Inspirasi

Kisah Syeikh Abdurrahman As-Sudais: Berkat Dari Kata-Kata Ibunya Yang Solehah

Oleh Marina  •  29 Jul 2017  •  3 min baca

Syeikh Abdurrahman bin Abdul Aziz bin Muhammad as-Sudais al-Najdi atau lebih dikenali sebagai Abdurrahman as-Sudais dilahirkan pada 10 Februari 1960 di Riyadh, Arab Saudi.

Beliau berasal dari kabilah Anza. Silsilah beliau adalah Abu Abdul Aziz bin Abdul Aziz bin Abdullah bin Abdul Aziz bin Muhammad bin Abdullah.

Sejak tahun 1404H, beliau dilantik menjadi Imam dan Khatib Masjidil Haram, Mekah al-Mukarramah merangkap sebagai Ketua Umum Pengurus Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Kali pertama beliau menjadi Imam Masjidil Haram adalah pada 22 Sya’aban 1404H, ketika menunaikan solat Asar. Manakala pada 15 Ramadan 1404H pula, beliau pertama kali menyampaikan khutbah.

Terdapat kisah di sebalik penglibatan Syeikh Abdurrahman as-Sudais sebelum dilantik menjadi Imam dan Khatib Masjidil Haram.

Masa kecilnya dihabiskan di Riyadh, tempat kelahirannya. Pada usia kanak-kanak, ibunya sering mengatakan padanya;

“Wahai Abdurrahman, hafalkanlah al-Quran. Insya-Allah, engkau akan menjadi Imam Masjidil Haram kelak.”

Siapa sangka, kata-kata yang dituturkan oleh seorang ibu itu ternyata memberi impak yang amat berkesan buat anak-anak.

Mendengarkan dorongan motivasi itu saban hari, membuatkan Syeikh Sudais bersemangat. Bahkan, pada masa kecilnya juga beliau sering mengunjungi Masjidil Haram dan memerhatikan tingkah laku para imam di sana.

“Apakah aku juga boleh menjadi seperti itu (Imam Masjidil Haram)?”

Bisik hati kecil Syeikh Abdurrahman as-Sudais. Kemudian, fikirannya menerawang lagi.

“Apakah aku boleh menghafazkan al-Quran tanpa ada kekeliruan? Apakah aku boleh melantunkan al-Quran tanpa membuat kesalahan?”

Mulai saat itu, Syeikh Abdurrahman as-Sudais nekad untuk menghafaz al-Quran. Oleh itu, beliau telah berguru dengan ramai para ulama qiraat di Riyadh, antaranya Syeikh Abdurrahman bin Abdullah Alu Faryan, Syeikh al-Muqri Muhammad Abdul Majid Zakir dan Syeikh Muhammad Ali Hasan.

Mencecah usia 12 tahun, beliau telah berjaya menghafaz 30 Juzuk al-Quran. Jelas, tindakan beliau untuk menghafaz al-Quran pada usia yang cukup muda memang pilihan yang tepat.

Ini kerana, hafazan lebih mudah untuk diserap pada masa begini. Juga, dorongan dan berkat doa ibu bapa turut memainkan peranan yang cukup penting, dalam melahirkan generasi muttaqin seperti ini.

Namun begitu, terdapat juga pendapat lain mengatakan Syeikh Abdurrahman as-Sudais merupakan seorang anak yang nakal sewaktu kecilnya.

Suatu hari, ibunya sedang menyiapkan makanan untuk tetamu yang hadir ke rumah mereka. Ketika itu, syeikh Abdurrahman as-sudais berada di luar rumah sedang bermain pasir.

Tidak lama kemudian, syeikh Abdurrahman as-sudais pun masuk ke dalam rumah sambil menggengam pasir di tangannya.

Alangkah terkejutnya ibu Syeikh Abdurrahman, apabila mendapati makanan yang telah dihidangkan untuk para tetamunya itu ditabur dengan pasir oleh puteranya itu.

Melihatkan kejadian itu, ibunya lantas memarahinya dengan berkata;

“Sudais, awas kamu! Jika sudah besar, kamu akan menjadi Imam Masjidil Haram kelak.”

Kata-kata ibunya itu ternyata menjadi azimat buat dirinya. Sebelum bergelar Imam Masjidil Haram, Syeikh Abdurrahman as-Sudais merupakan seorang Pembantu Professor di Universiti Riyadh dan menjadi tenaga pengajar di Akademi al-Dawa al-Ilmi.

Kini, beliau dikenali sebagai seorang qari yang lunak bacaan al-Qurannya. Bahkan, beliau amat menjiwai setiap ayat dalam firman Allah itu berserta tajwid yang cukup sempurna.
Ringkasnya, ibu bapa adalah wali Allah, ini kerana setiap tutur kata yang keluar dari mulut mereka merupakan suatu doa.

Bahkan, kedua ibu bapa ini adalah tergolong dalam kalangan mereka yang dimustajabkan doa. Hal ini sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

“Ada tiga doa yang diterima Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.”Hadis Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Daud

“Berakhlaklah dengan akhlak al-Quran, sepertimana riwayat Aisyah r.a, ‘Akhlak Rasulullah adalah al-Quran’. Seterusnya, amalkan al-Quran sehingga nilai-nilai al-Quran hidup di tengah-tengah masyarakat. Segala permasalahan hendaklah dirujuk dengan al-Quran dan berubatlah dengannya.”Kata Mutiara Syeikh Abdurrahman as-Sudais


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami