Inspirasi

Konsep Rezeki Yang Menjadi Saham Akhirat Anda

Oleh Fizah Lee  •  13 Feb 2020  •  4 min baca

Menurut Pak Hamka, ‘rezeki itu bukan apabila kau dapat apa yang kau inginkan, tetapi apabila kau terima apa yang Allah berikan.’

Apabila kita percaya akan hakikat rezeki ialah dengan menerima apa yang sudah menjadi ketentuan walaupun kita telah meletakkan seribu daya dan usaha ke atasnya namun ia tidak seperti apa yang diharapkan, maka itulah rezeki yang sebenar.

Rezeki itu telah ditetapkan oleh Allah. Disebabkan itu, wujudnya kata-kata hikmah yang menyebut supaya manusia berjalan di muka bumi Allah ini untuk meraihnya.

Oleh itu, percayalah dengan rezeki yang dikurniakan Allah. Namun, ia tidak bermaksud anda perlu bergoyang kaki dan menunggu wang jatuh dari langit.

Berjalanlah di muka bumi untuk meraihnya, membuka pintu rezeki yang telah tertulis kepada kita. Jika hanya duduk tanpa berbuat apa-apa, itu ertinya kita sedang menutup pintu rezeki yang ada.

Dunia ini ada banyak pilihan dan pintu yang perlu dipilih. Masuklah dari jalan mana-mana berdasarkan kemampuan diri kerana di setiap pintu itu akhirnya akan menghubungkan anda kepada Allah. Jangan hanya menatap pintu tersebut tanpa berbuat apa-apa, itu ertinya anda sudah berputus asa sebelum melakukan sesuatu.

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Maksud: “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualan yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, 11:6)

Allah tidak pernah menyekat rezeki kepada hambaNya, bahkan Allah tidak pernah menentukan bala yang ditimpakan terhadap hambaNya. Apabila anda merasakan rezeki anda sempit, imbas kembali mengenai perbuatan anda sehari-hari.

Kadang-kadang, kesempitan rezeki yang dialami adalah berdasarkan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh diri anda sendiri.

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

Maksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” (Surah As-Syura, 42:30)

Sebenarnya, terdapat dua kategori rezeki yang dibahaskan oleh jumhur ulama, iaitu rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah dan juga yang diberikan atas usaha sendiri.

#1 – Yang Diberikan

Apabila kita berada di alam rahim, malaikat telah meniup empat perkara kepada manusia seperti lahirnya, ajalnya, rezekinya dan jodohnya.

Ada orang yang usahanya sedikit, tetapi rezekinya banyak dan ada juga orang yang usahanya banyak tetapi rezekinya hanya cukup buat dirinya.

Namun, itu semua adalah rezeki yang telah ditulis dan ditetapkan oleh Allah seperti dia dilahirkan dalam keluarga kaya dan sebagainya.

Maksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (Surah Saba, 34:36)

#2 – Rezeki Yang Perlu Dicari

Ada rezeki yang akan dilimpahkan Allah berdasarkan usaha dan kesungguhan kita terhadap sesuatu. Jika anda dilahirkan miskin, itu bukan kesalahan anda, sebaliknya ia adalah ujian terhadap anda. Sama ada anda akan meninggal dalam keadaan kemiskinan yang sama atau keinginan anda untuk mengubah kehidupan tersebut, ia adalah bergantung kepada anda.

Tidak guna meratap sesuatu yang sudah ditakdirkan di depan mata kerana Allah lagi suka akan hambaNya yang berusaha untuk mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik.

وَهُوَ الَّذِي سَخَّرَ الْبَحْرَ لِتَأْكُلُوا مِنْهُ لَحْمًا طَرِيًّا وَتَسْتَخْرِجُوا مِنْهُ حِلْيَةً تَلْبَسُونَهَا وَتَرَى الْفُلْكَ مَوَاخِرَ فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Mafhum: “Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dan limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.” (Surah An-Nahl, 16:14)

Kesimpulan

Apa yang paling penting ialah sampai ke mana anda akan bawakan rezeki tersebut, sama ada hanya di dunia atau sebagai saham anda di akhirat kelak.

Apa yang ada di tangan anda belum tentu milik anda sepenuhnya, tetapi apa yang anda sedekahkan dan manfaatkan ke jalan Allah itulah yang akan menjadi saham di sana.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami