Tokoh

Kisah Mus’ab Bin Umair Yang Menjadi Duta Agama Di Madinah

Oleh Firdaus Rusni  •  25 Mar 2020  •  4 min baca

Bayangkan betapa meriahnya sambutan kedatangan Rasulullah ke kota Madinah ketika peristiwa hijrah pada waktu itu. Begitu ramai penduduk Madinah menyambut kedatangan Baginda SAW.

Ketika itu, penghijrahan para sahabat seperti Umar Al-Khattab sudah tiba terlebih dahulu. Ini membuktikan terdapat usaha yang lebih awal telah dilakukan untuk membuka pintu kota Madinah sebagai tapak penerimaan cahaya Islam.

Siapakah watak yang menjadi tonggak untuk menjadikan kota Madinah sebagai kota yang menerima pemerintahan Islam yang terbaik? Beliau merupakan seorang pemuda yang bukan calang-calang orangnya. Apabila kita membaca perihal hidup beliau, dapat dirasakan aura luar biasanya. Namanya ialah Mus’ab Bin Umair.

Mus’ab ialah seorang pemuda yang jika disebut namanya, pasti orang Arab di Mekkah mengenalinya. Bukan kerana seorang samseng ataupun pemimpin kabilah tetapi kerana kekayaan yang ibunya miliki.

Kekayaan tersebut sehinggakan minyak wangi yang dipakainya hanya mampu dipakai olehnya seorang sahaja. Terdapat beberapa riwayat yang menyebut, apabila beliau berjalan atau melalui lorong, pasti semua orang mengenali bau minyak wanginya.

Pakaian yang dipakainya juga terlalu labuh sehinggakan menyapu lantai. Apabila ada yang menegur pemakaiannya yang boleh menyebabkan kotoran, beliau akan membalas bahawa baju yang dipakainya adalah baju baru setiap hari. Jadi, beliau tidak pernah risau akan hal tersebut.

Dasyatnya kemewahan yang diwarisi daripada ibunya sehinggakan kehidupan mewah Mus’ab sebelum Islam digeruni dan dikagumi semua orang. Walau bagaimanapun, apabila beliau telah mengambil keputusan untuk memeluk Islam, kehidupannya berubah 360 darjah.

Setelah ibunya mengetahui mengenai berita keislamannya, segala kemewahan yang dikecapi turut hilang. Keputusannya untuk memeluk Islam bukan atas paksaan sesiapa bahkan atas kerelaan dirinya sendiri. Beliau menyedari risiko yang bakal dihadapinya, namun beliau tidak pernah gentar dan yakin akan keputusannya itu.

“Seandainya Mekkah, dengan segala patung, tokoh-tokoh terhormat, dan padang pasirnya membentuk sebuah formasi yang mengepung dan memusuhinya, Mus’ab akan menganggap itu bukanlah musuh yang berat saat itu. Tetapi, bila musuh itu adalah ibunya, inilah menjadi ketakutan membuat beliau menjadi gelisah.”

Walau bagaimanapun, seorang anak itu pasti akan risau akan anggapan dan keredaan dari seorang ibu. Begitulah perihal Mus’ab. Beliau sangat risau akan penerimaan ibunya terhadap situasi tersebut. Beliau tetapkan di hati agar keimanannya kepada Allah dan RasulNya sentiasa teguh dan dalam masa yang sama tidak menimbulkan derhaka kepada ibunya.

Hebatnya Mus’ab, walaupun kemewahannya sudah pun ditarik oleh ibunya, namun tiada rasa lemah semangat apatah lagi menyesal. Cahaya iman yang telah meresap ke dalam jiwanya menyebabkan beliau sanggup berjuang penuh ikhlas kepada Allah. Hatinya tidak sedikit pun goyah walau dilanda kemiskinan.

Saya sendiri bila membaca kisah Mus’ab ini semasa di Mekkah, terasa ingin menitis air mata. Bukan mudah seseorang itu yang hidup dengan duit berjuta-juta namun semuanya itu hilang kerana cintanya kepada Agama Allah. Kalau kita bagaimanalah mahu menghadapinya. Pengorbanan yang dibuat bukan biasa-biasa tapi sangat luar biasa.

Beliau juga telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk berdakwah ke kota Madinah bagi menyampaikan kefahaman mengenai islam. Sahabat ada menyebut;

“Mus’ab memikul amanat itu dengan bekal kearifan fikir dan kemuliaan akhlak yang dikurniakan Allah kepadanya. Kezuhudan, kejujuran, dan kesungguhan hatinya telah berhasil melunakkan dan menawan hati penduduk Madinah sehingga mereka berduyun-duyun masuk Islam.”

Apabila sampai di Madinah, beliau singgah untuk tinggal di rumah As’ad bin Zurarah. Ketika itu, yang menganut agama Islam hanya dua belas orang. Di situlah bermulanya usaha Mus’ab dalam memberi penjelasan tentang islam dan menyeru penduduk Madinah untuk memeluk agama Islam.

Secara ringkas, Mus’ab berjaya mengislamkan beberapa pemimpin besar Madinah yang bernama Usaid bin Khudair, Sa’ad bin Muadz dan Saad bin Ubadah. Pengislaman mereka bertiga ini memberi impak yang cukup besar kepada penduduk Madinah.

Dikatakan penduduk Madinah saling berjumpa dan dan bertanya antara mereka – “Sekiranya Usaid bin Khudair, Sa’ad bin Ubadah dan Sa’ad bin Muadz sudah memeluk agama islam, apalagi yang kita semua tunggukan. Marilah kita pergi jumpa Mus’ab bin Umair untuk beriman bersamanya.”

Demikianlah, duta pertama Rasulullah SAW yang telah mencapai kegemilangannya dalam menyampaikan Islam di Kota Madinah. Besar jasa Mus’ab bin Umair. Moga kita menghargai pengorbanan beliau. Islam tersebar luas bermula di Madinah dan akhirnya sampai kepada kita. Semoga Allah merahmati usaha Mus’ab.

Rujukan:
1. Buku Biografi 60 Sahabat Nabi oleh Dr Khalid Muhammad Khalid
2. Buku Ensiklopedia Sahabat oleh Mahmud Al-Misri
3. Kisah Mus’ab bin Umair oleh Ceramah Ustaz Ibnu Rijal


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Firdaus Rusni

Firdaus bin Rusni merupakan graduan dari Kolej Pengajian Islam Johor dalam bidang Pendidikan Islam. Sekarang sedang membantu perniagaan keluarga , merupakan pembantu imam di masjid dan penulis buku antologi Bercakap Dengan Cermin bersama Bonda Nor. Beliau juga minat membaca pelbagai genre buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami