sifat-sifat yang murni seperti setia, berani, rela berkorban, semangat kesukarelaan merupakan penzahiran cintakan tanah air.

Nilai kasih sayang dan cinta akan tanah air juga amat sebati dalam diri Rasulullah S.A.W. Dalam dialognya dengan bumi Mekah, tatkala Baginda terpaksa meninggalkan Mekah dan berhijrah ke Madinah, Baginda menyebut,

“Engkau wahai Mekah merupakan satu bumi yang baik dan paling aku cintai, kalau sekiranya kaummu (pendudukmu) tidak mengeluarkan aku darimu nescaya aku tidak akan tetap di mana-mana tempat selain daripadamu.”Riwayat Tirmidzi

61 tahun usia kemerdekaan Malaysia. Di belakangnya sarat dengan taufan cabaran dan gelora perjuangan.

Generasi terdahulu menebas hutan kesusahan dan sanggup merempuh calar kedukaan demi sebuah kemerdekaan. Mereka akhirnya menjadi tanah, membajai semangat perjuangan generasi terkemudian.

Kini, dalam alaf baru, perjuangan kita ialah untuk mengisi kemerdekaan. Untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih bermaruah, dengan penuh ilitizam dan integriti. Kita, rakyat Malaysia perlu hidup bersama-sama, belajar untuk lebih mengerti dan berbudi.

Saya tinggalkan catatan saya dengan sebahagian daripada sajak Sasterawan Negara, A. Samad Said yang bertajuk, ‘Hidup Bersama’

“Dan dalam alaf baru
Semangat kita wajar padu
Berjalan kita atas nama
Tanah air dan bangsa
Bangga kerana merdeka
Megah kerana bahagia..”

Selamat menikmati erti kemerdekaan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami