Remaja

Mahasiswa Dan Peperiksaan – Bagaimana Menguruskan Emosi Dengan Lebih Baik

Oleh Fizah Lee  •  24 Dec 2019  •  3 min baca

Jika penghujung tahun merupakan tarikh yang paling seronok dan ditunggu oleh golongan pelajar sekolah, ia adalah sebaliknya buat pelajar di peringkat universiti atau kolej.

Mereka pada saat ini sedang berperang dengan persediaan peperiksaan akhir, bertungkus-lumus menyiapkan segala tugasan yang telah diberikan oleh para pensyarah dan melengkapkan segala laporan akhir atau tahunan bagi kelab yang disertai.

Bagi segelintir pelajar, saat ini pastinya yang paling dikhuatiri kerana azam dan impian untuk sekurang-kurangnya mencapai CGPA yang baik.

Pada musim ini juga kita akan mendengar cerita-cerita mereka yang mengalami tekanan atau mula mencari kaunselor bagi membantu menguruskan sindrom peperiksaan akhir ini.

Tekanan dan emosi itu saling berkait rapat dengan manusia. Ia akan mula menghantui sesiapa sahaja apabila minda sudah mula berasa serabut atau tidak mampu menghadapi perasaan tersebut.

Entri kali ini akan memberikan sedikit tips dan bekalan buat mahasiswa di luar sana bagi menghadapi persediaan akhir pada musim peperiksaan ini.

#1- Susun Jadual Anda Dengan Baik

Setiap orang diberikan tempoh waktu yang sama, iaitu 24 jam sehari. Namun, pengurusan masa itu yang akan menentukan sama ada masa yang ada itu mencukupi atau tidak.

Pada waktu genting seperti ini, anda memerlukan jadual yang sangat rapi untuk menyiapkan segala tugasan sekali gus mengulang kaji topik-topik untuk peperiksaan.

Pastikan anda mendahului perkara yang penting untuk diselesaikan terlebih dahulu berbanding dengan yang kurang penting. Ia perlu untuk mengekalkan emosi anda agar sentiasa berada dalam keadaan stabil pada waktu-waktu seperti ini.

#2- Ambil Masa Untuk Beriadah

Beriadah tidak semestinya melakukan perkara yang berat seperti mendaki gunung dan sebagainya. Cukup sekadar mengeluarkan peluh agar badan kita lebih cergas dan minda lebih cerdas.

Jika anda bukan jenis yang bersukan sebelum ini, elok dimulakan dengan melakukan senaman aerobik, berjalan-jalan di kawasan universiti atau tempat tinggal atau berbasikal. Banyak lagi aktiviti ringan dan mudah yang boleh dilakukan di musim peperiksaan ini.

Ia sekali gus boleh memberikan rehat kepada minda dan mata anda setelah seharian mengulang kaji atau menghadap komputer riba. Sekali gus, emosi anda akan lebih terjaga saat melihat keindahan alam seperti pohon-pohon hijau dan burung yang berterbangan.

Kesihatan sangat penting pada waktu ini. Jadi, anda tidak punya masa yang banyak untuk jatuh sakit. Oleh itu, seimbangkan antara pelajaran dan juga kesihatan anda.

#3- Jaga Hubungan Dengan Allah Dan Manusia

Ini merupakan tahap yang paling penting dalam kehidupan setiap manusia. Hubungan dengan Allah ialah perkara yang paling penting untuk dijaga. Orang kata, jangan cari Allah pada musim peperiksaan sahaja.

Namun, adalah lebih baik mula mencarinya pada waktu ini dan kekalkan perbuatan tersebut daripada langsung tidak mempunyai usaha ke arah itu.

Jagalah ibadah wajib dan jangan malu untuk memohon pertolongan denganNya kerana sifatNya yang Maha Pengasih terhadap hamba-hambaNya pasti akan membantu anda membuka jalan bagi menghadapi setiap permasalahan yang berlaku.

Tidak dilupa juga hubungan terhadap sesama manusia. Pohonlah doa dengan ibu bapa dan jagalah hubungan sesama manusia untuk mengelakkan emosi anda terganggu dengan permasalahan-permasalahan yang tidak diingini.

Kesimpulan

Minda, kesihatan dan emosi merupakan perkara yang paling penting dalam diri setiap manusia terutamanya pada waktu-waktu genting seperti dalam peperiksaan dan sebagainya.

Oleh itu, penting untuk mempelajari tahap kemampuan diri anda bagi mengelakkan tekanan itu mempengaruhi diri sendiri.

Wallahu a’alam.

Baca juga:
Cara Menguruskan Stress

Rujukan:
Tahap Stress Dalam Kalangan Mahasiswa
Stress Dalam Padangan Islam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami