Hukum, Sejarah

Kisah Si Murtad Yang Dihina Kematiannya Akibat Menghina Baginda SAW

Oleh Fieyzah Lee  •  21 Oct 2019  •  3 min baca

Mungkin anda pernah mendengar berita atau isu berkenaan golongan yang beragama Islam atau bukan Islam, yang seringkali menghina agama Islam atau Baginda SAW sendiri sama ada yang berdekatan dengan kita atau tidak.

Kalau dulu, tular isu mereka yang memijak atau bermain-main dengan naskah Al-Quran. Kini, seiring dengan kemajuan teknologi, semakin banyak isu menghina agama di laman sosial dengan menyebarkan kata-kata yang kurang elok.

Kisah penghinaan Baginda SAW bukan perkara yang baru berlaku, malah ia telah terjadi sejak zaman Baginda mula menyebarkan Islam lagi.

Walaupun Baginda SAW telah wafat, namun penghinaannya adalah dikira sama seperti menghinanya ketika masih hidup, begitu juga dengan Islam.

Mencintai Baginda SAW adalah termasuk dalam keimanan dan kemanisan Islam. Hal ini ada disebut dalam beberapa riwayat, termasuklah:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksud: “Tiga perkara yang mana, jika sesiapa pun mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman; seorang yang menjadikan Allah dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 16)

Baginda SAW merupakan insan paling mulia yang dipilih Allah sebagai kekasihNya dan perlu dijadikan ikutan semua, bukan setakat umat Islam, namun seluruhnya.

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّـهَ كَثِيرًا

Maksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” *(Surah Al-Ahzab, 33:21)

Ada pendapat yang mengatakan bahawa mereka yang menghina Rasulullah SAW wajib dibunuh malah telah dianggap murtad.

Namun, menurut Imam Malik dan Al-Auza’ie mengatakan pesalah ini perlu diberikan peluang untuk bertaubat. Jika tidak ingin, maka hukumannya yang wajar adalah bunuh.

Menurut al-Fikh ‘ala Madzahib al-Arba’ah oleh Syeikh Abdurrahman Al-Jaziri mengatakan bahawa haram hukumnya menghina Islam dan Rasulullah SAW. Begitu juga dengan pendapat jumhur ulama’ yang lain.

Kisah Baginda Dihina

Kita mungkin pernah mendengar kisah Baginda yang acap kali dihina dan dianggap tukang sihir atau si gila semasa hayatnya yang cuba menyampaikan Islam.

Baginda SAW pernah dipulaukan oleh penduduk Mekah semasa tahun kesedihannya (tahun kematian Khadijah dan Abu Talib) dengan menerima kecaman teruk akibat kesungguhannya dalam menyebarluaskan agama Islam.

وَعَجِبُوا أَن جَاءَهُم مُّنذِرٌ مِّنْهُمْ ۖ وَقَالَ الْكَافِرُونَ هَـٰذَا سَاحِرٌ كَذَّابٌ

Mafhum: “Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: “Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.” (Surah Sad, 38:4)

Malah, sebuah kisah yang sangat terkenal dan sering kali disebut ialah mengenai seorang sahabat Baginda yang pernah menjadi penulis wahyu telah murtad disebabkan oleh tawaran dunia yang telah membutakan mata hatinya.

Beliau juga diceritakan telah menghina Rasulullah dengan kata-kata yang sangat menyakitkan hati Baginda.

Saat kematiannya diceritakan bahawa mayatnya telah timbul dan berada di atas kuburnya beberapa hari selepas ditanam oleh rakan-rakannya yang kafir.

Baginda SAW telah dituduh oleh mereka bahawa kejadian itu adalah perbuatannya. Mayat tersebut kembali ditanam dengan makin dalam, namun kejadian yang sama berulang lagi selama beberapa kali.

Mereka tidak dapat berbuat apa-apa sehingga akhirnya kejadian tersebut dibiarkan sahaja dan mayat itu dikatakan telah dimakan oleh haiwan buas.

Kesimpulan

Terdapat banyak lagi kisah yang terjadi sebagai ibrah (pengajaran) kepada kita agar berhati-hati dengan mulut dan perbuatan agar tidak mudah menghina Islam, Baginda dan Allah.

Yang paling penting ialah, tingkatkan keimanan dan kecintaan kepada agama kita dengan memperbanyakkan mendalami sirah dan Al-Quran sendiri.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah
Harian Metro


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami