Sejarah

Maksud Kisah Israiliyyat Dan Jenis-Jenisnya

Oleh Fizah Lee  •  11 Dec 2019  •  4 min baca

Kita sering mendengar mengenai hadis palsu yang menyebabkan timbulnya tanda tanya dan kekeliruan dalam menerima sesebuah cerita berkenaan agama.

Selalunya, hadis palsu sangat terkenal dalam kalangan kita bahkan kadang-kadang ia merupakan hadis yang sering kita dengar sedari kecil lagi.

Namun, tahukah anda wujudnya satu lagi istilah yang akan membuatkan kita keliru dan jika tidak diteliti kesahihannya, kita akan lebih mudah mempercayainya secara bulat-bulat.

Ia merupakan kisah Israiliyyat. Apabila mendengarnya, kita akan cenderung untuk menerimanya tanpa sebarang kemusykilan kerana ia juga menggunakan ungkapan seperti hadis daripada Baginda SAW dan sebagainya.

Apa Itu Israiliyyat

Bani Israil merupakan kaum dan keturunan kepada Nabi Yaakob AS yang bermaksud hamba Allah SWT. Keturunan beliau yang lahir sehingga zaman Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW digelar sebagai orang Yahudi.

Mereka yang beriman kepada Allah digelar sebagai orang Nasrani manakala mereka yang beriman kepada Allah dan Muhammad termasuk dalam kalangan orang Islam serta digelar sebagai Ahli Kitab yang beriman.

Israiliyyat berasal daripada ‘Israil’ yang merupakan perkataan jamak (banyak atau kata ganda) kepada Bani Israil.

Secara umumnya, kisah-kisah Israiliyyat merupakan kisah yang dinukilkan oleh Bani Israil sama ada Yahudi mahupun Nasrani.

إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ ۚ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِن كِتَابِ اللَّـهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ

Mafhum: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendeta-pendetanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan).” (Surah Al-Maidah, 5:44)

Untuk melihat adakah kisah-kisah Israiliyyat itu benar mahupun tidak, terdapat tiga jenis periwayatan sama ada benar dan diterima ataupun tidak, iaitu:

#1 – Diakui Kebenarannya Dalam Islam

Kisah Israiliyyat yang boleh dipercayai dan diakui kebenarannya kerana ia bersandarkan kepada dalil Al-Quran atau hadis Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, sebuah hadis dari Ibn Mas’ud berkenaan seorang pendeta Yahudi yang mendatangi Rasulullah SAW dan bertanya:

يا محمد، إنا نجد أن الله يجعل السماوات على إصبع، وسائر الخلائق على إصبع فيقول: أنا الملك

Maksud: “Wahai Muhammad, kami mendengar bahawa Allah SWT menjadikan langit dengan satu jari dan semua makhluk juga dengan salah satu jari. Lalu Allah berfirman: “Akulah Raja.”

Apabila mendengarkan perihal ini, Baginda SAW tertawa sehingga memperlihatkan gigi gerahamnya sekali gus membenarkan ungkapan pendeta Yahudi tersebut. Lalu Baginda membacakan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.” (Surah Az-Zumar, 39:67) -(Hadis Riwayat Bukhari no. 4811)

#2 – Didustakan Dan Tidak Diterima

Kisah-kisah ini adalah yang tidak sahih dan sengaja ditokok tambah. Statusnya batil dan tidak boleh diterima sama ada untuk disandarkan kepada mana-mana amalan atau dijadikan hujah.

Banyak yang sering kita dengar seperti saat kematian Baginda ayng menyebut ‘ummatku’ sebanyak tiga kali, Nabi Isa merupakan anak lelaki Allah dan kisah Harut dan Marut yang merupakan dua orang malaikat yang dihumban ke bumi sebagai hukuman oleh Allah terhadap kesalahan-kesalahan mereka.

Seperti yang disebut di dalam hadis sahih Bukhari yang menceritakan mengenai anggapan orang Yahudi berkenaan isteri-isteri mereka, iaitu:

“Orang Yahudi mengatakan bahawa, jika seorang suami mendatangi isterinya dari arah belakang, maka anaknya nanti akan menjadi juling.”

Allah telah memperbetulkan anggapan ini dengan menurunkan firmanNya yang berbunyi:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ وَقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُمْ

Mafhum: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.” (Surah Al-Baqarah, 2:223)

Kisah ini untuk membetulkan anggapan serong orang Yahudi sekali gus menganjurkan untuk menggauli isteri dengan cara yang terbaik dan bukan yang boleh menyakitinya.

#3 – Tidak Benar Tetapi Tidak Didustakan Dalam Islam

Ia juga disebut sebagai Maskut ‘Anhu, iaitu tidak disokong oleh nas Al-Quran dan juga As-Sunnah. Dalam erti kata lain, ia tidak dibenarkan dan juga tidak didustakan kerana boleh jadi kisahnya benar dan boleh jadi juga tidak benar.

Statusnya bersifat pertengahan (tawaquf). Oleh itu, kisah-kisah seperti ini perlu dielakkan daripada digunakan atau disandarkan sebagai hujah.

لا تصدقوا أهل الكتاب ولا تكذبوهم، وقولوا: آمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ إِلَيْكُمْ

Maksud: Janganlah kalian membenarkan Ahli Kitab dan jangan pula mendustakannya. Sebaliknya ucapkanlah: Kami beriman dengan kitab yang diturunkan kepada kami (Al-Quran) dan kitab yang diturunkan kepada kalian.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 7362)

Kesimpulan

Sebahagian ulama berpendapat bahawa kisah-kisah Israiliiyat boleh disampaikan hanya apabila diyakini kesahihannya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka beranggapan bahawa kisah-kisah mereka tidak mempunyai manfaat yang penting apabila disampaikan kerana sifatnya yang bersifat dongeng dan sekadar penceritaan yang umum.

Oleh itu, sebelum disampaikan sesuatu perkara, perlu diperiksa terlebih dahulu kasahihannya agar ia menjadi sesuatu yang benar dan tidak didustakan dalam Islam.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Academia.Edu
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami