Remaja

Mai Secawan

Oleh MH  •  11 Mar 2015  •  7 min baca

Bismillahirrahmanirrahim.

Kopi. Hitam pekat dan kalau tak nak terlalu hitam, tambahkan susu. Sedap, aku memang sangat suka kopi (yang bukan aku buat sendiri).Ayah kata kopi ini bagus. Bukan dari segi manfaatnya atau ketahanannya.

Ayah kata kopi ni, dalam apa keadaan pun tetap sedap. Sejuk atau panas, kalau dah sedap tu sedaplah. Kalau nak hidup ni biar macam kopi. Teguh pendiriannya, kata ayah.

Kopi Coffee

Kopi juga merupakan minuman kegemaran Rasulullah saw [Senori]

Pada aku, sedap atau tak kopi tu bergantung pada rasa asalnya. Siapa suka minum kopi yang pahit terlampau? Yang kelatnya boleh buat kita tak tidur dua tiga malam? (lupakan dulu kebaikannya di jalan raya)

Gula tu penting. Gulalah penyedap kopi. Pada aku, aku tak akan boleh telan kopi tak bergula. Pahit, payau, kelat dan banyak lagi jadah yang akan terasa dekat indera pengecap ni.

Aku kacaukan kopi dalam cawan tu. Biar sebati segala isi dalam cecair tu, tak termasuk lagi susu dan gulanya. Kopi tu mulanya sikit, makin lama aku kacau, makin bertambah pula isipadunya. Eh? Atau mungkin tak.

Kopi Dan Pengalaman Pun Boleh Pahit

Pertama kali jejak kaki dekat dunia baru ni, macam-macam aku rasa. Sedih? Mungkin, sebab makin jauh dengan mak ayah aku. Tak pernah lagi aku bermukim sejauh ni sebelum ni.

Berdikari tanpa bantuan sesiapa, melainkan suara dari corong handphone dan duit yang di-bank in dari jauh. Gembira? Mungkin sebab travel naik bas ni membuatkan aku nampak macam perantau yang bersemangat nak timba ilmu. Hahaha (timba pun berkali-kali tertinggal, tak tercedok ilmu tu lah sampai result exam comot).

Bila aku hirup sikit air kopi itu dengan sudu, rasa nak terputus urat leher menelan. Muka tak boleh kerut lagi, kalau hirup sampai habis secawan agaknya boleh ramal muka tua aku akan datang nanti. Pahit!

Terangkat-angkat tinggi tangan aku menjulang udara. Terasa menyakitkan bila air yang berkuantiti sikit tu menurun ikut esophagus, boleh terbantut peristalsis kalau gini gayanya.

“Sakitnya kepahitan!”

Bila terkenangkan apa yang menyedihkan yang berlaku pada aku dekat maktab, rasa macam nak tergolek menangis. Aku boleh rebah meraung bila diingat satu-satu perkara yang menyakitkan sepanjang aku duduk dekat situ. Aku tak kuat pun, tak tabah. Nak tempuh semua yang Allah beri tu kena ada sokongan.

Ya, sokongan yang juga Allah beri. Mujur aku ada kawan-kawan yang sentiasa ada jadi bahu tempat aku hinggap untuk menangis, selalu ada jadi kaunselor tempat aku dapatkan nasihat yang kekadang bernas, kekadangan mengarut dan boleh buat aku ketawa kegembiraan semula.

Buku Lima Tumbuk

Janganlah mudah mengalah dan melepaskan amarah sesuka hati. [laurenlet]

Waktu form one, kemarahan aku banyak simpan. Aku lepaskan semuanya pada almari locker dalam bilik. Kebengisan aku banyak aku rahsiakan. Aku lepaskan segalanya pada dinding kasar. Yalah. Iman tak kuat. Nak lawan syaitan pun tak mampu, tangan ni juga jadi mangsa aku lepaskan semua benda.

Kalau nak dikira buku lima yang aku hentamkan pada objek dekat maktab tu, tak terkira rasanya. Pernah sekali, tangan aku bengkak berdarah lepas pendamkan amarah yang kawan aku sengaja cetuskan.

Dan bila diapi-apikan oleh kawan, aku akan diamkan diri memanjang, pulang ke bilik dan lontarkan badan ke atas katil. Tu paling jarang berlaku, sebab biasanya aku akan lepaskan apa yang aku pendam dengan cara yang lebih ekstrem.

MasyaaAllah. Bila dikenang, sakit amat rasanya. Kepahitan memori yang aku tempuh dekat maktab tu tak akan aku lupa. Melekat macam kotoran degil, yang boleh hilang kalau dibasuh kental. Brainwash mungkin.

“Sama susah dihilangkan kelatnya pada tekak kalau minum kopi pahit tak bergula.”

Sepahit Kopi, Boleh Manis Tambah Gula

Takkan aku nak minum kopi yang pahit ya amat tu. Tak akan boleh. Aku mungkin tak alami insomnia. Mungkin lagi teruk. Mungkin ‘insyaaAllah tak tidur seminggu so supermania’.

Jadi, untuk penyedap rasa, aku masukkan Maggi Cukup Rasa dalam kopi tu. Sambil aku menyanyi-nyanyi macam Amy Mastura si duta iklan tu. “Hebat-hebat rasa, Maggi cukup rasa ~ !”

Takdelah. Acah je. Gula sesudu besar aku kaut dari bekas, aku masukkan dalam kopi. Lepas masukkan dalam cawan berkopi tu, aku kacaukan lagi. Bunyi butiran gula yang memula berlanggar dengan sudu dah hilang kerana cair dek panasnya air.

Bila sebati, aku sedut sikit-sikit kopi tu dengan sudu. Sedut sikit-sikit dulu, bimbang ditipu macam tadi. Tadi aromanya mencucuk, tapi hanya Tuhan je yang tahu macam mana bergayanya aku tepuk dahi bila dah rasa.

Kopi dan Gula

Dengan gula, kepahitan kopi boleh dihilangkan dan begitu juga kehidupan kita. [Bertalan]

Tapi kali ni rasanya tak macam tadi. Yang tadinya pahit payau, sekarang sedap pula. Manis. Tersengih-sengih aku bila kopi yang tadinya pahit dan penuh kesakitan bila diminum, sekarang manis dan penuh kegembiraan bila dihirup.

Bila difikir balik, takkanlah selamanya aku nak jadi macam tu. Depan orang berlakon penyabar dan baik macam malaikat, tapi bila berpaling, baran dan pemarah macam Adi Putra dalam drama berepisod Zahira. Kononnya si alim yang baik, sedangkan tangan sendiri aku derakan.

Bila Dia dah pinjamkan tangan, maknanya aku kena manfaatkan sebaik mungkin. Bukan digunakan untuk melubangkan dinding dan pintu atau apa-apa sajalah. Jadi, aku mula berubah sikit-sikit, jadi orang yang bersabar zahir batin.

Barulah dapat merasa kemanisan memori waktu dekat maktab dengan penuh kenikmatan. Ya Allah… bila dikenang semula apa yang seronok aku alami dekat maktab, memang boleh buat aku ketawa sorang-sorang. Janganlah hairan kalau tengok aku secara tiba-tiba hentak-hentak meja walupun berseorangan.

Pahit Manis Tetap Dirasai Sampai Bila-Bila

Aku ada kawan yang sentiasa bersama aku susah senang, jatuh bangkit, tinggi rendah, kiri kanan atas bawah dan segala sudut dalam hidup aku. Gaduh-gaduh kecil tu manja. Atau aku yang mengada.

Dari kawan-kawan, hinggalah ke senior junior, semuanya ada bagi memori yang elok disimpan. Banyak perkara dekat maktab yang aku tak akan mampu lupakan. Sejara jujur, aku sangat seronok dan bersyukur dapat masuk ke maktab tu.

Faktornya tak susah diteka. Mestilah sebab kawan-kawan. Fakor pembelajaran yang efektif mungkin ada, tapi peratusnya mungkin 0.0001% setengah. Setengah tu daripada suku. Maaf cikgu.

Sahabat dunia akhirat

Kemanisan ukhuwwah yang dicipta bersama teramatlah bererti.

Paling penting, manisnya ukhuwwah. Kalau tak sebab mereka yang sentiasa sokong setia aku, mungkin buku lima aku dah tak ada bentuk. Mungkin sudah berlubang. Kuatnya kesan persahabatan. Manisnya ukhuwwah punya penangan. Kalaulah macam ni rasanya kemanisan ukhuwwah, aku sanggup potong kaki sebab diabetes.

Masih dalam senyuman, aku tak jemu kacaukan kopi tu. Senyum yang lama-lama jadi tawa, teringatkan lawak-lawak yang kumpulan kawan aku cetuskan. Segala yang pahit manis aku rasa sepanjang duduk dekat maktab tu, semuanya pengajaran untuk aku.

Semuanya ajarkan aku apa itu hidup, semuanya jelaskan pada aku erti bangkit lepas tergelincir, makna bangun lepas ditolak. Semuanya menceriakan hari-hari aku, menerangkan jalan gelap aku, supaya aku lebih hati-hati lepas ni. Tu lah kata orang, pengajaran itu mematangkan.

Kembali Seorang Pengalaman Daun

Walaubagaimanapun hidup tetap perlu diteruskan. [mimo]

Kecuali aku, yang kalis segalanya. Dah berpuluh peluru pengajaran pun masih tak matang. Kopi yang aku kacau isinya sejak tahun 2012 tu aku minum sampai habis. Dari tahun pertama aku belajar di negeri orang, sampai habis tahun aku bergelar pelajar menengah rendah, kopi tu aku kumpul-kumpul biar penuh secawan.

Sekarang masanya nak selesaikan semua. Bak kata orang, tutup buku lama, buka buku baru. Tapi baru je aku nak selak helai pertama buku baru, dah terkoyak dek kerana terlanggar batasan ikhlitat serba sikit bahana berbalas ucapan ‘selamat tahun baru’ dengan ramai orang. Termasuklah dengan para lawanan jantina. Hmmm.

“Kopi ajaib. Sekejapnya manis, sekejapnya kembali pahit.”

Yang hebatnya, kopi ni kalau kau letakkan satu tan gula sampai tertumpah dari cawan sekali pun, implikasinya hanya kebahagiaan. Penyakit tu mungkin ada. Penyakit senyum sorang lantaran teramat bahagia.

Tak susah nak buat kopi tu sedap. Cuma tambah apa perlu. Takkan seumur hidup aku nak telan yang pahit je.

Kopi. Isinya penuh kenangan. Jangan sampai tertumpah, sampai kosong tak tersisa. Penuh sampai melimpah, tak apa.

“While you are hating your life because you can’t get what you want, someone is wishing to have life like yours.” Nouman Ali Khan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

MH

Seorang yang suka belajar dari kehidupan. Sesungguhnya setiap ciptaan Tuhan itu mempunyai nilai pengajaran yang luar biasa.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami