Inspirasi

‘Kita Baik Ramai Sayang’

Oleh Fizah Lee  •  9 Mar 2020  •  3 min baca

Sudah hampir sebulan kata-kata ‘kita baik ramai orang sayang’ menjadi tular dan trend hangat di media sosial. Jika ditaip kata-kata ini di carian sama ada di Google mahupun laman sosial lain seperti Instagram mahupun Twitter, pasti ada sahaja kisah di sebaliknya.

Ia mula tular sejak kematian almarhum Syed Umar Mohktar bin Syed Mohd Redzuan al-Juffrey atau lebih dikenali sebagai Abam Bocey pada 10 Februari lepas.

Sepanjang hayatnya, ramai yang hanya mengenali almarhum sebagai seorang pelawak dan penghibur tanah air. Namun, sejak kematian menjemputnya, satu-persatu daripada kisah kebaikan beliau mula tular dan mengambil tempat bagi menggantikan kesedihan yang dialami oleh saudara-mara dan sahabat handai yang mengalami.

Almarhum bukanlah seorang pemimpin politik dan bukan juga agamawan. Namun, pada pengakhiran kehidupannya Allah menganugerahkan nikmat kematian yang sangat dicemburui oleh semua orang. Itulah yang digelar sebagai husnul khatimah (kematian yang baik).

Tanda pagar ‘kita baik ramai sayang’ membuktikan bahawa apabila kita baik dan menjaga hubungan dengan orang, pasti ramai yang sayangkan kita seikhlas hati bukan semata-mata populariti.

Sehingga ke hari ini, kita dapat melihat masih ramai yang menziarahi kubur almarhum dan mendedahkan sisi baik beliau. Inilah yang membuatkan ramai yang cemburu dengan pengakhiran hidup mereka yang dicintai Allah.

Antara kebaikan yang almarhum sering lakukan dan boleh diambil iktibar untuk diikuti ialah;

#1 – Mengutamakan Ibu Sendiri

Tidak rugi mengutamakan ibu sendiri dalam setiap perkara yang dilakukan. Ambil berat, tanya khabar dan mendahulukan mereka dalam setiap urusan, itulah antara kunci untuk kelancaran urusan dunia dan akhirat.

Apabila ibu dan ayah sendiri reda dan gembira dengan anaknya, nescaya dia berhak mendapatkan keredaan Allah.

#2 – Tidak Mengabaikan Isteri

Dalam kesibukan menguruskan kehidupan, jangan diabaikan isteri yang setia berada di sisi dalam setiap susah dan senang.

Almarhum diceritakan sebagai seorang suami dan bapa yang sangat penyayang. Beliau tidak pernah mengabaikan isterinya apatah lagi membiarkan isterinya menguruskan rumah tangga sendirian.

Sama ada isteri anda bekerja atau suri rumah, ambil berat dan tunjukkan perhatian kepada mereka. Rumah tangga bukan hanya diuruskan oleh isteri tetapi merupakan tanggungjawab bersama.

#3 – Rajin Bersedekah

Ramai yang mula menceritakan mengenai kemurahan hati almarhum terhadap sedekah yang pernah diberikan. Beliau tidak pernah lokek dalam mengeluarkan harta bagi membantu mereka yang memerlukan.

Dalam rezeki kita pasti ada rezeki orang lain. Harta yang kita salurkan itulah yang akan menjadi saham di akhirat kelak untuk membantu perjalanan kita.

Disebabkan itu, jangan takut miskin untuk bersedekah sebaliknya percaya dan yakinlah dengan rezeki Allah.

Kesimpulan

Memetik pandangan yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, Allah SWT memberikan ilham kepada orang ramai untuk memujinya. Ini adalah salah satu petanda bahawa Allah menghendaki keampunan kepadanya,

Tanda Allah reda dan kasih akan seseorang ialah apabila kematiannya disebut-sebut sebagai kematian yang penuh dengan kebaikan dan ramai yang memuji pemergiannya. Itulah yang disebut sebagai husnul khatimah.

Daripada Abi Zar RA, katanya: “Telah ditanya kepada Rasulullah SAW: “Apa pendapat kamu wahai Rasulullah, seseorang yang beramal kebaikan lantas orang ramai memujinya?” Baginda bersabda:

تِلْكَ عَاجِلُ بُشْرَى الْمُؤْمِنِ

Maksud: “Itulah berita gembira bagi orang mukmin yang disegerakan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2642)

Banyak iktibar yang boleh diambil apabila melihat kepada kematian orang-orang terdahulu yang sehingga kini masih disebut-sebut. Jangan tunggu anda menjadi seorang ustaz atau sempurna ilmu barulah terdetik hati untuk beramal. Kerana ganjaran syurga bukan hanya diberikan kepada golongan agamawan tetapi mereka yang menjaga haknya dengan Allah dan juga sesama manusia.

Kata-kata hikmah ada menyebut – “Sebagaimana engkau memperlakukan orang lain (baik ucapan mahupun perbuatan), maka demikian pula kamu akan diperlakukan.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami