Inspirasi

Kita Membawa Manfaat Atau Petaka?

Oleh Asyiqin Rosmahadir  •  12 Feb 2020  •  4 min baca

Setiap daripada kita adalah ciptaan Allah SWT yang menarik. Kita sememangnya bukan raja mahupun ratu cantik di dunia. Tetapi percayalah bahawa kita memiliki peluang untuk menentukan fungsi keberadaan kita di muka bumi.

Selain itu, buatlah keputusan bijak. Masa depan memihak di tangan kita. Sama ada untuk menjadi seperti sang matahari yang bermanfaat untuk tumbuh-tumbuhan atau hanyalah kesusahan dan petaka semata-mata.

Dengan kewujudan kita di dunia ini, mari kita renung diri sendiri.

Andai kita tiada lagi di dunia ini:

Adakah orang di sekeliling kita akan menangis kerana kita sangat berharga ataupun mereka gembira kerana tiada lagi masalah?

Adakah kehidupan di sekeliling akan berubah jadi baik atau buruk?

Berapa ramai yang akan mendoakan kita?

Apa yang akan diperkatakan manusia setelah kita tiada?

Berapa banyak peninggalanku yang masih dinikmati atau dihayati orang?

Berapa besar dosa yang masih disimpan dalam hati sesama insan?

Apakah ada yang masih menyimpan dendam disebabkan sikap kezaliman kita?

Bagaimana kehidupan keluarga, kampung dan bangsa?

Apakah benar hidup ini mesti memberikan manfaat?

Ya, dalam hidup ini kita harus menyebarkan manfaat. Apalah erti hidup sekiranya demi kemewahan dan kesenangan diri sahaja. Dengan hanya mementingkan nafsu sendiri dan tidak memikirkan orang lain di sekeliling ialah mereka yang bersifat hedonis. Hedonis ini bermakna pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Dalam dunia ini, banyak lagi orang yang memerlukan bantuan kita yang sedang hidup senang. Disebabkan situasi ini juga Allah SWT menguji kita sama ada untuk membantu mereka ataupun mementingkan diri sendiri.

Jika kita meneroka sejarah orang-orang soleh terdahulu, mereka terkenal sebagai orang yang sibuk dalam melaksanakan ibadah. Mereka khusyuk beribadah pada waktu malam dan kemudiannya keluar pada waktu pagi demi menyebarkan manfaat sebanyak mungkin kepada manusia.

Hakikatnya kita cuma hidup sementara di atas muka bumi. Dunia ini hanyalah pentas lakonan. Kehidupan abadi yang akan dikecapi adalah di akhirat kelak. Ingatlah bahawa setiap daripada kita merupakan khalifah.

Dalam al-Quran, Allah menyebut dua kali mengenai khalifah. Pertama, terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 30,

إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

(Inni ja’il fi al-ardh khalifah)

“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”

Manakala ayat yang kedua telah disebut dalam surah al-Saad ayat 26,

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ

(Ya Daudu Inna ja’alnaaka khalifatan fil ardh)

Ia membawa makna, “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi.”

Seorang khalifah perlu amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Antara tugas terpenting seorang khalifah adalah memberikan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Memetik kata Rasulullah SAW, “Walaupun dengan sepotong kurma.” Hal ini nampak kecil dan tidak bernilai kepada manusia tetapi kita tidak tahu ianya bernilai besar bagi mereka yang memerlukan. Allah SWT sahaja yang dapat menentukan.

Oleh itu, mulakan dengan langkah perlahan untuk memberikan manfaat. Semakin besar manfaat kita terhadap orang sekeliling, semakin ramai yang akan menghargai kita. Rasulullah SAW juga menasihatkan kita bahawa manusia terbaik ialah manfaat seseorang itu dapat dirasakan oleh seramai mungkin. Begitu juga sebaliknya. Kata Rasulullah SAW:

“Khairunnaasi anfa’uhum lin-nas”

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya” (HR Bukhari dan Muslim)

Sungguh betapa mudahnya menyumbangkan kebaikan terhadap makhluk ciptaan Allah SWT yang lainnya. Walaupun usaha itu tidak dipandang tetapi amalan sekecil-kecil kebaikan itu akan dihitung jua di kemudian hari, tidak kira sama ada membantu rakan, jiran, orang miskin ataupun orang sakit dan sebagainya.

Maka sewaktu masih di dunia, hiduplah seperti seribu tahun lagi diperlukan demi mencari rezeki. Semasa sedang beribadah, laksanakanlah seperti ibadah itu adalah yang terakhir. Apabila kita berfikiran seperti ini, In shaa Allah hidup kita menjadi berkat.

Usah melihat kesalahan-kesalahan orang lain juga seperti kita ini tidak punyai dosa. Kita tidak layak untuk menghukum manusia. Sedangkan Allah SWT yang maha berkuasa juga mengampunkan mereka yang melakukan dosa. Justeru, pandang diri sendiri dan fikirkan sumbangan yang telah kita berikan semasa di dunia.

Cuba bayangkan betapa bahagianya jika kita menjadi orang yang berguna bagi ramai orang. Moga-moga masih ramai di negara ini yang membawa manfaat demi mencukupkan amalan kebaikan. Kalau bukan kita yang bertindak untuk membawa manfaat, siapa lagi yang kita mahu harapkan? Mulalah dengan diri sendiri kerana mungkin diri kita yang dihantar oleh Allah SWT untuk menjadi seseorang yang bermakna bagi manusia yang lainnya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Asyiqin Rosmahadir

Seorang pelakon di pentas dunia. Acap kali menyandang watak gadis yang berusaha untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Kadangkala, lakonannya begitu indah di alam fantasi. Beliau gemar bersuara melalui tulisan dan sedang gigih berperang dalam dunia seni bina.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami