Ibadah

Lima Keajaiban Penggunaan Perkataan Arab Di Sebalik Ayat Pendek Ini

Oleh Natirah Azira  •  2 Oct 2019  •  3 min baca

“Allah sentiasa dekat, cuma kita yang selalu menjauh”

Kita tahu hakikat yang satu ini, tetapi kita selalu lupa dan kadang-kadang tersasar daripada jalan yang sebenarnya. Namun Allah sentiasa menunggu malah menyebut tentang hambanya dalam firman-firman yang ada.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);

Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.

Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”

Ayat ini sangat istimewa kerana ia mengandungi penggunaan perkataan bahasa Arab yang sangat tepat serta menggambarkan maksud yang mendalam. Berikut 5 keistimewaan makna yang terhasil daripadanya:

Pertamanya, Allah menggunakan perkataan ‘apabila’ dan bukan ‘jika’. Perhatikan beza kedua-dua perkataan ini.

Perkataan ‘jika’ sering digunakan bertukar ganti dengan perkataan ‘kalau’. Ia kurang menggambarkan kesungguhan berbanding perkataan ‘apabila’.

‘Apabila hambaKu bertanya tentangKu, maka Sesungguhnya aku dekat’

Bayangkan bahawa pertanyaan itu datangnya dari Tuhan, Pencipta kita, bukankah ia menggambarkan bahawa Allah sering mengingati semua hambanya sekalipun kita jarang-jarang mengingati Allah.

Ibaratnya seorang raja yang terlebih dahulu berkata:

“Apabila rakyat beta bertanya tentang beta, sesungguhnya beta hampir kepada mereka”

Kedua, komunikasi tersebut berlaku di antara Tuhan yang mempunyai posisi yang paling tinggi dan hamba yang mempunyai posisi yang paling rendah.

Namun dalam ayat ini Allah menunjukkan bahawa komunikasi antara Tuhan dan hamba itu boleh terjadi secara terus tanpa memerlukan pengantara.

Ketiga, biasanya dalam bahasa Arab, perkataan أستجيب (astajibu) bermaksud akan cuba menjawab atau akan menjawab seiring dengan berlalunya masa sedangkan perkataan أجيب (ujibu) bermaksud Allah akan menjawab dengan segera.

أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Seterusnya Allah mendahulukan perkataan ‘aku akan memperkenankan doa orang yang berdoa’ kemudian barulah disambung dengan perkataan ‘apabila mereka berdoa’.

Allah tidak mendahulukan “Apabila hambaku berdoa, maka aku akan memperkenankan”. Bermakna Allah sangat suka untuk mengabulkan doa orang yang berdoa.

Keempat, penggunaan perkataan الداع (Ad-da’i) bermaksud orang yang berdoa – tidak kira sama ada hamba tersebut adalah orang yang sentiasa berdoa atau baru sahaja belajar berdoa, atau berdoa sekali sahaja, asalkan doa tersebut benar-benar ikhlas kepada Allah.

فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maka hendaklah mereka cuba menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Kelima, Lihat perkataan فَلْيَسْتَجِيبُوا di sini, ia berlainan dengan perkataan sebelumnya. Allah hanya menyebut ‘mereka perlu cuba menyahut’. Allah tidak memaksa mereka terus menjadi orang yang berubah serta merta, tetapi orang yang berusaha menyahut, iaitu orang yang perlahan-lahan cuba memperbaiki diri dan mengikut apa yang diperintahkan. Tujuan di akhirnya pula tidak lain hanya untuk mendatangkan kebaikan kepada diri mereka sendiri.

Salah satu keajaiban Al-Quran adalah pada bahasanya. Kita sedia maklum bahawa bahasa Arab adalah bahasa yang sangat kaya dengan perbendaharaan katanya. Satu perkataan sahaja boleh mempunyai pelbagai makna dalam situasi yang berbeza-beza.

Maka setiap perkataan yang Allah gunakan dalam Al-Quran memang bukan disengajakan tetapi mempunyai maksud yang khusus. Semoga kita dikurniakan kemampuan untuk memahami dengan lebih banyak rahsia yang terkandung di sebalik kata-kataNya.

Sumber: Ustaz Nouman Ali Khan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami