Sejarah, Wanita

Kisah Zainab Menjadikan Kalung Khadijah Sebagai Tebusan Suaminya

Oleh Fizah Lee  •  22 Oct 2020  •  3 min baca

Betapa hebatnya kasih sayang dan cinta Rasulullah kepada Khadijah tidak dapat disangkal lagi. Walaupun Saidatina Khadijah telah meninggal dunia dan Baginda SAW telah berkahwin lain, namun kerinduannya kepada Khadijah sentiasa ada.

Sehinggakan setiap kali datangnya saudara mara mahupun kaum kerabat Khadijah, pasti Rasulullah akan memuliakan mereka. Begitu juga apabila terlihat barang-barang peninggalan isterinya, pasti memori lalu akan menggamit kembali.

Dan perkara yang sama juga ada berlaku ketika Baginda SAW sebak dan rindu akibat terkenangkan isterinya tatkala melihat kalung Khadijah yang dijadikan sebagai tebusan.

Kisah ini berlaku sewaktu Perang Badar di mana suami Zainab, iaitu puteri Rasulullah telah ditawan dalam perang tersebut dan akan dibebaskan jika ada tebusan.

Kisah Zainab Dan Suaminya

Zainab Al-Kubra dan suaminya, Abul Ash telah mendirikan rumah tangga sebelum Baginda SAW diangkat menjadi Rasul.

Hebatnya cinta Zainab kepada suaminya sehingga beliau sanggup menghadapi susah senang bersamanya.

Namun, apabila Islam sampai kepada mereka, Abul Ash memilih untuk menolaknya kerana lebih mengutamakan ajaran nenek moyangnya.

Walaupun Zainab memilih untuk memeluk Islam, namun beliau tidak pernah meninggalkan suaminya. Buktinya, ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, Zainab tetap berada di sisi suaminya di Mekah.

Sehinggalah terjadinya Perang Badar yang melibatkan 1000 orang dari Musyrikin Mekah yang telah melawan 300 orang umat Islam terjadi dan Abul Ash termasuk sebagai salah seorang yang menentang Islam.

Walau bagaimanapun, seperti yang kita ketahui, kemenangan berpihak kepada umat Islam dan ramailah di antara kaum musyrikin yang telah dijadikan tawanan termasuklah Abul Ash.

Apabila berita tawanan itu sampai kepada Zainab Al-Kubra, beliau terus berusaha dan bergegas mencari mengumpulkan hartanya untuk membebaskan suaminya.

Salah satu daripada harta tebusannya adalah kalung ibunya, Saidatina Khadijah yang dihadiahkan sebagai hadiah perkahwinan mereka.

Apabila Rasulullah melihat kalung itu, Baginda terus teringatkan isterinya dan ia membuatkan Baginda sedih kerana itulah satu-satunya harta yang diberikan oleh Khadijah kepada puterinya itu.

Apa yang Baginda lakukan? Baginda berbincang dengan kaum muslimin yang lain untuk membebaskan Abul Ash tanpa mengambil kalung itu.

Dengan itu, kembalilah Abul Ash kepada pangkuan isterinya bersama-sama kalung tersebut. Zainab amat gembira dengan berita tersebut, namun selepas itu turunnya wahyu bahawa pasangan yang berbeza agama tidak boleh bersama.

Dengan itu, Zainab diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah dan tinggal di bawah jagaan Rasulullah.

Walau bagaimanapun, cintanya kepada suaminya tidak pernah pudar sehinggalah beberapa tahun selepas itu (diriwayatkan pada tahun ke-7 Hijrah), Abul Ash telah memutuskan untuk memeluk Islam dan berhijrah ke Madinah.

Beliau telah memutuskan untuk bersama dengan Zainab semula dan disebabkan Rasulullah mengetahui bahawa puterinya itu amat mencintai Abul Ash, jadi Rasulullah mengizinkannya.

Kesimpulan

Saidatina Zainab wafat pada tahun 8 Hijrah kerana sakit akibat pernah mengalami keguguran ketika beliau berhijrah.

Kisah ini membawakan sebuah pengajaran besar, iaitu betapa hebat dan besarnya kasih sayang antara suami dan isteri yang ditonjolkan melalui Rasulullah dan juga Zainab.

Walaupun Khadijah telah meninggal dunia dalam jangka masa yang sudah lama, namun Baginda tidak pernah melupakannya.

Begitu juga dengan Saidatina Khadijah. Walaupun pada awalnya, suaminya memilih untuk menolak Islam, namun beliau tetap setia dengannya dan kasih sayangnya tidak pernah pudar sehinggalah Allah menyatukan kembali mereka.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Perkongsian Ustaz Hannan Attaki – Khadijah, Cinta Terbaik Rasulullah
Sirah Nabawiyyah Ibnu Ibnu Hisyam (ii/313). At-Thabari, (1/292)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami