Inspirasi

Larangan Mencela – Bagaimana Peribadi Kita?

Oleh Natirah Azira  •  16 Jul 2020  •  2 min baca

Cukup mudah untuk terlibat dalam perbalahan di media sosial sekarang jika tidak benar-benar ditahan jari-jemari daripada menaip sesuka hati.

Ada kala perbincangan bermula dengan baik, namun apabila disertai dengan emosi yang berlebihan, akhirnya ia membawa kepada pemandangan yang tidak enak. Masing-masing akan mula menggunakan kata-kata kesat dan kasar serta tuduhan melulu yang mungkin jauh daripada kebenaran.

Mungkin kita lupa, bahawa bahana lidah ini adalah bahana yang sangat besar yang sering dipesan oleh baginda Nabi SAW. Seorang sahabat baginda pernah bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah yang paling engkau khuatirkan ke atasku?”

Lalu baginda memegang lidah baginda sendiri dan menjawab; “Ini”.

Jadi usahlah menjadikan tuduhan, kata-kata kesat mahupun celaan sebagai budaya, tidak kira di dunia media sosial ataupun di dunia nyata.

Mungkin anda tetap ingin bertegas bahawa bukan anda yang memulakan, dan anda hanya membalas apa yang dituduh sahaja. Jika yang dibalas adalah penjelasan atas tuduhan yang dilemparkan, itu tidak mengapa. Tetapi, jika ia adalah balasan kata-kata kesat atau tuduhan yang sama, maka inilah yang diibaratkan seperti syaitan.

“…dua orang yang saling mencaci adalah dua syaitan yang saling merendahkan dan saling berkata-kata dusta.” (HR Ahmad, no. 16836)

Apa tidaknya, perbuatan caci maki itu dapat meruntuhkan ikatan persaudaraan dalam Islam sekaligus menimbulkan keadaan tidak harmoni. Sedangkan umat Islam itu adalah umat yang saling bersaudara dan saling berkasih sayang atas dasar iman dan ketakwaan. Hal inilah yang sangat disukai oleh syaitan apabila persaudaraan itu terputus.

Jika dituduh dan dicaci, usah membalas dengan caci maki yang sama. Ia hanya menunjukkan bagaimana peribadi kita. Adakah kita ingin menjadi sama seperti orang yang berperangai buruk?

Abu Zar RA pernah mendengar Nabi SAW berkata, bahawa seseorang yang menuduh orang lain melakukan perkara buruk, hal itu akan kembali kepada dirinya jika orang yang dituduh tidak seperti apa yang diperkatakan. Malah, orang yang memulakannya dahulu yang akan menanggung dosa selagi mana orang yang dizalimi tidak membalasnya.

Sesungguhnya Allah Maha Adil. Tidak ada satu pun perkara yang berlaku yang akan terlepas daripada pertimbangan dan hukuman Allah kelak. Mungkin kita rasa tidak diadili dalam pandangan manusia, namun tenanglah kerana pandangan manusia ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan pengadilan yang akan diperoleh di akhirat kelak.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami