Ibadah

Mana Lebih Baik – Ibadah Korban Di Tempat Sendiri Atau Di Luar Negara

Oleh Natirah Azira  •  11 Aug 2019  •  3 min baca

Setiap tahun, pasti ada dari kalangan ahli keluarga atau kenalan kita yang akan mengambil bahagian dalam ibadah korban. Ada yang berkorban di tempat sendiri dan ada pula yang memilih untuk berkorban di luar negara.

Alasannya, keadaan di sana lebih ramai orang fakir dan miskin yang lebih memerlukan makanan seperti sumbangan daging yang jarang sekali dapat dirasa dalam setahun. Banyak sebenarnya pihak-pihak yang telah menjalankan program aqiqah dan korban begini di luar negara contohnya Yayasan Amal Terengganu dan juga pihak EZ Qurban.

Sebahagian orang pula berpendapat bahawa lebih afdhal melakukan ibadah korban di tempat sendiri. Persoalannya, manakah yang lebih baik – melakukan ibadah korban di tempat sendiri atau di luar negara?

Menurut Uztaz Zahiruddin Abd Rahman, sebenarnya hampir semua ulama bersetuju bahawa sebaiknya ibadah korban dilakukan di tempat sendiri atas beberapa alasan:

1. Sembelihan binatang korban dilakukan dengan tangan sendiri.

2. Jika berkongsi bahagian (seperti lembu yang dikongsi tujuh bahagian), kemudian tidak mampu menyembelih binatang korban sendiri, diharuskan mewakilkan kepada orang yang lebih tahu untuk melaksanakannya.

3. Sunat untuk hadir dan melihat sendiri proses penyembelihan binatang korbannya, sama ada lelaki atau wanita. Hal ini bagi membolehkan individu tersebut menghayati sendiri dan mengambil fadilat yang disediakan seperti pengampunan dosa saat menitis darah binatang korban ke bumi.

4. Disunatkan bagi orang yang berkorban untuk makan sebahagian daging korbannya. Hal ini akan terhalang disebabkan berkorban secara wakil ke luar negara.

5. Rasulullah SAW juga melakukan semua ibadah Qurban baginda di Madinah dan tidak dibawa ke luar negara.

Berdasarkan keterangan di atas, telah disepakati oleh ulama bahawa lebih afdhal melakukan ibadah korban di tempat tinggal sendiri.

Namun bagi sebahagian individu yang memang terlibat dengan kerja-kerja amal serta pengurusan ibadah korban di luar negara, maka tidak ada masalah baginya untuk berkorban di luar negara.

Hukum Melakukan Ibadah Di Luar Negara Menurut Pandangan Mazhab

Dalam keadaan biasa seperti pihak yang tidak melakukan kerja amal di luar negara, tetapi ingin turut serta mengambil bahagian dalam ibadah korban di sana, maka para ulama mempunyai pendapat yang berbeza. Keterangannya adalah seperti di bawah:

Mazhab Hanafi

Bagi Mazhab Hanafi, makruh dipindahkan ke luar kawasan kecuali jika disebabkan ada kerabatnya di sana atau yang lebih memerlukan.

Mazhab Maliki

Tidak harus dipindahkan sembelihan ke luar kawasan yang melebihi jarak musafir, kecuali jika ada orang yang tinggal di luar kawasan lain tadi TERSANGAT MEMERLUKAN maka bolehlah sebahagian besar dipindahkan, dan berbaki sedikit di kawasannya sahaja.

Al-Syafie dan Hanbali

Hukumnya HARUS untuk memindahkan ibadah korban ke luar kawasan yang TIDAK melebihi jarak musafir, namun terdapat ulama dari kalangan mereka yang mengHARAMkan memindahkannya jika lebih dari jarak musafir.

Imam Al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ mengakui terdapat dua pendapat dalam hal ini. Imam al-Mawardi menyatakan tiada halangan untuk dipindahkan. Namun Imam al-Ramli, tidak mengharuskan dengan qiyas kepada haramnya dipindahkan zakat lebih dari jarak musafir.

Ulama Kontemporari Dan Beberapa Badan Fatwa Seperti Saudi, UAE Dan Lain-Lain

Harus dipindahkan ke negara yang terdapat ramai orang yang lebih memerlukan.

Justeru dengan penerangan di atas, dapat disimpulkan bahawa hukumnya HARUS dan SAH melaksanakan korban secara wakil ke luar negara. Buatlah penilaian dengan bijak. Tidak ada masalah sama ada untuk berkorban di tempat sendiri mahupun berkorban secara wakil ke luar negara. Jika ada lebihan wang, maka tidak ada salahnya untuk memilih kedua-dua. Atau boleh juga bergilir setiap tahun antara berkorban di tempat sendiri dan juga di luar negara.

Rujukan: Dr Zaharuddin Abd Rahman


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami