Berita, Sejarah

Mari Kenali Tasik Tabari Yang Disebutkan Akan Kering

Oleh Natirah Azira  •  21 Jan 2020  •  3 min baca

Bagi anda yang pernah mendengar kisah tentang Yakjuj dan Makjuj, pasti tahu bahawa nama Tasik Tabari juga ada disebutkan bersama dalam penceritaan tersebut. Disebutkan bahawa salah satu tanda akhir zaman adalah tasik ini akan kering.

Ia adalah suatu pernyataan yang benar kerana memang ada disebutkan dalam hadis yang sahih riwayat Imam Muslim.

“Daripada al-Nawwas bin Sam’an RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

وَيَبْعَثُ اللهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ، فَيَمُرُّ أَوَائِلُهُمْ عَلَى بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ فَيَشْرَبُونَ مَا فِيهَا، وَيَمُرُّ آخِرُهُمْ فَيَقُولُونَ: لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ

Maksudnya: “Allah SWT akan mengutuskan Yakjuj dan Makjuj dan mereka akan datang dari segala penjuru dengan begitu cepat. Mereka akan melalui Tasik Tabari dan akan meminum apa yang ada di dalamnya (sehingga kering) sehinggakan yang terakhir daripada kalangan mereka berkata: Tadi ada air di tasik ini.” (Riwayat Muslim (2937)

Maka, ia tidak lagi menjadi pertikaian dalam hal ini. Fokus Tzkrh pada kali ini adalah untuk membawa anda untuk mengenali Tasik Tabari – lokasinya dan bagaimana keadaaan tasik tersebut pada masa sekarang.

Tasik Tabari mempunyai beberapa nama iaitu Tasik Gennesaret, Tasik Kinneret, atau Tasik Tiberias. Selain itu, kerana tasik ini sangat luas, ia juga dipanggil sebagai Laut Tiberias dan juga Laut Galilee. Tasik ini terletak berdekatan dengan Bukit Golan.

Tasik Tabari merupakan tasik air tawar terbesar di Timur Tengah dan memiliki ukur lilit lebih kurang 53 km – 21 km panjang dan 13 km lebar. Tasik ini memiliki keluasan sebanyak 166 km persegi dan kedalaman maksima iaitu 43 m. Ia merupakan tasik air tawar terendah di bumi dan tasik kedua terendah di dunia (selepas Laut Mati yang merupakan task air masin).

Jika dilihat di dalam peta, ia terletak di antara gunung yang memisahkan antara sempadan Jordan dan juga Israel. Lembah ini terbentuk akibat pemisahan plat-plat benua Afrika dan juga tanah Arab, kejadian gempa bumi dan aktiviti volkanik.

Tasik ini pernah disebutkan dalam kitab Bible. Sebahagian daripada penganut agama Kristian percaya bahawa Jesus pernah berjalan di atas permukaan tasik ini suatu ketika dahulu.

Sejak sekian lama, Israel menggunakan sumber air daripada tasik ini untuk pelbagai aktiviti antaranya perladangan, perindustrian dan juga keperluan domestik penduduk.

Pada tahun 2017, dilaporkan bahawa tasik ini telah mencapai paras yang paling rendah ekoran musim kering yang juga melanda kawasan itu sejak bertahun lamanya. Kerajaan Israel juga bercadang akan mengalirkan sebanyak 100 juta meter padu air ke dalam tasik ini menjelang 2022.

Menurut laporan TimesofIsrael , negara Israel ini kini sedang mengusahakan projek untuk mengepam air yang telah dinyahgaramkan daripada Laut Mediterranean untuk dialirkan ke dalam tasik ini. Dikatakan projek tersebut memakan kos kira-kira $276 juta.

Adakah kita akan sempat menyaksikan peristiwa keringnya tasik ini di akhir zaman nanti?


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami