Inspirasi

Maksud Kufur Dan Jenis-Jenisnya

Oleh Natirah Azira  •  17 Dec 2019  •  4 min baca

Makna kufur dari segi bahasa ialah menutupi. Manakala menurut syara’ pula adalah tidak beriman kepada Allah dan Rasulnya.

Perbahasan tentang kufur seperti yang diterangkan oleh Syaikh Amin bin Abdullah Asy-Syaqawi di dalam “Kitab Kufur Dan Jenis-Jenisnya”, membahagikan kufur kepada dua bahagian:

1. Kufur akbar (kekufuran besar) yang mengeluarkan pelakunya dari agama.

2. Kufur asghar (kekufuran kecil) yang tidak sampai mengeluarkan pelakunya dari agama.

Kekufuran Besar

1. Kufur Kerana Mendustakan

Iaitu yang mendustakan (tidak percaya) kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW sedangkan dirinya telah tahu berkenaan Al-Quran dan hadis tersebut. Golongan ini termasuk dalam kelompok kufur yang besar.

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau mendustakan kebenaran setelah kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?”

2. Kufur Kerana Sombong Sedangkan Membenarkan

Kufur jenis ini seperti kufur iblis kepada Allah saat disuruh tunduk kepada Nabi Adam.

“Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Surah Al-Baqarah 2:34)

3. Kufur Kerana Ragu

Ia bermakna ragu dengan kekuasaan Allah dan juga apa yang disampaikan oleh nabi dan para rasul – contohnya ragu bahawa Allah mampu menghidupkan semula manusia selepas mati, juga ragu bahawa balasan yang dijanjikan Allah benar belaka. Dalilnya berdasarkan ayat daripada Surah Al-Kahfi ini.

“Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.

Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari setitis air mani, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?”

Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku. (Surah Al-Kahfi, 18:35-38)

4. Kufur Kerana Berpaling

Berpaling di sini bermaksud enggan mempelajari ilmu-ilmu asas tentang agama yang menjadi tunjang kepada keimanan seorang Muslim. Sebagaimana yang ditegur oleh Allah SWT dalam Surah As-Sajdah ayat 22.

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.” (Surah Sajdah 32:22)

5. Kufur Kerana Kemunafikan

Munafik dari segi bahasa ialah orang yang menyembunyikan perkara atau maksud yang sebenar.

Dari segi syarak pula bermaksud seseorang yang pada luarannya seorang Islam, namun di dalam hatinya tidak. Dia menyembunyikan kekufurannya di dalam hati.

Munafik boleh dibahagikan kepada dua iaitu munafik dari segi akidah dan i’tiqad. Kedua, munafik daripada segi perbuatan dan amalan.

Kufur kerana munafik yang dimaksudkan pada kategori kelima ini ialah munafik akidah (i’tiqad) contohnya:

– Mendustakan Rasulullah SAW.
– Mendustakan sebahagian perkara yang dibawa oleh baginda.
– Membenci baginda.
– Membenci sebahagian perkara yang dibawa oleh baginda.
– Berasa senang bila agama Islam itu semakin terkoyak dan lemah.
– Tidak mahu atau enggan membela agama Rasulullah SAW.

Kufur Kecil

Kufur kecil pula adalah kufur daripada segi amalan yang tidak menyebabkan kepada keluarnya seseorang daripada Islam. Ia lebih kepada kufur dari segi amalan yang disebutkan di dalam Al-Quran dan Sunnah tetapi tidak mencapai darjat kufur yang besar. Contohnya kufur nikmat.

Allah Taala mengingatkan manusia supaya tidak lupa kepadaNya serta memperbanyakkan syukur atas segala nikmat yang telah disediakan.

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

“Ingatlah kepadaKu, Aku juga akan ingat kepada kalian. Dan bersyukurlah kepadaKu, janganlah kalian kufur” (Surah Al Baqarah 2:15)

Setelah kita mengaku beriman, maka tidak dapat tidak segala tuntutan dalam agama turut perlu disempurnakan. Segalanya telah terangkum dalam rukun Iman dan Islam yang kita hafal sejak kecil. Sedaya upaya kita perlu menjauhi segala tindak tanduk yang diklasifikasikan sebagai ‘kufur’. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami