Ibadah

Maksud Hadis Berpuasa Di Jalan Allah

Oleh Fizah Lee  •  20 May 2020  •  2 min baca

Salah satu hikmah berpuasa ialah dapat dijauhkan daripada azab api neraka. Bahkan, buat mereka yang berpuasa, terdapat sebuah pintu syurga khas yang diberi nama Ar-Rayyan pada hari akhirat kelak.

Orang yang berpuasa dengan tidak makan dan minum bukanlah kerana seseorang itu tidak mempunyai wang untuk membeli makanan atau bukan juga kerana mereka sakit, namun disebabkan ia adalah syiar Allah yang wajib dipatuhi.

Seseorang muslim yang berpuasa boleh sahaja memilih untuk makan senyap-senyap tanpa diketahui oleh orang sekeliling. Namun, mereka memilih untuk berpuasa kerana mereka memilih untuk berada dalam tarbiyyah Ramadan.

Di sinilah kita dapat melihat bagaimana puasa menjadikan seseorang itu semakin dekat dengan syurga dan jauh dari neraka.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِى سَبِيلِ اللَّهِ بَاعَدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

Maksud: “Sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, maka Allah akan menjauhkan wajahnya dari neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2840)

Sering kita dengar hadis di atas yang ditujukan untuk memberi peringatan kepada kita bahawa seseorang muslim yang berpuasa akan dijauhkan daripada api neraka.

Namun, terdapat satu frasa yang menjadi tanda tanya lagi, iaitu – sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah.

Apakah yang dimaksudkan dengan frasa tersebut? Bukankah dengan berpuasa itu sendiri sudah membuktikan kita sedang berjalan di landasan yang ditetapkan Allah?

Menurut Imam Ibnul Jauzi berkata – jalan Allah yang dimaksudkan di sini ialah ketaatan dan kepatuhan kepada Allah. Puasa yang bukan sahaja untuk menahan lapar dan dahaga semata-mata, namun juga melakukan amal ibadah lain serta meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan.

Imam al-Nawawi pula mengulas bahawa – keutamaan puasa di jalan Allah ialah apabila ia dilakukan berdasarkan apa yang digariskan, tidak menimbulkan mudarat, meninggalkan perkara-perkara mungkar dan melakukan kebaikan.

Dalam hal ini dapat dilihat bahawa antara maksud tersirat yang dibawa ialah dengan berpuasa daripada melalukan perkara-perkara yang melalaikan dan boleh membawa kemudaratan serta berusaha menambah amalan kebaikan.

Selain daripada menahan lapar dan dahaga, seseorang muslim yang berpuasa juga boleh melakukan solat sunat tahajjud, membaca dan khatam Quran, bersedekah serta banyak lagi.

Apabila bicara mengenai puasa, agama lain juga berpuasa. Mereka berpuasa dengan cara mereka sendiri. Apa yang membezakan kita ialah cara seseorang muslim itu menghidupkan amalan di bulan Ramadan mengikut jalan yang diredai Allah.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami