Sejarah

Kisah Tamim Ad-Dari Memeluk Islam Selepas Bertemu Dajjal

Oleh Fieyzah Lee  •  7 Jan 2020  •  4 min baca

Tamim Ad-Dari merupakan seorang pemuda beragama Nasrani yang telah berlayar bersama dengan rakan-rakannya. Beberapa riwayat dan penceritaan menyebutkan bahawa kesemua mereka terdiri daripada 30 orang.

Pada awalnya, mereka telah menjadikan bintang sebagai panduan dan kompas, namun disebabkan oleh lautan yang bergelora, kapal mereka telah dimain-mainkan oleh ombak selama beberapa hari. Menurut riwayat mengatakan ia berlaku selama 30 hari sebelum mereka dihanyutkan ke sebuah pulau yang sunyi.

Mereka telah turun ke pulau tersebut untuk melihat apa yang ada sambil menunggu keadaan laut reda untuk kembali berlayar. Namun, kedatangan mereka telah ditegur oleh satu suara yang bertanya siapa mereka dan tujuan kedatangan mereka.

Suara itu merupakan suara binatang yang menggelar dirinya sebagai Al-Jassasah, Menurut Imam Nawawi dan beberapa pembahas hadis yang lain menyebutkan bahawa Jassasah membawa maksud mata-mata atau pemerhati. Tugasnya sebagai mata-mata dan pembawa khabar kepada Dajjal mengenai kejadian-kejadian yang berlaku.

Mereka kemudian telah memasuki gua yang ditunjukkan oleh Jassasah untuk melihat apa yang berada di dalamnya. Mereka telah melihat seorang lelaki yang telah dirantai. Pada awalnya mereka tidak mengetahui siapakah dia sehinggalah akhirnya mereka ditanyakan soalan-soalan oleh lelaki tersebut.

Apabila mengetahui siapa sebenarnya lelaki tersebut, Tamim telah kembali ke kampung halamannya dan bertemu Baginda SAW untuk memeluk Islam selepas menceritakan perkara tersebut kepadanya.

Hal ini ada diceritakan melalui sebuah hadis sahih melalui Kitab Al-Fitan berkenaan Tamim Ad-Dari yang telah dihanyutkan ombak dan sampai ke sebuah pulau sehingga berjumpa dengan Dajjal:

Maksud: “Sesungguhnya demi Allah, aku tidak mengumpulkan kamu pada hari ini kerana ada pengharapan atau ketakutan, tetapi kerana Tamim Ad-Dari yang dahulunya seorang Nasrani telah datang untuk memeluk Islam. Dia telah menceritakan kepada aku seperti apa yang telah aku sampaikan kepada kamu mengenai Dajjal.

Dia berkata bahawa dia telah mengemudi sebuah perahu bersama 30 orang dari Lakhm dan Judzam. Keadaan ombak yang bergelora telah menyebabkan mereka dihanyutkan ke sebuah pulau di laut tersebut. Lalu, mereka telah naik ke pulau itu dan dan didatangi seekor binatang yang banyak bulunya sehingga mereka tidak dapat membezakan yang mana satu bahagian belakang dan mana satu bahagian depan.

Mereka berkata: “Apakah kamu ini?” Dia kemudian menjawab: “Aku adalah Al-Jassasah. Wahai kalian, pergilah kamu kepada orang yang berada di dalam gua kerana dia merindukan berita dari kalian.” Tamim Ad-Dari kemudian berkata: “Kami telah meninggalkan binatang tersebut kerana dia telah menyebutkan nama setiap orang dari kami dan kami bimbang jika dia adalah syaitan betina.”

Dia kemudian menyambung: “Lalu, kami telah berangkat sehingga memasuki gua. Apabila tiba di dalamnya, aku melihat seorang manusia yang pernah kami lihat. Dia telah diikat dengan rantai yang kuat. Kedua tangan dan lehernya disatukan, dari lutut sehingga ke kedua mata kakinya diikat dengan besi. Kami kemudian bertanya; “Siapakah kamu?” Dia terus menjawab: “Sesungguhnya kamu telah mengetahui mengenaiku. Sekarang, ceritakan kepadaku mengenai kurma Baisan. Adakah kurmanya masih berbuah?”

Kami kemudian menjawab: “Ya, masih berbuah.” Dia kemudian berkata: “Suatu hari nanti pohon kurma itu hampir tidak akan berbuah. Ceritakan kepadaku pula mengenai Tasik Thabariyyah. Adakah ia masih berair?” Kami kemudian menjawab: “Ya, tasik tersebut masih banyak airnya.” Dia pun menjawab: “Sesungguhnya nanti air tasik itu akan hampir habis dan kering. Ceritakan kepada aku pula mengenai mata air Zughar. Adakah ia masih memancarkan airnya?” Kami kemudian menjawab: “Ya, mata airnya masih memancarkan air dan penduduknya masih bercucuk tanam di situ.” Dia kemudian berkata lagi: “Terangkan kepadaku mengenai nabi yang buta huruf yang telah diutuskan. Adakah dia sudah ada. Adakah orang-orang Arab sudah memeranginya?”

Kami kemudian menjawab: “Ya, Nabi itu telah ada dan dia telah berhijrah dari Mekah menuju ke Yathrib. Orang-orang Arab juga sudah memeranginya.” Dia kemudian bertanya lagi: “Bagaimana cara Nabi itu melayani mereka?” Kami menjawab: “Baginda telah menundukkan orang-orang Arab terdekatnya sehingga mereka mengikutinya.” Dia kemudian bertanya: “Benarkah begitu?” Dan kami menjawab ya. Dia kemudian menyambung lagi: “Adapun, adalah lebih elok mereka mentaatinya. Sesungguhnya aku akan memberitahu kepada kamu mengenai diriku. Aku ini adalah Al-Masih. Aku hampir akan diizinkan keluar. Maka aku akan keluar. Lalu aku akan berjalan di muka bumi. Aku tidak melalui sesuatu kampung melainkan aku tinggal selama 40 malam kecuali di kota Mekah dan Thaibah (Madinah) kerana kedua-dua kota tersebut diharamkan ke atasku. Setiap kali aku ingin memasuki kedua kota tersebut, aku akan dihalang oleh malaikat yang memegang pedang untuk memenggal kepalaku.”

Rasulullah SAW pun bersabda sambil memegang tongkatnya di mimbar: “Ini adalah Thaibah! Ini adalah Thaibah! Ini adalah Thaibah, iaitu kota Madinah. Adakah hal ini telah aku sampaikan kepada kamu?” Orang ramai pun menjawab: “Benar.” Baginda SAW pun bersabda lagi: “Aku berasa takjub mendengar cerita Tamim ini. Sungguh, ceritanya sesuai dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu, juga mengenai kota Mekah dan Madinah. Sesungguhnya, Dajjal itu berada di lautan Syam atau di lautan Yaman, bukan dari arah timur, bukan dari arah timur, bukan dari arah timur.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2942)

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami