Gaya Hidup

Little Giraffe Book Club Cheras – Gabungan Seni, Budaya Dan Buku

Oleh Natirah Azira  •  17 Jun 2019  •  2 min baca

Memasuki Little Giraffe Book Club ini seakan memasuki sebuah rumah Cina di era 90an. Sekali imbas, ia langsung tidak kelihatan seperti bangunan perpustakaan yang biasa kita lihat.

Berdekatan pintu masuk, ada sebuah basikal tua dengan kotak kayu di bahagian tempat duduk – tertampal kertas merah dengan tulisan Cina yang bermaksud ‘musim bunga’.

Di luar, ada gerai kayu yang menjual rojak buah, dan di sebelah kirinya pula ada pentas kecil untuk acara yang dianjurkan. Perpustakaan ini dibahagikan kepada dua sudut iaitu ruang bacaan dan juga kafe untuk pengunjung menikmati hidangan ringan sambil melakukan kerja atau membaca.

Menariknya, bangunan ini pada asalnya ialah rumah kayu lama seorang pemilik berbangsa China. Berbekal RM5000 sahaja, usaha baik pulih dimulakan pada bulan Februari tahun 2017. Dengan bantuan dan sumbangan orang ramai secara terus-menerus ia akhirnya siap dalam tempoh enam bulan. Perpustakaan ini mula beroperasi lebih kurang dua tahun yang lalu.

Menurut Soon Yong Lee yang merupakan pengasas perpustakaan ini, usahanya bermula apabila terinspirasi dengan ibu-ibu suri rumah di kawasan tersebut. Mereka pernah mewujudkan perpustakaan kecil di dalam sebuah kontena terpakai untuk kanak-kanak datang dan mengadakan sesi bercerita.

Menggunakan kemahirannya dalam bidang arkitek, dia dan beberapa lagi orang rakan akhirnya mengusahakan penubuhan perpustakaan ini dan cuba membawa ilmu dan seni kepada komuniti setempat. Pada mulanya, perpustakaan ini hanya dikelola oleh dua orang sukarelawan sepenuh masa, kini bilangannya bertambah kepada lima orang.

Selain aktiviti membaca, terdapat juga acara lain yang dilakukan seperti perkongsian tentang ilmu seni bina yang diadakan dari semasa ke semasa. Mereka yang berminat untuk berkongsi tentang hasil kerja seni bina akan datang dan membuat pembentangan menerusi kemudahan projektor dan LCD yang disediakan.

Jika anda adalah peminat buku dan ingin menghabiskan hujung minggu di tempat yang unik dan klasik, Little Giraffe Book Club adalah pilihan yang tepat. Dari stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn, hanya lebih kurang 7 minit diperlukan untuk sampai ke sini dengan menaiki kereta. Waktu operasinya bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 10 malam pada hari Rabu hingga Sabtu, manakala dari pukul 12 tengah hari hingga 7 malam pada hari Ahad.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami