Kesihatan, Sejarah

Konsep Penjarakkan Sosial Yang Pernah Diterapkan Oleh ‘Amr bin ‘Ash

Oleh Fizah Lee  •  10 Apr 2020  •  4 min baca

Sebelum ini kita pernah mengetahui sejarah pada zaman Saidina Umar al-Khattab ketika dilanda wabak penyakit berjangkit di negeri Syam dan menyebabkan beliau melupakan hasratnya untuk ke negeri itu.

Melalui kisah pada waktu itu, dapat kita lihat bahawa anjuran yang telah ditetapkan oleh Islam ketika berlakunya penyakit berjangkit adalah dengan mengkuarantinkan diri, iaitu tidak pergi ke tempat yang ada wabak dan juga tidak keluar daripada kawasan yang sedia ada untuk melarikan diri daripada penyakit tersebut.

Maksud: “Dari ‘Abdullah bin ‘Amri RA, Umar melakukan perjalanan ke Syam. Setelah ia sampai di Sargh, datang berita bahawa Syam sedang berjangkit penyakit menular. Lalu, ‘Abdurrahman bin ‘Auf menceritakan kepadanya bahawa Rasulullah SAW berkata: “Kalau kamu mendengar penyakit menular berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu pergi ke sana. Tetapi kalau penyakit itu berjangkit di negeri di mana kamu berada, janganlah kamu keluar darinya untuk melarikan diri.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1667)

Hal inilah yang sedang hampir satu dunia laksanakan bagi membendung penularan wabak ini. Seperti yang kita sedia maklum, umrah pada tahun ini juga dibatalkan sehingga ke satu masa yang telah ditetapkan. Begitu juga dengan Haji yang akan diambil tindakan berikutan susulan kes wabak ini, sama ada akan dibatalkan ataupun dijalankan.
Bukan itu sahaja, pihak kesihatan menyuruh agar semua mengambil tindakan dengan menjaga kebersihan diri, selalu mencuci tangan dan memakai topeng muka untuk menipiskan peluang jangkitan.

Menurut Pegawai Perubatan, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi (UKJEH) Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Fauziah Ismail menyebut bahawa tangan kita merupakan anggota badan yang paling utama berfungsi sebagai ejen penyebaran virus kepada badan sendiri atau orang lain.

Disebabkan itu, kita perlu mengamalkan langkah penyucian tangan dengan betul terutamanya selepas kita batuk atau bersin bagi mengelakkan kuman daripada terus berkembang-biak.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga menyifatkan bahawa setiap daripada kita perlu mengamalkan social distancing atau penjarakkan sosial dan juga mengelakkan daripada bersalaman serta bersentuhan dengan orang sekeliling.

Demam, batuk dan bersin merupakan antara gejala umum mereka yang menderita COVID-19. Disebabkan itu, jarak sebanyak 1 meter perlu dijaga bukan sahaja dengan mereka yang mempunyai gejala, namun juga dengan semua orang.

Hal ini kerana, bagi sesetengah orang, simptom-simptom COVID-19 tidak terlihat, namun setelah diuji ternyata dirinya sudah positif dengan penyakit ini disebabkan oleh kontak rapat dengan mereka yang mempunyai gejala.

Disebabkan itu, manusia perlu beringat untuk sentiasa menjaga jarak sosial dan tidak bersentuhan. Jangan risau kerana ia bukanlah bermaksud anda ingin memutuskan silaturahim, namun untuk menjaga keselamatan diri sendiri dan juga orang sekeliling. Anda masih lagi boleh berhubung melalui panggilan video mahupun telefon dan WhatsApp.

Kisah Penjarakkan Sosial Yang Pernah Berlaku

Tahukah anda, selain daripada kisah kuarantin pada zaman Saidina Umar, sebenarnya konsep penjarakkan sosial juga pernah diterapkan sejak dahulu lagi, iaitu pada zaman sahabat Baginda SAW.

Beliau ialah ‘Amru bin ‘Ash yang mengambil tindakan untuk memutuskan rantaian wabak yang berlaku di Syam itu dengan melakukan penjarakkan sosial.

Riwayat mengatakan bahawa kematian yang dicatatkan akibat wabak itu mencecah sehingga 25 000 orang termasuk sahabat yang lain seperti Abu ‘Ubaidah al-Jarrah dan Muadz bin Jabal.

Perasaan bimbang mula menular dalam diri setiap manusia ketika itu. Lalu, ‘Amru bin ‘Ash mengambil keputusan untuk memerintahkan agar semua orang tidak melakukan kontak rapat di antara satu sama lain sehingga situasi tersebut sembuh.

أيها الناس إن هذا الوجع إذا وقع فإنما يشتعل اشتعال النار فتجبلوا منه في الجبال

Maksud: “Wahai manusia, sesungguhnya wabak ini terjadi seperti api menyala (semakin dasyat jika bahan bakarnya berkumpul), hendaknya kalian menyebar tinggal di gunung-gunung.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 1697)

Begitu juga dengan tidak bersalaman bagi mengelakkan kontak rapat dengan mereka yang mempunyai penyakit berjangkit. Rupanya, Baginda SAW juga pernah mengajarkan kita mengenai konsep ini ketika berada dalam situasi seperti ini.

Hal ini berlaku ketika Baginda SAW menerima baiah (aku janji) daripada orang yang terkena penyakit kusta. Umum mengetahui bahawa bahayanya penyakit kusta ke atas seseorang.

Disebabkan itu, Baginda tidak bersalaman dengan lelaki tersebut dan menyuruhnya untuk pulang sehingga sembuh.

كَانَ فِى وَفْدِ ثَقِيفٍ رَجُلٌ مَجْذُومٌ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- إِنَّا قَدْ بَايَعْنَاكَ فَارْجِعْ

Maksud: “Dahulu ada utusan dari Tsaqif yang terkena penyakit kusta. Maka, Nabi SAW mengirim pesanan: “Sungguh kami telah membaiat anda (tidak perlu bersalaman), maka pulanglah.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 328)

Kesimpulan

Justeru, dalam saat-saat genting ketika ini, kita perlu sama-sama berganding bahu dan amalkan segala nasihat yang telah diarahkan oleh pihak-pihak kesihatan untuk kebaikan kita semua.

Sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial, mencuci tangan dan menjaga kebersihan serta mengelakkan kontak rapat dengan semua orang.

Wallahu a’alam.

Baca Juga:
Kisah Saidina Umar Dan Wabak Di Syam

Rujukan:
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami