Gaya Hidup, Kesihatan

Makan Ikut ‘Trend’ Atau Makan Untuk Sihat

Oleh Fizah Lee  •  29 Aug 2019  •  4 min baca

Kini, kita melihat ‘trend’ mereka yang mudah terpengaruh dengan benda-benda yang tular. Kalau dahulu, sewaktu mula-mula demam ‘cheese’ melanda, semua orang ingin memasukkan keju dalam menu mereka.

Justeru, kita melihat trend yang menggunakan resipi baharu seperti pisang cheese, popia cheese, nasi lemak cheese dan sebagainya. Pendek kata, banyak orang yang ingin menambah keju dalam menu mereka dan kemudian ia akan tular dalam sekelip mata dan pasti ramai yang akan mengikutinya.

Terkini, kita dipopularkan dengan ‘trend’ yang baharu walaupun pada asalnya ia sudah lama wujud, iaitu minuman boba. Popularitinya mula meningkat apabila timbulnya The Alley, Tealive, Boba Milk Tea dan sebagainya.

Banyak lagi ‘trend’ yang wujud. Ia tular disebabkan oleh ramai pengguna dan juga pelanggan yang mencuba serta para peniaga sendiri yang cuba mevariasikan strategi pemasarannya yang tersendiri.

Namun, cuba duduk sejenak dan tanya kembali, anda makan makanan yang tular tersebut untuk mengikut ‘trend’ atau kerana apa?

Tahukah anda, apa yang anda makan itu mencerminkan kesihatan dalaman anda.

Mungkin anda tidak dapat mengaitkan ia dengan situasi masa sekarang, namun cuba fikir bagaimana kesihatan anda untuk sepuluh sehingga dua puluh tahun akan datang.

Oleh itu, untuk entri kali ini, kami akan merungkai sedikit sebanyak tips untuk anda membuat keputusan dalam pemilihan makanan yang berkhasiat sesuai dengan gaya hidup dan kesihatan yang diinginkan.

#1 – Tetapkan Makan Adalah Untuk Sihat

ﺍﻟﻌَﻘْﻞُ ﺍﻟﺴَّﻠِﻴْﻢُ ﻓﻲِ ﺍﻟﺠِﺴِْﻢ ﺍﻟﺴَّﻠِﻴْﻢِ

“Akal yang sihat pada badan yang sihat.” (Pepatah Arab)

Mungkin anda pernah mendengar pepatah Arab yang cukup popular ini. Kesihatan bukan sahaja untuk luaran namun dalaman juga.

Mungkin anda juga pernah mendengar pepatah yang mengatakan bahawa, ‘kamu adalah apa yang kamu makan.’

Sedarkah anda, di sebalik gaya pemakanan, ia akan membentuk diri anda sendiri. Malah, terdapat beberapa kajian daripada pakar pemakanan yang mengatakan bahawa jika kita gemar makan tomato, maka kulit kita akan menjadi licin, begitu juga dengan ibu mengandung yang gemar minum susu, maka ia bukan sahaja dapat menguatkan tulang si ibu, malah membantu tumbesaran janin juga.

Malah, banyak lagi khasiat mengenai makanan-makanan berkhasiat seperti sayuran dan juga buahan yang mampu membantu kesihatan dari dalaman.

#2- Makan Untuk Kesihatan Spiritual

Terdapat sebuah kajian yang telah dilakukan oleh Mohd Azlan Abdullah dan Nor Aziah Ali pada tahun 2011 mengenai kesihatan mental yang dipengaruhi oleh pemakanan. Mereka mengatakan bahawa kecemerlangan pelajar-pelajar di sekolah adalah bergantung kepada kualiti makanan yang diambil.

Malah, ada beberapa kajian dari luar negara yang mengatakan bahawa, para pelajar yang tidak meninggalkan sarapan adalah lebih fokus berbanding dengan pelajar yang tidak mengambil sarapan.

Sarapan itu juga bergantung kepada apa yang dimakannya. Hari kita tidak boleh dimulai dengan pemakanan yang tidak seimbang dan terlalu berat.

Ia adalah untuk mengelakkan daripada mengantuk dan tidak fokus pada hari tersebut malah ia adalah untuk mengelakkan diri daripada mengalami masalah kolesterol yang berlebihan.

#3 – Makan Untuk Kesihatan Mental Dan Rohani

Yang paling utama dalam diri seseorang manusia ialah kesihatan mental dan rohani kerana ia adalah saling berkait rapat. Malah, Imam Al-Ghazali juga mengatakan bahawa, jika kita makan sesuatu yang haram, maka ia boleh menjadi benteng dan penghalang kepada doa dan ibadah kita kepadaNya.

Oleh itu, ajar diri untuk makan sesuatu yang sihat dan halal. Sihat untuk mental agar ia tidak menjadi beban kepada kesihatan dan diri sendiri. Halal pula bukan sahaja dari bahan yang ada dalam pemakanan tersebut tetapi juga dari sudut kebersihan dan proses pembuatannya.

Aspek-aspek inilah yang perlu ditekankan dalam urusan pemilihan makanan agar kesihatan diri, mental dan rohani sentiasa terjamin.

Kesimpulan

Tidak salah untuk mencuba sesuatu yang tular, namun jika ia dilakukan secara berlebihan dan dengan tujuan untuk menunjuk, maka ia bukan sahaja akan mengakibatkan kepada kesihatan yang kurang elok tetapi juga gejala dan pemikiran yang tidak patut dilakukan.

Dan kepada para peniaga juga, menjual makanan yang seimbang dan berkhasiat juga merupakan satu ibadah kerana kita membantu masyarakat untuk makan dan berbelanja secara sihat.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami