Hukum

Kisah Unta Rasulullah Hilang Dan Mulut Jahat Alim Yahudi

Oleh Abdullah Bukhari  •  2 Aug 2019  •  4 min baca

“Ustaz! Kawan saya ajak saya teman dia jumpa bomoh. Tapi bomoh tu katanya menggunakan ayat al-Quran. Boleh ke saya pergi?”

Pernah dalam satu kuliah Maghrib, saya tegaskan larangan Nabi S.A.W terhadap umatnya agar jangan sesekali bertemu bomoh:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Sesiapa yang berjumpa dengan tukang nujum (orang yang mendakwa tahu sesuatu perkara) lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu perkara, tidak akan diterima (tiada pahala) solatnya selama 40 malamSahih Muslim


Saya berkata kepadanya;

“Awak tak boleh pukul sembarangan bahawa dia seorang bomoh. Bomoh atau perawat yang menggunakan Ruqyah Syar’iyyah perlu dilihat dahulu pada kaedahnya. Jika teknik rawatannya mempunyai unsur nujum seperti ‘mendakwa tahu’ siapa yang menyihir atau mendakwa tahu yang ghaib maka ia wajib dihindari. Itulah definisi mudah bagi bomoh.”

Antara sebab utama mengapa orang agama atau ulama sangat anti profesyen bomoh adalah dakwaan sesetengah mereka yang mengetahui perkara ghaib.

Mengetahui ‘siapa yang menyihir, mengetahui ‘bagaimana’ jenis sihir dan seumpamanya. Dakwaan ini sangat biadab dan bercanggah dengan firman Allah:

قُل لا يَعلَمُ مَن فِى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ الغَيبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَما يَشعُرونَ أَيّانَ يُبعَثونَ
Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) Surah al-Naml 27:65

Ketika menjelaskan ayat ini Aishah R.A berkata:

وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ يُخْبِرُ بِمَا يَكُونُ فِي غَدٍ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللَّهِ الْفِرْيَةَ
Sesiapa menyangka bahawa (Rasulullah S.A.W) mampu memberitahu apa ayang akan berlaku pada keesokan harinya, “Maka dia telah berbuat pendustaan yang sangat besar atas nama Allah.” Aisyah R.A kemudiannya membaca ayat 65 surah al-NamlSahih Muslim

Pagi ini ketika membaca Sirah Ibn Hisyam saya ditemukan Allah dengan kisah mulut jahat Zayd ibn al-Lasayt – زيد بن اللصيت – iaitu seorang alim Yahudi Madinah yang berpura-pura memeluk Islam.

Pernah satu ketika unta Rasulullah S.A.W hilang dan tidak dapat ditemui. Berikutan peristiwa itu, si alim Yahudi ini melepaskan kata-kata ejek yang sangat pedas:

يَزْعُمُ مُحَمّدٌ أَنّهُ يَأْتِيهِ خَبَرُ السّمَاءِ وَهُوَ لَا يَدْرِي أَيْنَ نَاقَتُهُ
“Muhammad menyangka dia mendapat wahyu dari langit, sedangkan dia sendiri pun tak tahu ke mana pergi untanya.”

Ejekan ini sampai pada Rasulullah S.A.W, Baginda lalu berkata:

وَإِنّي وَاَللّهِ مَا أَعْلَمُ إلّا مَا عَلّمَنِي اللّهُ وَقَدْ دَلّنِي اللّهُ عَلَيْهَا ، فَهِيَ فِي هَذَا الشّعْبِ ، قَدْ حَبَسَتْهَا شَجَرَةٌ بِزِمَامِهَا
“Demi Allah, sesungguhnya aku tidak mengetahui (yang ghaib) kecuali apa yang Allah ajarkan padaku dan Allah telah menunjukkan tempat unta itu. Ia berada di lembah ini kerana talinya tersangkut pada sebatang pokok.”

Setelah dicari, benar unta itu ditemui oleh para sahabat pada tempat dan keadaan yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W (Sirah Ibn Hisyam).

Subhanallah! Kisah ini menjelaskan betapa yang ghaib adalah milik Allah. Baginda sebagai seorang manusia tidak mengetahui yang ghaib. Banyak firman Allah menyokong prinsip ini, firman Allah:

قُلْ لَا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَى وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku dan aku pula tidak mengetahui perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?” Surah al-An’am 6:50

Juga firmanNya:

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman” Surah al-A’raf 7:188

Usahkan si bomoh, para rasul yang saban hari didampingi Jibril A.S pun tidak mengetahui perkara ghaib kecuali setelah ia didedahkan oleh Allah dengan tujuan tertentu. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuinya itu kepada sesiapapun, – “melainkan kepada mana-mana rasul yang di redainya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan) Surah al-Jinn 72:26-27

Kembalilah kepada al-Quran dan al-Sunnah supaya kita tahu mana batasan yang boleh dan tidak boleh dicerobohi manusia.

Jangan sampai kita dibodohkan oleh bomoh yang mencari untung atas kejahilan manusia tentang hakikat agama.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami